22 Julai 2014

Majlis Keselamatan PBB kutuk serangan MH17

24 Ramadhan 1435. [MOD] -


Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 'dengan kerasnya' mengutuk serangan ke atas pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 di timur Ukraine minggu lepas yang telah menyebabkan 298 nyawa terkorban.
Menggesa agar siasatan antarabangsa mengenai kejadian itu dijalankan, Majlis berkenaan menuntut kumpulan bersenjata di kawasan itu membenarkan akses penuh ke lokasi kemalangan dan memastikan integriti itu dikekalkan.
  
Dalam resolusi yang diterima sebulat suara, badan antarabangsa itu menyokong usaha untuk menubuhkan siasatan antarabangsa yang lengkap, menyeluruh dan bebas mengenai nahas berkenaan mengikut garis panduan penerbangan awam antarabangsa.
  
Ahli-ahli Majlis juga berkeras agar pemindahan mayat-mayat mangsa nahas diperlakukan secara "bermaruah, dihormati dan profesional" menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Berita PBB.
  
Di samping itu, mereka menuntut bahawa semua aktiviti ketenteraan, termasuk kumpulan bersenjata dihentikan segera di kawasan sekitar lokasi kemalangan untuk menjamin keselamatan penyiasatan antarabangsa.
  
Majlis Keselamatan PBB juga menekankan keperluan agar kumpulan bersenjata yang berkawal di lokasi kemalangan dan kawasan sekitarnya agar tidak membuat sebarang tindakan yang boleh menjejaskan sebarang bukti di lokasi nahas.

Pihak bertanggungjawab menyebabkan kemalangan itu mesti dibawa ke muka pengadilan dan semua negara mesti bekerjasama sepenuhnya dan berusaha untuk mewujudkan akauntabiliti, tambahnya.
  
Pesawat Boeing 777-200 Malaysia Airlines penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara pada Khamis.

Pesawat malang itu ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine.
  
-Bernama

Tiada ulasan: