03 Julai 2014

Royalti K'tan: Mahkamah putus tidak perlu panggil saksi

5 Ramadhan 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan memutuskan tiada keperluan untuk memanggil saksi-saksi dalam saman pelanggaran kontrak yang dibawa kerajaan negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung royalti minyak.
  
Oleh itu, saman itu akan dibawa semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk diselesaikan dengan cara menentukan dari sudut undang-undang tanpa perbicaraan penuh mengikut Perintah 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 22 Julai di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop.
  
Dalam keputusan itu, lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Abdull Hamid Embong berkata tiada pertikaian fakta dalam kes ini yang memerlukan mahkamah memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.
  
Hakim Abdull Hamid yang mempengerusikan panel itu dengan Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Zainun Ali semalam berkata mahkamah mendapati rayuan dalam saman itu adalah komprehensif dan mencukupi bagi mengecualikan mengadakan keterangan lisan dan saksi-saksi.
  
"Tafsiran perjanjian itu (royalti minyak)) tidak memerlukan testimoni saksi-saksi dan tidak ada keperluan untuk memanggil saksi memberi keterangan," katanya.
  
Hakim Abdull Hamid juga berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 18 Januari 2012 yang membenarkan permohonan Petronas dan kerajaan persekutuan supaya saman itu dilupuskan.
  
"Kami dapati tiada kesilapan salah arah di pihak hakim Mahkamah Tinggi dan oleh itu tidak memerlukan campur tangan mahkamah (Mahkamah Persekutuan)," kata Hakim Abdull Hamid.
  
Oleh itu, beliau menolak rayuan kerajaan negeri Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April, 2012, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan kerajaan negeri membayar RM150,000 sebagai kos kepada  Petronas.
  
Mahkamah juga menolak rayuan kerajaan negeri Kelantan berhubung penemuan dokumen berhubung saman itu.
  
Pada 30 Ogos, 2010, kerajaan negeri Kelantan memfailkan saman pelanggaran kontrak terhadap Petronas menuntut Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti ditetapkan dalam perjanjian carigali petroleum.
  
Kerajaan negeri Kelantan turut menuntut gantirugi dan kos. Bagaimanapun, ia tidak meletakkan jumlah keseluruhan yang dituntut daripada Petronas.
  
Dalam saman itu, kerajaan negeri menyatakan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei, 1975, jelas menyebut bahawa Petronas perlu membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau luar pantai.
  
Ia menyatakan satu perenggan daripada perjanjian itu menyebut bahawa pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac dan pada atau sebelum 1 September.
  
Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan tunggal. Bagaimanapun, kerajaan persekutuan berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan defendan kedua dalam saman itu.
  
Peguam Tommy Thomas mewakili kerajaan negeri Kelantan manakala Tan Sri Cecil Abraham mewakili Petronas dan peguam kanan persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan persekutuan. - Bernama

Tiada ulasan: