03 July 2014

Teras : Bersedekah pun boleh kena saman?

5 Ramadhan 1435. [MOD] -


Kenyataan penuh Teras.

TERAS Pengupayaan Melayu (Teras) memberi perhatian kepada kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketatkan .

Kami menyambut pihak berkuasa yang berusaha untuk mengatasi isu mengemis dan gelandangan  di Ibu kota. Namun dengan cara menyaman pemberi sedekah adalah menyalahi semangat membantu yang digalakkan oleh Islam.

Adalah tidak sesuai orang yang mahu membantu disaman, padahal bukan suatu kesalahan untuk bersimpati dengan pengemis yang benar-benar susah.

Kami terima hakikat bahawa mengemis tidak harus dibiarkan kerana sepatutnya budaya yang tidak sihat ini tidak boleh dibenarkan berleluasa dalam masyarakat. Sepatutnya punca budaya ini berleluasa di negara ini harus diteliti dan penyelesaian yang lebih berkesan perlu dirangka.

Adalah pelik untuk memperundangkan orang yang mahu menghulur bantuan tiba-tiba dihulur surat saman. Ini bukan suatu peraturan yang bijak. Mengendalikan isu pengemis memang sukar. Lantaran telah menjadi ciri dalam mana-mana kota atau bandar akan ada pengemis terutama ditempat pengunjung yang ramai dikota.

Membenterasnya harus menumpu kepada punca dan masyarakat tahu bagaimana melaporkan kepada pihak yang berkuasa untuk bertindak agar pengemis tidak berleluasa di kawasan yang didapati ramai pengemis .

Pihak berkuasa perlu menimbangkan kaedah yang lain untuk membenteras gejala mengemis. Punca mengemis bukan disebabkan kerana ramai dalam kalangan masyarakat yang suka memberi tetapi ialah kerana wujudnya keadaan yang tidak dikawal sehingga pengemis berleluasa.

Tidak dinafikan adanya gelaja mengemis dalam kalangan rakyat tempatan dan asing yang semakin meningkat dewasa ini .

Setahu kami pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah ada melaksanakan operasi menyelamat pengemis dari semasa ke semasa berdasarkan Akta Orang Papa 1977 (Akta 183). Operasi ini diadakan secara kerjasama padu di antara agensi penguatkuasa seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri/Daerah.

Institusi yang sedia ada seperti pihak kebajikan masyarakat dan zakat juga seharusnya digembleng bersama untuk mengatasi gejala mengemis dalam masyarakat.

Sepatutnya Menteri Wilayah menggunakan pendekatan bekerjasama dengan agensi yang berkenaan untuk mengatasi isu mengemis di kota raya.

Kami melihat mekanisme yang sedia ada perlu digunapakai dan tidak perlu mewujudkan peraturan baru untuk menyaman orang yang memberi sedekah kepada pengemis.

Melalui operasi menyelamat yang dijalankan, pengemis dan kutu rayau akan ditahan sementara selama sebulan mengikut seksyen 3(2), Akta Orang Papa 1977 bagi menjalankan siasatan serta menyediakan laporan sosial.

Sekiranya terbukti seseorang itu adalah pengemis atau kutu rayau, maka majistret boleh mengeluarkan perintah masuk ke pusat pemulihan selama tiga tahun untuk pemulihan di Desa Bina Diri, Jerantut, Pahang (lelaki) atau Desa Bina Diri Mersing, Johor (lelaki dan wanita) mengikut seksyen 3(4) Akta Orang Papa 1977.

Manakala bagi pengemis warga asing, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Soalnya sejauhmana pihak berkuasa tersebut melaksanakan penguatkuasaan. Ini yang perlu diberi tumpuan dan dikemaskan. 

No comments: