13 August 2014

Kemelut S'gor: PAS tidak akan bersama BN

17 Syawal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dalam krisis Menteri Besar Selangor yang semakin memuncak sekarang, PAS menegaskan ia tidak akan sesekali bersama BN.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata demikian apabila ditanya perkembangan terkini politik Selangor selepas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim memecat enam anggota Exconya daripada kalangan DAP dan PKR, 12 Ogos lalu.

"Situasi selepas pemecatan Exco ini adalah perkembangan sementara dan ia tertakluk kepada perubahan, bergantung keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, 17 Ogos nanti," ujarnya merujuk hanya tinggal empat Exco PAS dalam kerajaan negeri.

Abdul Khalid kini menjadi menteri besar bebas selepas Majlis Pimpinan Pusat PKR memecat keahlian beliau serta-merta pada 9 Ogos lalu.

PAS pada 10 Ogos bagaimanapun telah mengeluarkan arahan agar semua exco kerajaan negeri dari PAS terus berkhidmat di dalam Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata kedudukan PAS yang tetap bersama Pakatan Rakyat dan tidak akan bersama BN itu adalah berdasarkan tiga faktor utama.

Pertama, PAS masih lagi berpegang teguh dengan keputusan Muktamar Tahunan 2008 yang bersetuju untuk PAS bersama Pakatan Rakyat.

Kedua, ia juga selari dengan pandangan Majlis Syura Ulamak  yang bermesyuarat pada 6 Ogos lalu, yang menegaskan sekali lagi  untuk terus memberi komitmen bersama Pakatan.

Ketiga, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga berulang kali menegaskan, dalam apa jua situasi yang berlaku, PAS tetap bersama Pakatan.

"Oleh itu, saya harapkan semua pihak, terutama rakyat Selangor, khususnya ahli PAS, agar bertenang berdepan berita atau rumours yang tersebar sekarang, serta sabar menunggu keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos.

"Insya-Allah semua kemelut ini dapat PAS selesaikan dalam mesyuarat itu nanti. Kita akan memutuskan yang terbaik.

"Saya yakin, PAS tentunya sangat bertanggungjawab untuk pastikan menteri besar baru dapat diganti di kalangan Pakatan Rakyat bagi memastikan amanah dan kepercayaan rakyat dalam PRU13 tidak disia-siakan, sekali gus survival Pakatan di Selangor terpelihara," Salahuddin memberi jaminan.

Mengulas sokongan terbuka Adun BN terhadap khalid seperti dinyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin,  Salahudin menegaskan ianya "tidak memberi apa-apa kesan terhadap kerjasama PAS dalam Pakatan".

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Exco PAS Selangor Sallehen Mukhyi ketika ditanya media pagi ini berkata, tidak timbul soal kerjasama dengan Umno kerana parti itu adalah pembangkang di Selangor.

"Soal (kerjasama) Umno tak timbul. Umno tidak ada dalam kerajaan. Tidak akan jadi. Kalau Umno ada dalam exco, PAS akan keluar.

"Umno tidak ada dalam senarai ini. Dia bukan kerajaan, dia pembangkang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

- HARAKAHDAILY 

No comments: