13 Ogos 2014

SUK S'gor arah 6 exco kosongkan pejabat

17 Syawal 1435. [MOD] -


Enam Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada DAP dan PKR diarah mengosongkan pejabat masing-masing ekoran pemecatan mereka mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
  
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi (kiri) berkata bagaimanapun buat masa ini tiada tempoh masa tertentu diberikan kepada kesemua Exco terlibat.
  
"Arahan pemecatan mereka telah diperkenankan Sultan Selangor dan mulai 12 Ogos (semalam) mereka tidak lagi dibenarkan untuk meneruskan tugas.
  
"Buat masa ini, tiada arahan dikeluarkan bila sepatutnya mereka harus mengosongkan pejabat masing-masing, tetapi mereka dibenarkan masuk ke pejabat bagi mengemaskan barang persendirian mengikut masa mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
  
Ketika diminta mengulas mengenai beberapa Anggota Exco daripada kedua-dua parti itu yang kelihatan hadir dan meneruskan tugas di pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Mohamed Khusrin berkata kehadiran Exco berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan tugasan rasmi.

"Mungkin dia datang untuk kemas barang atau jumpa orang... (jumpa orang) itu memang tugas dia selalu di Dewan Negeri Selangor ini," katanya.
  
Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat bagi meminta perkenan Sultan Selangor supaya keenam-enam Exco daripada PKR dan DAP yang tidak menyokong pentadbirannya digugurkan serta-merta.
  
Tiga anggota Exco daripada DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah sementara anggota Exco daripada PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi.

- Bernama

Tiada ulasan: