13 August 2014

Semua exco PAS hadir mesyuarat dengan MB pagi ini

17 Syawal 1435. [MOD] -

SHAH ALAM: Keempat-empat exco PAS hari ini hadir seperti biasa ke mesyuarat mingguan exco Exco Kerajaan Selangor bersama Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah .

Tiga dari mereka iaitu Sallehin Mukhyi, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Halimah Ali dilihat tiba lebih awal manakala Iskandar Samad tiba kemudian.

Ahmad Yunus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam ketika ditemui berkata kehadiran mereka hari ini adalah atas arahan parti demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Saya telah dipilih oleh Sultan. Saya bertugas untuk rakyat. Saya hadir hari ini atas arahan parti," katanya sambil menasihatkan para petugas media agar tidak bertanya soalan bersifat provokasi.

PAS sebelum ini mengeluarkan arahan agar exco kerajaan negeri dari PAS terus berkhidmat di dalam Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim demi kepentingan rakyat sehingga ada perkembangan terbaru.

Semalam, Abdul Khalid memecat tiga exco dari DAP dan tiga lagi dari PKR.

Ekoran itu, pimpinan PKR dan DAP pada satu sidang media malam tadi meminta exco PAS agar tidak hadir ke mesyuarat bersama Khalid hari ini.

- HARAKAHDAILY 

No comments: