28 Ogos 2014

Muktamad, jawatan MB Selangor milik PKR - Mustafa

2 Zulkaedah 1435 . [MOD] -

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah milik PKR.

Justeru, katanya PAS tidak akan menghantar nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

  
"Kita tidak akan calonkan Adun PAS untuk jawatan itu kerana Menteri Besar Selangor adalah jawatan milik PKR. Kita hormati perkara ini, ini adalah muktamad," ujarnya ketika dihubungi pagi ini.

Malam tadi, beliau mengadakan mesyuarat dengan kepimpinan PAS negeri itu yang turut disertai Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Exco Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad dan setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Menurutnya, mesyuarat itu tidak menyentuh mengenai isu Menteri Besar Selangor sebaliknya beliau hanya menjelaskan kronologi kemelut jawatan menteri besar kepada ahli PAS negeri itu.

PAS, katanya tetap dengan pendirian akan mempersembahkan tidak kurang daripada dua nama Adun PKR kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai calon menteri besar yang baharu.

"Jika ada laporan yang sebut saya kata sekurang-kurangnya tiga nama, itu tak betul," jelasnya.

Beliau berkata, PAS akan menghantar senarai nama itu kepada Istana Selangor sebelum 3 September ini.

Semalam, Istana Selangor menghantar surat rasmi kepada PKR, PAS dan DAP yang menitahkan supaya menghantar lebih daripada dua nama calon menteri besar sebelum 3 September.

Surat itu dialamatkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dengan salinan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mahukan calon yang dinamakan itu beragama Islam dan berketurunan Melayu menurut Perkara L1 (2), Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Baginda menitahkan supaya PAS, DAP dan PKR masing-masing mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu bagi memudahkan baginda menentukan calon berkelayakan. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: