28 Jun 2021

Kerajaan PN tidak sisih MP pembangkang

 


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengenepikan pembangkang dengan menyalur peruntukan sama rata bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada semua ahli parlimen (MP) termasuk pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada rakyat terjejas pelaksanaan.

Selain itu, RM10 juta juga diperuntukkan bagi melaksanakan program sama khusus untuk membantu masyarakat Orang Asli bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik, baik kerajaan atau pembangkang, semuanya mesti memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat.

“Kami sedar bahawa barangan keperluan asas amat penting bagi golongan memerlukan, jadi gunalah peruntukan ini sebaik mungkin,” katanya pada pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) petang ini.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk membantu rakyat dengan meringan beban sara hidup rakyat dengan meneruskan dasar pengawalan harga barangan keperluan seperti harga petrol, diesel dan minyak masak.

Bagi harga runcit petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) yang dijangka melibatkan subsidi kerajaan melebihi RM6 bilion pada tahun ini serta menangani kenaikan harga minya masak satu hingga lima kilogram.

“Kita akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil. Melalui program ini, sebagai contoh, harga minyak masak botol lima kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol.

“Kita komited untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dengan akan meneruskan dasar pengawalan harga barang keperluan, walaupun harga komoditi di peringkat global meningkat,” kata beliau.

Mengulas perkembangan itu Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim menyifatkan kerajaan PN berjiwa besar bagi membantu rakyat yang terjejas.

Katanya, ahli parlimen pembangkang juga mendapat peruntukan sama bagi membantu rakyat di bawah kerajaan PN sekarang.

“Sedangkan era kerajaan sebelum ini wakil rakyat pembangkang disisih daripada mendapat peruntukan untuk membantu rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/6/2021

Tiada ulasan: