28 Jun 2021

Warga emas 105 tahun lengkap dua dos suntikan

Mamat Mat Ali (kanan) dan isterinya Sharipah Samat (kiri) menunjukkan kad vaksinasi.- Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi


KUALA KRAI: Seorang warga emas berusia 105 tahun lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dalam Program Outreach Vaksinasi di Kampung Bahagia, di sini.

Mamat Mat Ali dianggarkan berusia lebih satu abad berdasarkan tanda bunga yang terdapat di kad pengenalannya, sebelum ini kisahnya pernah mendapat liputan media.

Mamat atau lebih dikenali Pak Adek, berkata dia dan isteri, Sharipah Samat, 79, menerima suntikan dos pertama pada 6 Jun lalu dan semalam, mereka lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

"Terima kasih kepada petugas kesihatan yang datang ke rumah untuk memberi suntikan vaksin kepada pakcik dan makcik yang uzur. Pakcik tidak boleh berjalan dan hanya mampu mengengsot sejak dua tahun lalu disebabkan faktor usia.

"Selepas menerima suntikan vaksin dos pertama, pakcik tidak mengalami sebarang kesan sampingan kecuali selsema sahaja. Pakcik juga tidak menghidap penyakit kronik kecuali masalah kurang pendengaran," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bahagia.

Sementara itu, anaknya, Syukriah Mamat, 36, berkata, ibu dan ayahnya sepatutnya perlu menghadiri janji temu suntikan vaksin di Hospital Kuala Krai pada April lalu, namun terpaksa menolaknya disebabkan masalah kesihatan mereka selain kesukaran untuk menaiki bot.

"Ayah perlu diusung dan untuk menghadiri janji temu itu kami perlu menyulusuri Sungai Kelantan dengan menaiki bot selama 45 minit.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dengan adanya Program Outreach Vaksinasi ini, petugas kesihatan terus datang ke rumah untuk memberikan suntikan vaskin kepada ibu dan ayah yang uzur," katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Ahmad Amzad Hashim turut menyantuni warga emas berkenaan ketika Program Outreach Vaksinasi.

Ahmad Amzad berkata, fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tumpuan diberikan kepada warga emas dan juga golongan berisiko yang mempunyai penyakit kronik.

Bertia Harian/-

Tiada ulasan: