24 Julai 2021

Masih ada ruang biaya pakej bantuan rakyat - Muhyiddin

 Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media secara maya mengenai perkembangan semasa kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 di pejabatnya hari ini. - Foto BERNAMA/PMO

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media secara maya mengenai perkembangan semasa kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 di pejabatnya hari ini. - Foto BERNAMA/PMO

PUTRAJAYA: Kerajaan masih ada ruang fiskal bagi membiayai pakej bantuan rangsangan ekonomi dalam membantu rakyat yang terjejas akibat penularan COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, biarpun ia adalah terhad, kerajaan tidak teragak-agak untuk membelanjakan wang untuk membantu rakyat selain memastikan kelangsungan ekonomi.

Beliau berkata, ketika ini, pengurusan ekonomi negara mendapat penarafan baik daripada badan penarafan antarabangsa seperti Fitch Solutions Country Risk & Industry Research dan Moody's Analytics.

"Memang agak tanggungan yang besar, bebanan yang terpaksa kita laksanakan. Saya fikir bukan saja di Malaysia (tetapi) di banyak negara juga terpaksa mencari jalan.

"Kita sudah menjalankan sebaik mungkin, dalam ruang undang-undang serta kekurangan yang kita ada, kita keluarkan sumber kewangan untuk membantu rakyat jelata.

"Saya yakin kita ada lagi ruang fiskal, walaupun agak terbatas, untuk membantu rakyat jelata," katanya pada sidang media khas, hari ini.

Muhyiddin berkata, nilai dagangan negara pada Mei lalu meningkat ke RM170.9 bilion manakala lebihan dagangan adalah sebanyak RM13.7 bilion selain lebihan akaun semasa serta daya ketahanan ekonomi negara adalah stabil.

Beliau berkata, melalui lapan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini, kerajaan membuktikan ia tidak teragak-agak untuk membelanjakan wang untuk membantu rakyat serta membantu kelangsungan perniagaan.

Kerajaan setakat ini sudah melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi dengan nilai melebihi RM530 bilion, termasuk lebih RM80 bilion suntikan fiskal kerajaan, yang memberi manfaat kepada lebih 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, defisit kerajaan dijangka akan melebihi unjuran enam peratus tahun ini dengan mengambil kira kesan kawalan pergerakan terkini dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor.

"Namun, defisit ini walaupun besar, boleh kita tolak ke tepi seketika untuk memastikan ekonomi Malaysia pulih dan rakyat kita dilindungi.

"Unjuran pertumbuhan mungkin terpaksa diturunkan sedikit, namun, kita optimis apabila lebih ramai divaksinasi dan lebih banyak sektor ekonomi dapat dibuka dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga (Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara), maka ekonomi kita akan bangkit semula," katanya. BH/-

Tiada ulasan: