13 September 2021

Agong titah segera gandakan usaha perangi COVID-19

 Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan yang baharu dibentuk supaya segera melipat gandakan usaha untuk memerangi COVID-19 dan membawa rakyat keluar daripada ancaman pandemik berkenaan.

Al Sultan Abdullah bertitah, melalui amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, baginda percaya kerajaan mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari.

Baginda bertitah demikian pada Isitiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 2021 di Parlimen, hari ini.

Baginda bertitah, negara kini berada di landasan yang kukuh dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan pakej bantuan kewangan serta rangsangan ekonomi kepada rakyat.

"Beta amat menghargai segala usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial serta kesejahteraan rakyat.

"Peratus kes sembuh COVID-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori satu dan dua, malah negara kita adalah antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, pencapaian itu adalah hasil daripada kejayaan PICK dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

"Kini, hampir 75 pekerja sektor pembuatan yang berdaftar dengan program imunisasi industri sudah menerima vaksinasi lengkap dan membantu meningkatkan produktiviti di sektor pengilangan dan pembuatan," katanya.

BH/-

Tiada ulasan: