Penuaan adalah proses berterusan yang perlu dilalui setiap individu seiring dengan peningkatan usia.
Kajian yang pernah dijalankan mendapati bahawa semakin meningkat umur seorang wanita, dia lebih tidak selesa terhadap diri sendiri.
Perlu diketahui bahawa proses penuaan tidak boleh dicegah, namun boleh dilambatkan dengan sentiasa menjalani gaya hidup sihat.
Perunding pengurusan berat badan dan pemakanan, Dr Malinda Mohd Ali berkata, diet memainkan peranan yang sangat penting dalam proses menua (menjadi tua) dengan sihat.
"Mentaliti masyarakat kita yang hanya mula untuk jaga makan selepas disahkan mendapat penyakit perlu dibuang jauh-jauh.
"Pendekatan yang terbaik dalam menjaga amanah kesihatan yang diberikan ialah dengan pencegahan.
"Makanan boleh menjadi ubat yang sangat mujarab dan pada masa sama boleh menjadi racun yang merosakkan. Pilihan di tangan kita," katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, dalam usaha untuk mencapai kesihatan yang lebih baik, menurunkan berat badan mahupun mengurangkan risiko penyakit kronik, pendekatan diet juga perlu lebih spesifik untuk diri sendiri.
"Diet peribadi akan membuatkan kita lebih mudah konsisten kerana hanya kita yang rasa dan tahu apa terbaik untuk diri sendiri.
"Kerap berpuasa dan kurangkan makan adalah satu kunci untuk penuaan yang lebih sihat. Puasa bersela antara salah satu pendekatan gaya pemakanan mudah untuk kita sesuaikan dengan rutin hidup yang semakin mencabar," katanya.
Dalam pada itu, perunding obstetrik dan ginekologi, Dr Arifah Hamim berkata, sebenarnya penyakit penuaan bermula dari usia muda yang berpunca daripada ketidakseimbangan dalam tujuh asas sistem dalam badan.
Beliau yang juga pengamal perubatan integratif berkata, tujuh asas itu adalah sistem usus, imunisasi atau keradangan, penjanaan tenaga, pelupusan 'sampah,' sistem peredaran darah, komunikasi dan struktur sel tubuh.
"Perencatan pada mana-mana sistem ini boleh menghasilkan penyakit seperti diabetes, strok dan pelbagai penyakit sakit puan seperti ketumbuhan dalam rahim serta vagina.
"Kunci kesihatan untuk penuaan sihat dan menamatkan penyakit sedia ada adalah sangat mudah iaitu dengan menghapuskan perkara yang menimbulkan ketidakseimbangan serta menyuburkan kembali menerusi perkara yang mengembalikan keseimbangan.
"Maka fokus bagi mengelak atau mengawal penyakit adalah dengan mendalami akar umbi penyebab penyakit ini. Pasti kita mampu menambah bilangan tahun ke hadapan yang lebih sihat dengan kaedah ini (root cause treatment)," katanya.
Bagi doktor estetik, Dr Iman Thalia, penjagaan kulit juga memainkan peranan penting dalam kalangan wanita dalam berdepan dunia yang semakin mencabar.
Katanya, otak dan sistem saraf mempengaruhi sel-sel imun kulit melalui pelbagai utusan dan reseptor kimia yang bertindak balas terhadap tekanan.
"Otak kita memainkan peranan utama dalam tindak balas tekanan yang memberikan kesannya pada kulit.
"Apabila tindak balas ini diaktifkan, hormon stres seperti hormon pelepasan kortikotropin (CRH), glukokortikoid dan epinefrin dilepaskan.
"Ini menghasilkan pelbagai reaksi fisiologi dan imun yang boleh mencetuskan kerengsaan kulit seperti ekzema, jerawat mahupun psoriasis," katanya.
Pengamal perubatan integratif, Dr Fouziah Hamzah berpendapat, kesihatan emosi juga perlu dititikberatkan dalam mengharungi dunia yang sedang berubah.
Katanya, wanita mengalami emosi pada kontinum yang berfluktuasi iaitu kemurungan atau kegelisahan dalam bentuk berbeza.
"Ciri-ciri kemurungan termasuk ketidakstabilan perasaan atau emosi, hilang keinginan terhadap aktiviti harian, perubahan berat badan, gangguan tidur, keletihan, kurang atau hilang fokus, pemikiran terhadap kematian dan dorongan untuk membunuh diri adalah kemuncak depresi.
"Namun, apabila hormon dan nutrisi badan seimbang, ia mudah mengimbangi kesan kemurungan dan kegelisahan. Sebaliknya, ketika hormon tidak seimbang, kemurungan menghantui dan mengganggu kemampuan diri untuk berfungsi dengan normal," katanya.
Bagi pengasas Skyhill Clinic, Dr Linda Mat Hassin, pandemik Covid-19 menuntut wanita berdepan cabaran berbeza dalam mengamalkan gaya hidup norma baharu.
"Saya sangat berharap kita dapat belajar banyak perkara baharu dengan terus mengekalkan semangat yang baik.
"Setiap krisis, memberi kita peluang untuk melihat ke depan dan perbaharui setiap langkah dengan visi yang lebih baik serta pendekatan yang berpotensi lebih besar dalam mencapai aspirasi," katanya.
hmetro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan