10 September 2021

SIRIM, Ko-Makmur bangun pusat penyelidikan emas

 

KUANTAN: SIRIM Berhad dan Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur) menjalin kerjasama strategik membangunkan Pusat Kecemerlangan dan Penyelidikan Emas terbesar di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata pusat itu yang dibangunkan di SIRIM Pahang dijangka beroperasi pada November ini.

Katanya, pusat itu bukan saja membangunkan industri emas, ia turut memberi penekanan kepada aspek kesenian, reka bentuk dan pemasaran.

"Melalui kerjasama ini, SIRIM akan menggunakan kepakaran teknologi bagi memastikan setiap emas dihasilkan mempunyai ketulenan yang tepat.

"Setiap emas yang dihasilkan mempunyai satu nilai yang tepat dan pengguna tidak akan tertipu. Dengan kerjasama ini kita memastikan pengguna membeli barangan berkualiti dan dijamin terbaik setiap masa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perbincangan dan meninjau tapak pembangunan pusat itu di bangunan SIRIM Pahang, di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Ko-Makmur, Datuk Hishammuddin Abdullah.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerjasama itu adalah permulaan baharu untuk Ko-Makmur meneroka pasaran lebih besar hingga ke peringkat antarabangsa.

"Oleh itu, dengan pengiktirafan diperoleh daripada SIRIM, ia akan memberi kesan positif kepada pasaran produk emas Ko-Makmur," katanya.

BH/-

Tiada ulasan: