Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Musim pandemik ini, sebahagian besar jadual perancanganku terbantut. Antaranya untuk menziarahi Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah dikediamannya yang terletak di kampong Gemuruh Kuala Nerus. Bimbang akan menyusahkan keluarga beliau dan menularkan penyakit dalam kondisi beliau yang terbaring lemah.Almarhum antara sosok besar dalam program kaderisasi dakwah dalam dekad 70an Dan 1980an, berkubang di kampus UKM ,PKPIM,ABIM seterusnya dalam pemuda PAS serta dalam Dewan ulama PAS. Menziarahi almarhum bermakna aku akan mencungkil banyak sejarah perjuangan dan pelbagai maklumat tentang harakatul ummah ini. Berita kematian Ustaz Kor dipagi Jumaat ini menghiasi medsos terutama aktivis PAS di Terengganu, ribuan anak murid almarhum alumni Institut Berakan juga berkongsi khabar duka ini.
Terkenal dengan reputasinya dalam bidang pendidikan, Aku menjadikan Ustaz Kor sebagai responden utama thesis PhDku selain almarhum Dato harun Taib, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, almarhum Ustaz Yahya Othman, almarhum Dato Abu Bakar chik. Seorang yang pendiam namun mutiara katanya umpama butiran emas, almarhum juga seorang jurubina kader yang tersohor. Idea-ideanya, melangkaui zaman dan keseriusan untuk memeluk segala impian maka insan ini begitu komited bekerja. dalam perjuangan Islam ustaz Kor seumpama saudara kembar kepada almarhum Dato Abu Bakar chik semenjak zaman kampus mereka sentiasa bersama membina generasi. Tanda jasa almarhum sangat piawai dan pelbagai, menubuhkan sekolah, masjid, NGO, membantu insan lain yang memerlukan bantuan bahkan Lujnah kebajikan sentiasa menjadi kembar Siam almarhum. Beliau mengotakan kata-katanya, tiada istilah bosan dan lelah dalam perjuangan. " Ana bahagia menghabiskan umur ana begini!" Tukas sang murabbi ini.
Almarhum Antara watak peserta kebangkitan semula Islam dekad 1970an. Dizaman beliau sihat jasadnya, almarhum bukan sahaja memenuhi pelbagai undangan ceramah, mengisi materi di jaulah, tamrin, ijtimak, namun menggunakan pelbagai kenderaan untuk sampai ke lokasi program. Saat orang lain memilih menjadi pensyarah apabila mempunyai ijazah MA ,Ustaz Kor Hanya memilih menjadi mudir dengan dibayar gaji ratusan ringgit sahaja!." salahudin Ayub tu ..ana yang bawa pergi ke Tamrin panjang di Kota Baharu.." imbau Ustaz Abu Bakar Abdullah padaku suatu Masa dahulu.
Sosok ini terus menjadi kenangan kolektif kita semua. Menjadi aktivis semenjak zaman remaja, idealis kampus serta aktivis yang berani mendombrak kezaliman sehingga memilih menjadi pendidik yang tak terikat dengan kerajaan . Almarhum banyak menulis buku Dan kertas kerja Serta terlibat dalam banyak seminar. Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah adalah kejora di langit malam yang menghiasi rentang perjuangan PAS lebih empat dekad. Memimpin anak-anak muda dalam dekad 80an sehingga menjadi Exco DPP Pusat, dizaman beliau memimpin pemuda lahirlah PASTI ,Unit Amal dan lain- lain.
Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal PKPIM Dan ABIM di Terengganu dalam dekad 70an bersama Ustaz Abu Bakar Chik , Hj Husin Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangaat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja yang terletak di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh regim BN pada tahun 1991. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang berdiri megah adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu. Almarhum juga bersemadi di tanah kompleks pendidikan ini bersama sahabat- sahabat beliau yang lain.
Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Menyambung pengajian MA juga di UKM dan bermukim ilmu di Universiti Sultan Zainal Abiding sehingga menggalang ijazah doktorat. Beliau Antara ilmuan dalam jamaah, kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jamaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli tentang tasawwur perjuangan Islam.
Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1990 dan memenangi DUN Tepoh semasa PAS bersama APU, menjadi anggota legislatif tidak mematikan minat dan bakat almarhum dalam dunia pendidikan. Mantan YDP Kuala Nerus ini terus tersenyum dimimbar masjid dan surau mencerahkan akal masyarakat. Buku dan kertas kerja terus ditinta tanpa jemu.
Ustaz menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di DUN Tepoh seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu dan memegang Potfolio Kebajikan. Beliau tak kering idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma. Aku teringat saat almarhum menemankan aku makan Durian dikediamannya, mengimbau kenangan beliau menubuhkan PASTI , DAR Serta ujian disepanjang persahabatan dalam jamaah. Berkongsi sebuah motorsikal dengan almarhum Ustaz ABC , bahkan berbonceng motor balik ke Terengganu daripada UKM. Tanpa ukhuwwah ,perjuangan adalah fatamogana !.
Ustaz Abu Bakar Abdullah adalah antara pengasas masjid hijau Kampong sungai Ikan Kuala Nerus, sebuah masjid yang dibina untuk mengimarahkan ilmu untuk masyarakat setempat. Beliau bukan sekadar berkuliah dan berusrah namun membina institusi pendidikan Serta mencetak kader - kader Dakwah.
Terlalu banyak yang perlu saya coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baikku ini. Sejujurnya, Dr Abu Bakar adalah sumber inspirasi yang tak pernah malap, ISTIQOMAH dalam pelbagai jawatan dalam PAS , walau terbaring sakit namun tetap gagah menghadiri program jemaah , Alfatihah buat maestro perjuangan, kami juga akan menyusul ke negeri abadi!.
(Penulis ialah AJK Pas Pusat, Pengerusi LESTARI)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan