10 Oktober 2021

Dibenar keluar negara tanpa melalui #MyTravelPass

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri dibenarkan mulai esok pada sidang media di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri dibenarkan mulai esok pada sidang media di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk untuk melancong tanpa melalui MyTravelPass Jabatan Imigresen, berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, individu berkenaan mesti lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebaik pulang ke tanah air.

"Sebelum ini, sesiapa saja yang ingin ke luar negara mesti memohon melalui MyTravelPass. Walaupun beberapa kategori dibenarkan seperti perniagaan, pendidikan dan urusan rasmi kerajaan, mesti membuat permohonan melalui MyTravelPass.

"Justeru, kerajaan membuat keputusan MyTravelPass tidak lagi diperlukan dan penggunaannya dimansuhkan untuk rakyat kita yang ingin ke luar negara, bermakna sesiapa saja warga Malaysia masih boleh ke luar negara termasuk untuk aktiviti pelancongan.

"Kita percaya ramai yang terpisah dengan keluarga, tidak boleh berjumpa sanak saudara, malah keluarga terdekat kerana memerlukan kebenaran. Kali ini, ia dibenarkan kepada semua," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan dan secara dalam talian, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, rakyat yang ke luar negara perlu melakukan ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum pulang ke tanah air dan sebaik tiba di pintu masuk negara.

"Mereka kemudian perlu menjalani kuarantin seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), setakat ini masih 14 hari jika melancong dan sebagainya.

"Bagaimanapun, saya percaya perkara ini sedang diteliti dengan lebih terperinci. Insya-Allah, mungkin ada apa-apa pengumuman akan dilakukan nanti.

"Bagi warga kita, sudah pun dibenarkan kuarantin di rumah dan jika ada kes, KKM akan menempatkan mereka di pusat kuarantin yang disediakan," katanya.

bharian/-

Tiada ulasan: