Riyadh: Hanya individu yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin yang diiluluskan oleh Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan umrah dan mengunjungi Masjidilharam, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.
Perkara itu dinyatakan oleh Kementerian Haji dan Umrah negara itu.
Menurut pengumuman berkenaan, individu yang mendapat pengecualian untuk tidak divaksin berdasarkan aplikasi Tawakkalna juga dibenarkan untuk mengunjungi kedua-dua masjid berkenaan mulai Ahad.
Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa mulai 6 pagi 10 Oktober sebagai langkah mengekang penularan Covid-19, lapor Arab News.
Mereka yang sudah membuat tempahan dan mempunyai permit untuk mengunjungi dua masjid berkenaan tetapi tidak menerima dua dos, mesti menerima dos kedua dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh kunjungan pada permit untuk mengelak pembatalan.
Pusat-pusat vaksin di seluruh Arab Saudi menawarkan janji temu suntikan vaksin dan lebih 43.1 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan di negara itu.
Setakat ini, empat vaksin diluluskan Arab Saudi iaitu Oxford-AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Johnson & Johnson, dan Moderna.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi sebelum ini melaporkan mereka yang sudah lengkap divaksin dengan vaksin Sinopharm atau Sinovac juga boleh diterima dengan syarat mereka sudah mengambil dos penggalak yang dipersetujui kerajaan.
hmetro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan