10 Oktober 2021

'Jika hargai frontliner, kita perlu lebih bertanggungjawab' - Khairy

 KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Kuala Lumpur: Pengumuman kerajaan yang membenarkan individu lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok adalah satu penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, tanggungjawab kini terletak kepada rakyat Malaysia kerana walaupun rentas negeri dibenarkan, mereka perlu sentiasa mematuhi semua tindakan kesihatan awam dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang masih berkuat kuasa.

"Jika anda benar-benar menghargai apa yang telah dilakukan oleh petugas barisan hadapan sejak setahun setengah yang lalu, anda akan menjadi lebih bertanggungjawab, sedar kendiri, (dan) anda akan memastikan bahawa anda akan menjaga kesihatan diri sendiri.

"Alhamdulillah, hari ini telah mencapai nilai ambang yang telah kita janji dan kita umumkan, saya rasa ini adalah pengumuman yang sangat tepat dengan tarikh hari ini iaitu 10 hari bulan 10 (10 Oktober) yang mana sama dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Doktor Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis 'Free Medical Camp' anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sempena Hari Doktor Malaysia 2021 secara maya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan kebenaran merentas negeri berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

hmetro/-

Tiada ulasan: