Brisbane: Sebuah bandar tropika di utara Australia dilanda hujan ais dianggarkan sebesar saiz mangga atau limau gedang, sehingga menghancurkan cermin kenderaan penduduk.
Ais berkenaan berukuran lebih 16 sentimeter (sm), kata Biro Meteorologi Australia.
Katanya, ia dianggap ketulan ais paling besar direkodkan di kawasan itu.
Hujan ais dikesan di Yalboroo selepas ribut melanda pekan yang berada kira-kira 1,000 kilometer dari Brisbane, semalam.
Gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan ketulan ais sebesar tapak tangan dan sebuah video yang menunjukkan ais besar menghancurkan bahagian depan kenderaan dikongsi di Twitter.
"Cuaca sangat tidak stabil, menyebabkan hujan ais terus berlaku sebelum graviti memaksanya untuk turun," kata Biro Meteorologi melalui Twitter.
Katanya, rekod sebelum ini dicatatkan di tenggara Queensland pada Oktober tahun lalu dengan hujan ais sebesar 14 sm.
Terdapat amaran baharu kemungkinan ribut petir akan berlaku di sepanjang pantai timur Australia hari ini, dengan laporan hujan ais juga akan berlaku di bandar pesisir Coffs Harbour, utara Sydney pula. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan