PETALING JAYA: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) mengarahkan kilang memproses belacan di Sungai Puyu dan tauhu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, ditutup dua minggu selepas didapati kotor termasuk dicemari najis tikus.
Dalam serbuan kira-kira 10 pagi tadi, najis tikus ditemui dalam stor penyimpanan kedua-dua produk berkenaan.
Malah, hasil pemeriksaan di kilang tauhu itu mendapati produk terbabit diletakkan di tempat tidak sewajarnya, manakala pekerja di premis memproses belacan pula dilihat seakan-akan “terpijak” produk berkenaan yang hanya dijemur atas lantai.
Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid, berkata pihaknya bersama Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyerbu kedua-dua premis berkenaan selepas membuat risikan kira-kira empat minggu.
Dalam serbuan pertama membabitkan kilang memproses tauhu, beliau berkata, persekitaran premis terbabit didapati kurang memuaskan, termasuk dari segi kebersihan dalam pengendalian makanan, selain ada pekerja dikesan tidak mendapatkan suntikan tifoid.
“Keadaan sama didapati turut berlaku di premis kedua membabitkan kilang memproses belacan dengan persekitaran tidak bersih, peralatan memproses juga kotor, dan pekerja tidak mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) yang sesuai untuk mengendalikan produk.
“Pelabelan dan penggunaan logo halal pada produk belacan terbabit juga didapati meragukan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Wazir berkata, pihaknya pernah menyerbu kilang tauhu sama kira-kira dua bulan lalu melalui operasi pematuhan SOP.
“Kilang terbabit dipercayai beroperasi sejak 10 tahun lalu dan mempunyai lesen perniagaan sah.
“Bagaimanapun, kilang memproses belacan itu disyaki beroperasi tanpa lesen sejak lima tahun lalu dengan berselindung di sebalik kilang lain yang memproses gaharu,” katanya.
Susulan itu, pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun berjumlah kira-kira RM12,000 atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, kita juga menutup kedua-dua premis terbabit selama dua minggu bermula hari ini, mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 untuk kerja pembersihan dilakukan,” katanya.
FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan