BREDA: Penunjuk perasaan menentang sekatan pergerakan COVID-19 di Belanda terus berhimpun, sehari selepas 51 individu ditahan dalam 'perhimpunan mencetuskan rusuhan' di Rotterdam, yang mengakibatkan dua cedera ditembak.
Kerajaan negara itu kembali melaksanakan sekatan pergerakan selama tiga minggu bagi membendung penularan COVID-19 minggu lalu, dengan melarang rakyatnya yang tidak divaksin memasuki beberapa lokasi.
Ia mengakibatkan ribuan penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan turut berhimpun di Amsterdam.
Ribuan lagi berarak melalui bandar Breda yang berhampiran sempadan Belgium, dengan membawa sepanduk yang tertulis slogan 'No Lockdown'.
Penganjur juga mendakwa mereka menentang rancangan Perdana Menteri, Mark Rutte untuk mengecualikan mereka yang tidak divaksin daripada memasuki bar dan restoran.
"Rakyat mahu hidup dan disebabkan itulah, mereka di sini. Kami bukan perusuh sebaliknya kami hadir dengan aman," kata penganjur, Joost Eras.
Tunjuk perasaan terbaru itu selepas rusuhan di Rotterdam dengan polis mendakwa mereka terpaksa melepaskan tembakan amaran dan menyasarkan pihak terbabit serta menggunakan meriam air.
"Dua perusuh cedera selepas mereka terkena peluru. Mereka masih di hospital," kata polis yang turut memberitahu, pasukan penyiasat Jabatan Jenayah Polis Belanda sedang menyiasat 'adakah kecederaan itu berpunca dari tembakan pihak keselamatan'.
Polis berkata, seorang anggotanya juga terpaksa dibawa ke hospital akibat kecederaan di kaki manakala beberapa lagi turut cedera dan mengalami masalah pendengaran akibat mercun besar yang dipasang oleh perusuh.
Sebelum itu, polis berkata, mereka terpaksa melepaskan tembakan amaran tetapi 'ada satu situasi ia menjadi sangat bahaya dan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sasaran'.
Mereka juga menafikan mengenai khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa seorang meninggal dunia di Rotterdam.
Datuk Bandar, Ahmed Aboutaleb mengecam rusuhan yang disifatkan sebagai 'perhimpunan mencetuskan rusuhan'.
"Polis terpaksa mengeluarkan senjata api untuk mempertahankan diri mereka," katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan