Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Nanas berpotensi pada masa hadapan sebagai makanan asas utama penduduk dunia, malah menjadi hidangan dan makanan penting di hotel-hotel terkemuka termasuk di Itali.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pada masa ini kawasan seluas 17,000 hektar ditanam dengan nanas di seluruh negara, dan kerajaan bercadang meningkatkan lagi tanaman itu kepada 20,000 hektar dalam tempoh Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 (2021-2025) berasaskan permintaan tinggi industri itu.
Menurutnya, Kelantan dilihat mempunyai potensi besar dalam tanaman itu sepert varietii MD2, Madu Kaca, Sarawak serta yang terbaharu, nanas cobek mampu menjadi antara pengeluar nanas utama di negara ini bagi menampung permintaan tinggi dalam dan luar negara.
“Tanaman nanas dikategorikan kerajaan sebagai sumber kekayaan baharu negara terutamanya MD2 yang nilai eksportnya meningkat kepada RM641 juta pada tahun 2020 berbanding RM492 juta tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyampaian Bakul Makanan MAFI Prihatin dan insentif LPNM di sini semalam.
Katanya, Lembaga Perindutrian Nanas Malaysia (LPNM) bersedia untuk menimbang geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada setiap belia berumur 40 tahun ke bawah yang berminat menanam nanas secara berkelompok.
Menurutnya lagi, sekiranya 10 orang menyertai satu kumpulan bermakna mereka mendapat geran bantuan berjumlah RM200,000.
“Ini tidak termasuk hasil lumayan yang bakal mereka perolehi memandangkan permintaan tinggi dari seluruh dunia malah keperluan dalam negara masih tidak mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, sempena majlis berkenaan, sebanyak 500 bakul makanan diedarkan kepada penduduk di kawasan Parlimen Pasir Puteh yang terjejas dalam pandemik Covid-19 yang terdiri daripada orang awam, petani, penternak dan nelayan serta petugas barisan hadapan.
Antara barangan makanan termasuk beras, gula, tepung, minyak masak susu pekat, biskut, behun nanas tin serta jem nanas.
Sementara itu Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata, LPNM menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan pengusaha nanas kepada RM8,000 sebulan dalam tempoh RMK Ke-12 berbanding purata RM5,000 sebulan dalam tempoh RMK sebelumnya.
“Kejayaan itu berdasarkan perancangan program pembangunan LPNM melalui peruntukan yang diperakukan oleh kementerian untuk mempelbagaikan program pembangunan yang berorentasikan peningkatan penjanaan pendapatan kepada para pekebun dan pengusaha nanas,” katanya. HARAKAHDAILY 21/11/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan