WELLINGTON: New Zealand mengumumkan negara itu tidak akan membuka semula sempadan kepada pengembara asing sekurang-kurangnya lima bulan lagi.
Negara Kiwi itu kini secara perlahan-lahan melonggarkan beberapa sekatan sempadan pandemik yang disifatkan paling ketat di dunia.
Menteri Tindak Balas COVID-19, Chris Hipkins, berkata warga New Zealand yang terkandas di Australia dibenarkan pulang mulai pertengahan Januari, manakala mereka yang melakukan perjalanan dari tempat lain akan dibenarkan kembali sebulan kemudian.
Bagaimanapun warga asing perlu menunggu sehingga akhir April di bawah pelan tindakan pembukaan semula berperingkat diumumkan pada Rabu.
"Kami mengakui ia sukar, tetapi penghujung sekatan perjalanan kini dapat dilihat," kata Hipkins kepada pemberita.
New Zealand menutup sempadannya pada Mac tahun lalu, memerlukan semua ketibaan antarabangsa menjalani kuarantin di hotel selama dua minggu yang kemudiannya dikurangkan kepada tujuh hari.
Hipkins berkata di bawah rejim baharu, pengembara akan mengasingkan diri selama tujuh hari dengan syarat mereka lengkap vaksin dan lulus beberapa siri saringan COVID-19.
Langkah itu dibuat di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat daripada warga New Zealand di luar negara yang kecewa kerana tidak dapat menempah tempat dalam sistem kuarantin hotel yang terlalu ketat.
Media tempatan kerap menyiarkan laporan mengenai warganegara tidak dapat pulang untuk menziarahi keluarga yang meninggal dunia kerana tiada bilik kuarantin tersedia.
Pengumuman sempadan itu dibuat ketika New Zealand bersiap sedia merombak tindak balas domestik COVID-19 bagi menghapuskan sekatan.
Strategi menghapuskan virus sepenuhnya sebelum ini menyaksikan hanya 40 kematian dalam populasi lima juta direkodkan tetapi pegawai mengakui penularan Delta akan menyebabkan matlamat itu tidak lagi dapat dicapai.
Hipkins mengakui ramai warga New Zealand mahu sempadan dibuka Krismas ini tetapi berkata ia bukan jangkaan yang realistik.
"Pandemik global berterusan dengan jumlah kes melonjak di Eropah dan bahagian lain di dunia," katanya.
"Jadi kami perlu berhati-hati membuka semula sempadan itulah yang kami lakukan dan yang selalu kami lakukan."
Hipkins berkata mulai bulan depan India, Pakistan, Indonesia, Fiji dan Brazil tidak lagi diklasifikasikan sebagai negara berisiko tinggi, menjadikan warganegara mereka layak ke New Zealand mulai 30 April. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan