SAUDARA PENGARANG,
TERLALU banyak sejarah Perlis yang masih belum diterokai. Salah satunya berhubung kewujudan makam Acheh.
Kewujudan makam-makam berbatu Acheh di Perlis membuktikan kehadiran orang-orang Acheh di Kedah melalui aktiviti perdagangan dan penyebaran Islam. Dahulu, Perlis merupakan bekas jajahan Kedah sebelum diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat.
Salah satunya makam yang terletak di Kampung Changkat Lada, Jejawi Sungai Adam. Dahulunya tempat ini termasuk dalam kawasan Kota Santan, iaitu salah sebuah kota yang pernah wujud di Perlis suatu ketika dahulu.
Menurut rekod terdapat di Muzium Kota Kayang, ada beberapa lagi makam batu nisan Acheh. Antaranya Makam Tok Gergut, Makam Tok Tina Aluih, Makam Tok Sena, Makam Tok Jaya, Makam Tok Acheh, Makam Tok Seri Manis, Makam Tok Surau serta Makam Tok Weng.
Sebenarnya terdapat lebih kurang 19 batu nisan Acheh yang dapat dikesan berada di Perlis.
Kedatangan orang Acheh yang membuka kawasan sebelah utara menarik minat Sultan Kedah untuk membuka pusat pentadbiran baginda di negeri ini.
Banyak kesan sejarah di negeri ini yang belum diterokai terutama sejarah kedatangan orang Acheh. Apa kesan kedatangan mereka di negeri ini? Kenapa pembesar mereka ramai di negeri ini? Ini terbukti dengan penemuan-penemuan batu nisan pembesar Acheh yang terdapat di Perlis.
ASWADYQALBINADA, Presiden Kelab Pelajar/Alumni, OUM Alor Setar/Perlis
UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan