ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi membolehkan solat jemaah di masjid dan surau negeri ini dilakukan tanpa penjarakan sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor dan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor, minggu depan bagi melengkapkan kertas cadangan itu.
Katanya, kertas cadangan itu kemudiannya akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bagi mendapatkan perkenan baginda.
Beliau berkata, ramai masyarakat Islam di Johor menimbulkan persoalan bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu, tanpa penjarakan sosial selepas Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Oleh itu, minggu hadapan kita akan perincikan kertas cadangan SOP baharu solat jemaah di masjid dan surau Johor sebelum dipersembahkan kepada Sultan Johor.
"Dua cadangan akan dimasukkan dalam kertas cadangan itu iaitu pertama adalah solat jemaah dengan kapasiti penuh masjid/surau tanpa penjarakan sosial dan cadangan kedua, solat jemaah dengan kapasiti penuh dengan penjarakan sosial.
"Johor juga akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mempersembahkan kedua cadangan itu kepada Sultan Ibrahim.
"Insya-Allah, awal Januari depan Johor akan mulakan tatacara SOP baharu solat berjemaah baharu, dan diharapkan cadangan solat jemaah tanpa penjarakan sosial akan dibenarkan MKN dan diperkenan Sultan Johor," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini.
Sejak bulan lalu, Johor membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri itu mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Oktober lalu itu, Johor turut membenarkan solat fardhu lima waktu dan solat jenazah pula mengikut kapasiti satu pertiga ruangan solat masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter.
Sementara itu, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, berkata SOP baharu solat berjemaah terutama kapasiti penuh tanpa penjarakan sosial itu, tertakluk pada situasi COVID-19 semasa negeri ini.
"Namun, SOP sedia ada terutama jemaah perlu lengkap dua dos vaksin masih dikekalkan walaupun SOP baharu akan dilaksanakan Januari nanti.
"Kita juga akan pastikan semua pegawai masjid dan surau negeri ini terutama imam, bilal dan noja sudah lengkap divaksin, bagi elak perkara luar jangka," katanya.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan