BINTULU: Kawasan Jepak akan dimajukan sebagai pusat pentadbiran, perumahan rakyat dan komersil baru seperti Petra Jaya di Kuching.
Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan itu akan dimajukan dengan pembangunan yang lebih pesat.
Kata beliau sekiranya dipersetujui masyarakat tempatan kawasan Jepak baharu harus dinamakan sebagai Jepak Jaya seperti Petra Jaya bagi kawasan seberang Sungai Sarawak di Kuching.
“Pembangunan di kedua-dua belah tebing Batang Kemena harus seimbang dan Jambatan Kuala Kemena dibangun untuk memudahkan usaha membangunkan Jepak.
“Petra Jaya untuk Kuching, Jepak Jaya untuk Bintulu,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran pembangunan kawasan Jepak di seberang Bintulu semalam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Ketua Menteri, (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talip Zulpilip, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Datuk John Sikie Tayai.
Abang Johari juga berkata, dengan adanya Jambatan Kuala Kemena dapat mempercepatkan lagi kemajuan fizikal di kawasan tersebut.
Begitu juga pembinaan Kompleks Pejabat Residen Bintulu yang baharu akan menjadi teras pembangunan Jepak.
Menurutnya juga skim perumahan rakyat yang bakal dibangunkan di Jepak sebanyak 7,000 lot secara berfasa sebagai usaha untuk menyediakan rumah mampu milik untuk penduduk di Bintulu.
“Seperti skim-skim penempatan di Kemuyang, Sibu dan Sungai Bedaun di Santubong, Kuching kerajaan akan menyediakan prasarana yang secukupnya termasuk jalan raya, elektrik dan bekalan air.
“Rumah-rumah akan dijual lebih kurang RM150,000 seunit dan dengan nilai tanah berkeluasan 12 point dan nilai semua kemudahan disediakan mampu mencapai nilai RM300,000,” kata beliau.
Beliau berkata, program pembangunan tersebut memerlukan perancangan teliti dan sebuah kerajaan yang mampu memberi fokus untuk manfaat rakyat.
Katanya juga rakyat perlu mengambil iktibar daripada keberadaan tiga perdana menteri dalam tempoh tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
“Begitu juga usaha untuk membangunkan Sarawak akan terbantut jika kerajaan goyah.
“Oleh itu saya berkehendak mandat yang kuat untuk meneruskan usaha membangunkan negeri Sarawak,” ujar beliau. – SARAWAKKU
Tiada ulasan:
Catat Ulasan