KUALA LUMPUR: Kereta kompak nasional paling laris di Malaysia, Perodua Myvi baharu dilancarkan secara rasmi dengan harga ditawarkan bermula dari RM45,700 hingga RM58,800, kekal di bawah RM60,000 seunit.
Model generasi ketiga yang dipertingkatkan itu hadir dengan beberapa perubahan ketara termasuk penambahbaikan dalam sistem keselamatannya dengan menampilkan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA), yang direka dengan mengambil kira keselamatan pemandu dan pejalan kaki.
Sistem PSDA termasuk Advance Safety Assist versi 3.0, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist (LKS), Blind Spot Monitoring System (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) (tersedia dalam semua varian kecuali varian 1.3L G yang terendah).
Ia bermakna semua varian Myvi Baharu kini mempunyai teknologi Autonomi Tahap 2 kecuali salah satu daripada varian G.
Perodua Myvi baharu ditawarkan pilihan lima varian iaitu 1.5 liter AV (Advance) yang ditawarkan pada harga bermula RM58,800; 1.5 liter H (RM53,900), 1.5 liter X (RM49,900), 1.3 liter G dengan PSDA (RM47,700); dan 1.3L G (Asas) pada harga mulai RM45,700.
Perodua Myvi baharu sudah menerima 4,303 tempahan dalam tempoh sembilan hari tempahan dibuka 9 November lalu dengan penghantaran serta-merta bermula esok.
Myvi Baharu yang menelan belanja RM50 juta untuk dibangunkan, mempunyai teknologi canggih, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan, penjimatan bahan api yang lebih baik, penampilan baharu yang 'sporty' serta warna baharu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata jenama nasional itu menjangkakan untuk menjual 6,000 unit Perodua Myvi baharu sebulan, yang mana ia membolehkan syarikat kereta kompak itu mengekalkan kecenderungan jualan Myvi pada masa akan datang.
"Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia terutama pelanggan kami atas sokongan yang diberikan kepada Perodua dan Myvi baharu.
"Myvi telah menarik perhatian rakyat Malaysia dan telah diterima secara meluas oleh masyarakat. Tawaran baharu ini adalah untuk memastikan pelanggan kami yang dihargai memperoleh nilai yang terbaik.
"Ini adalah pertama kali dalam sejarah Malaysia, syarikat kereta menawarkan teknologi Autonomi Tahap 2 kepada model di bawah tanda harga RM60,000," katanya ketika melancarkan model paling laris keluaran PERODUA, hari ini.
Pelancaran varian baharu ini adalah dalam tempoh minggu yang sama dengan pelancaran Myvi generasi ketiga iaitu pada 16 November 2017.
Myvi yang mula diperkenalkan pada Mei 2005 telah menjual kira-kira 1.3 juta unit setakat ini dan daripada jumlah tersebut, Myvi generasi ketiga terjual sebanyak 277,329 unit.
Semua varian di bawah Myvi baharu akan menampilkan transmisi baharu iaitu Dwi-mod CVT (Continuous Variable Transmission), menggantikan transmisi 4-kelajuan.
Dwi-mod CVT itu akan meningkatkan lagi kecekapan transmisi, ringan dan bersaiz kompak, memberikan lebih kuasa pecutan dan lancar pada kelajuan rendah serta menjadikan kenderaan lebih senyap selain meningkatkan kecekapan bahan api.
Dengan penambahbaikan itu ini, Myvi baharu mampu mencatatkan peningkatan sebanyak lima peratus atau tambahan 1 kilometer bagi setiap liter bahan api serta 20 peratus pecutan yang ditambah baik.
Peningkatan kecekapan bahan api Myvi Baharu adalah komitmen PERODUA ke arah mengurangkan impak kepada alam sekitar dan usahanya ke arah matlamat untuk menjadi sebuah organisasi karbon neutral.
Myvi baharu juga menampilkan warna baharu iaitu Cranberry Red, yang hanya tersedia untuk varian AV. Warna lain termasuk Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.
Mengenai prospek industri keseluruhan tahun ini, Zainal Abidin berkata, cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19 masih ada dan memberi kesan kepada pengeluaran kenderaan yang kerap tergendala untuk menghentikan penyebaran virus itu.
Katanya, kekurangan bekalan cip semikonduktor juga masih menjadi isu bagi pengeluar di seluruh dunia kerana pembuat cip bergelut untuk bersaing dengan permintaan.
"Cabaran ini telah menjejaskan jumlah pengeluaran kami; kami tidak dapat mendedahkan berapa banyak impak pada masa ini tetapi cukup untuk kami nyatakan bahawa Perodua tidak akan dapat mencapai sasaran jualan 214,000 kenderaan yang ditetapkan sebelum ini.
"Walaupun begitu, permintaan untuk kenderaan kami masih sihat dengan jumlah pesanan yang besar serta jangkaan permintaan yang kuat pada masa hadapan berikutan pengecualian cukai jualan yang berterusan.
"Oleh sebab itu, kami menjangkakan kedua-dua pengeluaran dan jualan akan menjalani pemulihan yang mampan pada tahun hadapan," katanya.
Sementara itu, Perodua juga turut memperkenalkan satu lagi perkhidmatan langganan kenderaan merangkumi semua nilai tambah yang dikenali Perodua EZ MOBi yang mana perkhidmatan itu akan membantu syarikat menguruskan 'fleet' kenderaan mereka dari perolehan, servis dan penggantian 'fleet'.
"Pada dasarnya, EZ MOBi ini mewakili sumbangan nilai Perodua terhadap keperluan mobiliti pelanggannya yang semakin meningkat. Pakej keseluruhan termasuk pendaftaran kenderaan, pembaharuan insuran, kos servis, kos penggantian alat ganti, kereta ihsan, pelupusan kenderaan dan penggantian di bawah satu pelan langganan," kata Dato' Zainal.
"Tawaran nilai perkhidmatan ini ialah Perodua EZ MOBi menyediakan kemudahan berbentuk hujung ke hujung (end-to-end) kepada pelanggan kami kerana pelbagai pakej tersedia untuk memenuhi keperluan mobiliti setiap daripada mereka," katanya.
Antara keunikan Perodua EZ MOBi ialah pelan langganannya memfaktorkan semua kos untuk milikan dan pengendalian kenderaan kecuali penggunaan bahan api.
Buat masa ini, perkhidmatan baharu ini tersedia di Lembah Klang dan hanya untuk entiti perniagaan dan agensi kerajaan.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan