PETALING JAYA: Selepas menamatkan persekolahan, Sabrina Azhar memohon beberapa biasiswa dan menunggu tanpa apa-apa sasaran kerana masih belum membuat keputusan di manakah dia mahu menyambung pelajaran.
“Saya tidak pernah menyasarkan Korea Selatan, ia hanya berlaku begitu,” kata gadis berusia 22 tahun itu kepada FMT.
Dia akhirnya mendapat penempatan selama sembilan bulan dalam Program Persediaan Korea di Kolej Pendidikan Intec, sebelum berlepas ke Seoul untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Hanyang.
Di sana, dia yang aktif dalam media sosial, menyiarkan perihal kehidupannya sebagai pelajar Malaysia dan wanita berhijab di Korea Selatan. Bilangan pengikutnya bertambah dan terus meningkat.
“Saya tidak sangka akan jadi ‘viral’. Ia hanyalah sesuatu yang saya suka lakukan pada masa lapang, “katanya.
Dia menerima banyak soalan daripada rakyat Malaysia berkenaan budaya Korea dan paling banyak adalah bagaimana caranya untuk menyambung pelajaran di Korea Selatan.
Usaha Sabrina merapatkan budaya Korea dan Malaysia mendapat perhatian saluran YouTube terkenal, Blimey, yang diusahakan oleh tiga wanita Korea.
Blimey menjemput Sabrina muncul dalam rancangan “3&More”, dalam babak yang menampilkan beberapa jejaka Korea belajar mengenai budaya Malaysia menerusi Sabrina.
Ternyata ia mendapat sambutan warga Korea dan Malaysia dan ditonton lebih daripada 43 juta kali di YouTube dan Viu.
Dua bulan lalu dia dipilih untuk menjadi hos dan menemu bual kumpulan gadis K-Pop, TWICE, untuk Shopee di Seoul. Coretan sesi itu dimuat naik di TikTok.
Awal bulan lalu, dia menjadi hos rancangan memasak bersama pemenang musim ketiga MasterChef Korea, Choi Gwang-ho, untuk Minggu Restoran Halal 2021.
Dia membantu chef yang terkenal itu memasak penkek “kimchijeon” halal, sambil memperkenalkan penonton Korea kepada snek kegemaran Malaysia – pisang goreng.
Sabrina juga terlibat dalam program Arirang Food & Travel bersama hos Justin Hyuk Choi, meneroka daerah Gangnam untuk mengetahui lebih lanjut tentang tarian kebudayaan Korea.
Hari ini, pengikut Sabrina di akaun Instagram mencecah 390,000 orang dan ‘duta kecil’ Malaysia itu memberitahu perjalanannya di Korea Selatan masih jauh.
“Jika jawapan saya membantu mereka memahami sedikit sebanyak tentang tanah air saya dan agama saya, semuanya bagus,” katanya.
FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan