LOS ANGELES: Gerhana bulan separa terpanjang, seperti mana yang berlaku hampir 600 tahun lalu dengan bulan seolah bermandikan cahaya merah, mula kelihatan semalam dan hari ini.
Fenomena itu menyaksikan bulan hampir berbayang sepenuhnya ketika ia bergerak di belakang bumi, menjadikan 99 peratus permukaannya merah.
Keajaiban itu dapat disaksikan di seluruh Amerika Utara, sebahagian Amerika Selatan, Polynesia, Australia dan timur laut Asia.
Menurut saintis angkasa lepas, pemerhati langit di bahagian itu akan menikmati pemandangan bebas awan, bulan sedikit malap mulai jam 0602 GMT (sekitar jam 2 petang waktu Malaysia) hari ini ketika ia memasuki penumbra bumi iaitu bayang luar.
Sejam kemudian, ia akan kelihatan seperti terdapat gigitan besar ketika ia mula masuk ke dalam umbra atau bayang penuh.
Menjelang 0845 GMT (sekitar jam 4.45 petang waktu Malaysia), bulan akan kelihatan merah dengan warna paling terang dapat dilihat pada gerhana puncak 18 minit kemudian.
Keseluruhan proses itu kemudiannya menjadi terbalik apabila bulan meluncur keluar dari bayang-bayang dan meneruskan perjalanannya yang tidak berkesudahan mengelilingi planet.
Fenomena merah itu dikenali sebagai 'Penyebaran Rayleigh', di mana gelombang cahaya biru yang lebih pendek dari matahari diserakkan oleh zarah di atmosfera bumi.
Gelombang cahaya merah yang lebih panjang dapat melalui zarah berkenaan dengan mudah.
"Semakin banyak habuk atau awan di atmosfera bumi semasa gerhana, semakin merah bulan akan muncul seolah-olah semua cahaya matahari terbit dan terbenam di dunia dipancarkan ke bulan," jelas laman sesawang NASA.
Dari saat gerhana bermula apabila bulan memasuki bayang-bayang bumi hingga ia berakhir akan mengambil masa lebih tiga jam 28 minit.
Menurut NASA, satu lagi fenomena seumpamanya iaitu gerhana bulan penuh yang lebih lama, dijangka berlaku pada 8 November 2022.
Sesiapa yang ingin menyaksikan gerhana bulan ini tidak memerlukan peralatan khas kerana teropong, teleskop atau mata kasar sudah cukup selagi cuaca dalam keadaan baik. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan