22 Disember 2021

Banjir: BSN tawar moratorium, pembiayaan peribadi

 Gambar fail. - BERNAMA

Gambar fail. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menawarkan BSN MyRinggit-i Banjir, pembiayaan peribadi dengan ciri mudah bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh mangsa banjir.

BSN dalam satu kenyataan, berkata skim itu adalah selaras dengan peruntukan dana RM100 juta oleh Kementerian Kewangan Malaysia bagi menangani impak banjir.

"BSN MyRinggit-i Banjir menawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM5,000 pada kadar sifar peratus untuk tempoh pembiayaan 3.5 tahun termasuk moratorium (rehat bayaran) enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa banjir di seluruh negara.

"Permohonan ini akan dibuka bermula 27 Disember 2021 secara dalam talian dan proses permohonan akan dimaklumkan sebelum tarikh berkenaan," katanya.

Menurut BS, selain itu, pengecualian caj diberikan untuk perkhidmatan penggantian Kad Debit dan Kad Kredit BSN yang hilang atau rosak semasa banjir.

"BSN menasihati pelanggan untuk sentiasa menyemak notis pemberitahuan penutupan Cawangan BSN akibat banjir yang dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.bsn.com.my atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900.

BHARIAN

Tiada ulasan: