22 Disember 2021

Rumah tenggelam sampai siling ketika di kampung

 Kawasan rumah Azura pada Ahad ketika air surut sedikit yang mana pada Sabtu air mencecah siling menyebabkan seluruh perkakas rumah rosak - Foto NSTP

Kawasan rumah Azura pada Ahad ketika air surut sedikit yang mana pada Sabtu air mencecah siling menyebabkan seluruh perkakas rumah rosak - Foto NSTP

SHAH ALAM: "Kami cuba untuk bangkit balik."

Demikian kata Azura Sahril, 30-an, seorang daripada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, apabila rumahnya ditenggelami banjir hingga paras siling pada Sabtu lalu ketika beliau, suami dan dua anak berada di kampung mentuanya di Ipoh Perak.

Air banjir setinggi itu pastinya memusnahkan sebahagian besar kelengkapan rumah mereka seperti barang elektrik, perabot selain sebuah kereta dan dua buah motosikal mereka.

Azura yang mengusahakan perniagaan kecil kek dan roti di rumah berkata beliau bersama suami, Syafiq Redzuan, 30-an, kakitangan swasta serta dua anaknya berada di kampung Shafiq di Ipoh, Perak ketika dihubungi jiran yang memberitahu mengenai berita itu pada petang Sabtu lalu.

Kami rancang untuk pulang ke kampung suami sejak minggu lalu sebab ada undangan kenduri kahwin saudara mara dan juga rakan. Pada pagi Sabtu itu, hujan rintik-rintik macam biasa, jadi selepas Subuh kami bertolak ke Ipoh. Kami tidak menjangka akan berlaku banjir besar petang itu.

"Jiran beritahu, pada tengah hari air mulai naik sehingga paras paha, kemudian petang air sudah di paras pinggang dan jiran hantar gambar. Kami tidak dapat nak berbuat apa-apa, ramai juga jiran di kawasan rumah kami tidak dapat keluar.

"Keesokan (Ahad) pagi, jiran memaklumkan air sudah mencecah siling rumah dan menghantar satu gambar yang hanya menampakkan bumbung rumah kami, hilang kata-kata apabila dapat tahu dan lihat gambar itu. Hanya mampu beristighfar" katanya ketika dihubungi hari ini.

Azura berkata, pada mulanya, sebaik mengetahui air mula naik pada paras paha, dia dan suami masih mengharapkan keadaan kekal begitu sehingga kembali surut namun apabila sudah mencecah siling, mereka berdua hanya berserah pada Allah dan berdoa dari jauh.

"Masa mula-mula air naik, kami masih berharap air tidak tinggi, tetapi apabila sudah mencecah siling rumah. Ya Allah, rasa macam tergamam, segala macam perasaan datang.

"Sedikit pun tak sangka sebab tidak pernah banjir begini sejak kami tinggal di sini pada 2017. Inilah kali pertama bagi kami. Allahuakbar, hebat dugaan Allah. Kami kena reda dengan ujian ini," katanya.

Keadaan semasa di Taman Sri Muda pagi ini, mendapati air masih belum surut sepenuhnya akibat banjir yang melanda taman perumahan berkenaan pada Sabtu. - Foto BERNAMA
Keadaan semasa di Taman Sri Muda pagi ini, mendapati air masih belum surut sepenuhnya akibat banjir yang melanda taman perumahan berkenaan pada Sabtu. - Foto BERNAMA

Katanya, memandangkan dia masih di Ipoh, tidak dapat melihat sendiri keadaan sebenar, mereka membayangkan kerosakan berkemungkinan hampir 100 peratus.

"Kami berharap ada barang yang boleh digunakan, tidak rosak teruk. Jika semua tenggelam, belanja besar kalau hendak betulkan semula semua barang-barang itu seperti barang elektrik juga perabot.

"Saya harap ada yang boleh dibasuh dan dipakai seperti pakaian tetapi jika rosak teruk terpaksa kami buang.

"Siapa yang tak sedih apabila tengok keadaan rumah seperti itu, tapi benda nak jadi, kami cuba untuk bangkit balik. Bak kata suami saya, barang itu semua pinjaman, Allah bagi pinjam, Allah ambil balik...jadi kita sebagai hamba kena redalah..dia (suami) tenang sahaja," katanya.

Ibu kepada dua anak lelaki itu, berkata dia dan suami berkemungkinan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Muda esok jika keadaan mengizinkan bagi melihat sendiri keadaan rumah yang ditenggelami air banjir sejak Sabtu lalu.

"Pagi ini Alhamdulillah, kata jiran air sudah mula surut dan jalan hadapan rumah kami sudah boleh dilalui namun masih ada rumah ditenggelami banjir, bergantung kepada tinggi rendah lokasi rumah juga.

"Ada antara jiran sudah mula pulang untuk melihat keadaan rumah, mengemas dan membersihkan rumah. Insya -Allah, jika tiada aral, kami juga akan pulang esok," katanya.

Kata Azura lagi, apabila keadaan pulih sepenuhnya dia akan kembali berniaga makanan sebagaimana yang dilakukan sebelum ini demi membantu ekonomi keluarga.

"Walaupun ketuhar dan segala peralatan membuat roti dan kek saya mungkin rosak akibat banjir, saya tidak pernah putus atas untuk kembali berniaga. Saya yakin rezeki untuk saya sekeluarga sentiasa ada," katanya.

BHARIAN

Tiada ulasan: