09 Disember 2021

Bukan piring terbang makhluk asing

 Pelampung pandu atau boya terdampar di Pantai Geting yang tular pada Isnin lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Pelampung pandu atau boya terdampar di Pantai Geting yang tular pada Isnin lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

TUMPAT: Objek besar terdampar di Pantai Geting pagi Isnin lalu adalah sejenis alat bantuan pelayaran yang dikenali sebagai pelampung pandu atau boya.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan alat itu berfungsi sebagai penunjuk arah selamat di alur pelayaran yang menjadi panduan navigasi kapal, bot dan lain-lain pengguna pengangkutan air.

"Boya milik JLM terbabit ditempatkan di muara Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu dan hanyut akibat ombak kuat dan air pasang besar baru-baru ini. Satu laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat berikutan kejadian ini dan kerja pemindahan boya sudah selesai dibuat petang semalam.

"Boya itu kini ditempatkan sementara di jeti Pejabat Laut Kuala Besar," katanya merujuk berita tular Isnin lalu mengenai penemuan objek asing itu yang kemudian menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk ada menganggapnya piring terbang serta dikaitkan dengan makhluk asing.

Berikutan itu, ramai datang ke lokasi terbabit dan merakamkan gambar kenangan, malah tidak kurang juga memanjat boya berkenaan yang jelas boleh mengundang bahaya. Sehubungan itu, Pejabat Laut Kuala Besar, Kota Bharu membuat siasatan dan pemantauan bagi mengelakkan orang ramai menghampiri kawasan sekitar.

JLM juga kesal dengan tindakan orang ramai yang mendekati boya terbabit termasuk memanjat alat bantuan pelayaran setinggi 5.3 meter itu.

"Boya itu diperbuat daripada bahan jenis keluli dan dikhuatiri boleh mengakibatkan kecederaan sekiranya kemalangan seperti terjatuh atau tergelincir disebabkan licin semasa menceroboh. Tambahan pula, alat ini aset kerajaan dan menjadi satu kesalahan jika ada individu menceroboh atau mendekatinya," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: