09 Disember 2021

Prestasi keseluruhan Kabinet, 90 peratus

 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - foto BERNAMA

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Prestasi keseluruhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari Jemaah Menteri mencapai tahap 90 peratus, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata, justeru pencapaian berkenaan bukan alasan untuk menteri dan kementerian mendabik dada tetapi menyuntik kesungguhan untuk terus bekerja bersama rakyat.

"Sasaran penuh KPI tidak mustahil untuk dicapai jika seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam menggembleng tenaga dan memberi khidmat yang terbaik serta berkesan, dengan mengetepikan segala karenah birokrasi yang rumit.

"Bak kata orang Iban, "entik begempung kitai sepanjung, entik pamar kitai dekat ngepar", iaitu kita bersatu, suara kita akan lebih didengar, jika berpecah usaha kita sia-sia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. Yang turut hadir, barisan Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri berkata, beliau memuktamadkan AKM 100 Hari pada 24 September lalu, yang diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian (50 peratus), Penilaian Prestasi Menteri (25 peratus) dan Persepsi Awam (25 peratus) terhadap menteri serta kementerian.

Sebanyak 140 sasaran ditetapkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari itu, membabitkan 31 menteri daripada lima kluster iaitu kluster Menteri Kanan, ekonomi, sosial, keselamatan dan infrastruktur.

Katanya, beliau dimaklumkan seramai 190,914 ahli Keluarga Malaysia terbabit dalam tinjauan soal selidik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian.

"Saya juga berterima kasih kepada Keluarga Malaysia atas pencapaian ini. Prestasi yang saya maklumkan, bukan hanya memberikan tumpuan kepada KPI semata-mata, tetapi juga mengambil kira persepsi Keluarga Malaysia melalui tinjauan soal selidik yang diberikan.

"Pembabitan Keluarga Malaysia dalam menilai kepimpinan, integriti, komunikasi, kebolehpercayaan, responsif dan empati setiap Jemaah Menteri dan kementerian amatlah dihargai," katanya.

Beliau berkata, usaha berkenaan adalah permulaan bersejarah kerana penilaian 360 darjah buat kali pertama dilaksanakan untuk menilai pencapaian kerajaan.

"Saya berharap, lebih ramai lagi Keluarga Malaysia memberikan pandangan melalui pelbagai mekanisme penambahbaikan, bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya.

100 Hari AKM adalah matlamat yang ditetapkan Perdana Menteri semasa ucapan pembentukan Kabinet baharu yang diterajuinya pada 27 Ogos lalu.

AKM diketengahkan kerajaan sebagai satu manifestasi bagi memastikan budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan penjawat awam supaya penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan baik, demi menjaga kepentingan serta kesejahteraan rakyat terutama dalam menghadapi tempoh pasca COVID-19.

Sebanyak 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menetapkan aspirasi dalam tempoh 100 hari serta pencapaian prestasi seluruh Jemaah Menteri, yang dibuat berdasarkan KPI.

BHARIAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. -fotoBERNAMA

Tiada ulasan: