JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), berkata rakyat belum berpuas hati terhadap usaha membanteras rasuah dan menggesa penguat kuasa jangan leka selepas berjaya menyelesaikan beberapa kes besar baru-baru ini.
"Jangan cepat berpuas hati dulu, kerana penilaian masyarakat terhadap upaya pembanterasan rasuah masih dinilai belum baik," katanya hari ini sempena Hari Anti-Rasuah Sedunia.
Tambah beliau, penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Pembasmian Rasuah perlu mengutamakan langkah yang menyeluruh supaya rakyat merasai dan menerima manfaatnya, bukan hanya kepada kes-kes tumpuan umum.
Dalam satu tinjauan nasional bulan lalu, Jokowi berkata rakyat meletakkan pembanterasan rasuah sebagai isu kedua untuk diselesaikan dengan yang pertama adalah penciptaan peluang kerja.
Namun, beliau menegaskan rasuah adalah punca masalah kerana mengganggu penciptaan pekerjaan dan menaikkan harga perkhidmatan serta barang keperluan asas.
Tambahnya lagi, kedudukan Indonesia di tempat ke 102 berbanding Singapura (3), Brunei (35) dan Malaysia (57) dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun 2020 perlu diperbaiki dengan lebih serius.
Beliau bagaimanapun mengakui pengendalian pencegahan rasuah di negara itu bertambah baik dengan merujuk kepada skandal rasuah syarikat insurans PT Asabri.
Tujuh orang yang tertuduh dipenjara 10 tahun termasuk hukuman mati dan nilai aset yang disita mencecah puluhan trilion rupiah.
Dalam kes syarikat insurans milik kerajaan, PT Jiwasraya, tertuduh dihukum mati oleh Pejabat Pendakwa Raya dan dua lagi dipenjara seumur hidup manakala aset yang disita bernilai 18 trilion rupiah (RM5.3 bilion).
Untuk skandal Bank Indonesia Liquidity Assistance Fund, penguasa sedang mendapatkan kembali dana berjumlah 110 trilion rupiah (RM32 bilion) daripada peminjam dan penghutang.
Sementara itu, data terbaru yang dikeluarkan Badan Perangkaan Pusat menunjukkan ada peningkatan indeks tingkah laku antirasuah (IPAK), kata Jokowi.
Setakat tahun ini, IPAK Indonesia terus meningkat mencapai 3.88 pada skala 0 hingga 5, berbanding 3.84 pada 2020 dan 3.7 pada 2019.
Skor 0 mewakili masyarakat yang membenarkan aktiviti rasuah dan skor 5 menunjukkan tingkah laku anti-rasuah. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan