BERA: Harga barang yang meningkat kini dijangka kembali stabil pada awal tahun depan setelah lebih banyak negara mula membuka sektor ekonomi masing-masing, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata sekatan pergerakan turut dialami oleh negara luar yang mengeksport produk makanan kepada Malaysia sekali gus mengakibatkan penawaran berkurangan.
"Kita ternak ayam tetapi makanan ayam datang dari luar, begitu juga dengan baja dan racun yang diimport dari luar… bila barang sedikit, permintaan banyak, tentu sahaja akan menyebabkan harga naik.
"Saya percaya keadaan ini akan beransur pulih apabila sektor ekonomi masing-masing dibuka dan pengeluaran akan kembali normal dan kita jangka Insya-Allah pada awal tahun depan harga kembali stabil," katanya ketika berucap pada Program Khatan Perdana Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata menyedari rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga barang, kerajaan telah menganjurkan program jualan murah yang menawarkan harga barang yang rendah selain memberi peruntukan dan insentif kepada golongan terkesan.
"Untuk bantu kurangkan beban rakyat, saya dimaklumkan harga barang di program jualan murah menawarkan diskaun 20 hingga 50 peratus selain kita juga beri insentif dan subsidi racun kepada petani… harga barang dijangka pulih awal tahun depan," katanya.
Menurut beliau pelbagai program dan projek akan terus dilaksanakan kerajaan dalam usaha menjaga kepentingan serta kebajikan rakyat bagi mengurangkan beban mereka.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta antaranya bagi meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar.
"Peruntukan itu telah ditambah bagi memastikan penduduk luar bandar turut menerima faedah-faedah antaranya kemudahan dari segi jalan kampung dan sebagainya," kata Perdana Menteri.
Mengulas mengenai program hari ini, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata program seumpama itu dilihat menerapkan konsep Keluarga Malaysia yang dapat mengeratkan hubungan pelbagai bangsa apabila ia turut disertai kaum Cina dan India.
"Bersama-sama kita dapat rapatkan hubungan sesama kita selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, malah Keluarga Malaysia ini menerapkan supaya kita jaga keluarga orang lain seperti keluarga sendiri," katanya.
Program anjuran Pemuda UMNO Bera itu disertai kira-kira 350 kanak-kanak berumur antara lima dan 12 tahun yang dikhatankan secara percuma dengan setiap peserta menerima topi keledar sebagai cenderahati. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan