12 Disember 2021

Tiada kompromi anggota terbabit rasuah - Ayob Khan

 Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang anggotanya pada Perhimpunan Bulanan PDRM Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Foto BERNAMA

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang anggotanya pada Perhimpunan Bulanan PDRM Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menggesa pegawai dan anggota Kontinjen Johor meningkatkan komitmen dan berusaha membanteras jenayah habis-habisan.

Katanya dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, semua pegawai dan anggota polis harus berpegang teguh kepada aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah.

"Mungkin dalam menjalankan tugas, kita ditohmah, dikritik, dikecam dan diugut. Jangan bimbang, saya bukan berada di belakang tuan dan puan semua tetapi saya akan sentiasa berada di hadapan.

"Saya tidak akan membiarkan pegawai dan anggota saya dibelasah. Itu bukan prinsip saya, saya bertanggungjawab terhadap semua pegawai dan anak buah saya. Sebarang kelemahan dan kekhilafan anak buah saya, saya akan bertanggungjawab.

"Saya boleh bertolak ansur dan mempertahankan tuan dan puan, tetapi dalam konteks rasuah, salah laku, bersekongkol dengan penjenayah, dadah... tiada tolak ansur. Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan turut meminta anggota tidak bimbang dengan tohmahan dan kritikan pihak luar atau orang awam.

Katanya, selagi polis menjalankan tugas mengikut undang-undang, prosedur operasi standard (SOP) dan ikhlas, mereka tidak perlu bimbang kerana Allah SWT maha mengetahui.

"Jangan bimbang, jangan gusar dan jangan gabra dengan kritikan serta tohmahan pihak tidak bertanggungjawab.

"Jangan bimbang pengikut di laman sosial Facebook Kontinjen Johor menurun atau Instagram merosot. Kita bukan mahu jadi artis, Youtuber atau bertanding dalam pilihan raya.

"Prinsip dan pegangan kita ikhlas, amanah, tegas, adil dan berhemah. Ingat pesanan saya, pahala dan dosa, hidup dan mati, dunia dan akhirat. Setiap yang kita buat di dunia akan dibalas dalam kubur dan Padang Mahsyar nanti," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: