12 Disember 2021

PUNB lulus pinjaman bawah RM200,000 dalam 2 minggu

 Datuk Ahmad Nazlan Idris (berdiri kiri) bersama Dr Amir Faisal Mohd Khairi (tengah) melihat peserta dikhatankan di Klinik Kesihatan Bandar Jerantut, hari ini. - NSTP/ ROSELAN AB MALEK

Datuk Ahmad Nazlan Idris (berdiri kiri) bersama Dr Amir Faisal Mohd Khairi (tengah) melihat peserta dikhatankan di Klinik Kesihatan Bandar Jerantut, hari ini. - NSTP/ ROSELAN AB MALEK

JERANTUT: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan meluluskan pinjaman bawah RM200,000 dalam tempoh dua minggu, berbanding lebih sebulan yang diambil sebelum ini, kata Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Katanya, pengurusan PUNB sudah diminta mengubah peraturan berkenaan untuk membantu dan membolehkan usahawan kembali aktif dalam perniagaan ketika ekonomi negara mula berkembang dalam tempoh fasa pemulihan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, bagi pinjaman melebihi RM200,000 hingga RM10 juta, pengurusan PUNB perlu mengambil sedikit masa bagi membuat penelitian sebelum diluluskan, tetapi dijamin tidak mengambil masa yang terlalu lama.

"Pada masa sama, PUNB bersetuju mengagihkan peruntukan RM200 juta untuk pinjaman kepada usahawan dibahagikan kepada kepada tiga segmen, iaitu RM1 juta ke bawah sebanyak 30 peratus, diikuti RM1 juta hingga 5 juta (40 peratus), manakala RM5 juta hingga RM10 juta ditetapkan 30 peratus.

"Syarat serta peraturan ini agak relevan dengan peruntukan disalurkan kerajaan dan PUNB. Seeloknya usahawan yang memenuhi syarat di seluruh negara memohon membuat pinjaman untuk melebarkan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Khatan Perdana B40 Parlimen Jerantut dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Jerantut yang turut dihadiri Pegawai Kesihatan daerah, Dr Amir Faisal Mohd Khairi, di sini hari ini.

Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut, berkata PUNB memperuntukkan RM3 juta untuk menaik taraf sistem talian internet di ibu pejabat dan semua cawangannya di seluruh negara bagi kemudahan pemohon membuat permohonan pinjaman secara dalam talian.

"Usahawan yang mahu memohon pinjaman perlu mengisi borang berkaitan maklumat tertentu secara dalam talian kepada PUNB, bukan lagi secara manual seperti sebelum ini," katanya turut memaklumkan, PUNB akan membuka semula cawangan di Kuantan bagi memudahkan usahawan di Pahang dan berdekatan berurusan.

Katanya, cawangan PUNB itu yang ditutup ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah sebelum ini dibuka semula untuk pelanggan berurusan tanpa perlu lagi ke Kuala Lumpur.

BHARIAN

Tiada ulasan: