17 Januari 2022

Hasilkan dua tan ikan pekasam penuhi permintaan pelanggan

 

KANGAR: Dipilih mewakili Negeri Perlis bagi mempromosikan produk ikan pekasamnya di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Antarabangsa (MAHA) di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) pada 2014 menjadi titik tolak kepada kejayaan Wan Mastura Megat bergelar usahawan makanan tersebut.


Suri rumah berusia 36 tahun itu berkata permintaan menggalakkan terhadap produk yang diberi nama Pekasam Warisan Perlis itu, mendorongnya berusaha keras menyediakan sehingga dua tan stok ikan pekasam khususnya sebagai persediaan kedatangan bulan Ramadan tahun ini.

Katanya pertama kali menghasilkan ikan pekasam pada 2012 selepas diminta seorang kawan yang ketika itu mahu mempromosikan makanan Utara dalam satu acara di Kuala Lumpur. 

“Sejak itu saya buat secara kecil-kecilan sekadar memenuhi permintaan kawan-kawan, namun tidak sangka ia semakin berkembang pesat selepas produk saya dipilih menyertai pameran MAHA. Sehingga kini, tidak menang tangan memenuhi permintaan bukan sahaja dari sekitar Perlis bahkan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bercerita mengenai pembuatan ikan pekasam, menurut beliau prosesnya tidaklah susah namun perlu teliti dan paling penting menjaga kebersihan supaya produk tahan lama.

Mastura berkata biasanya ikan yang digunakan adalah daripada spesies ikan sungai seperti lampam, sepat dan puyu, yang diolah mengikut resipi ikan pekasam dipelajari daripada ibu mentuanya Siti Dzabedah Yop, 63.

Baginya lebih elok lagi jika mempunyai resepi sendiri biar rasa ikan pekasam yang dihasilkan berbeza daripada orang lain dan mempunyai keunikan sendiri.

“Sebelum ini saya membuat pekasam basah tetapi ia agak sukar untuk dihantar ke tempat yang jauh. Bagi mengatasi masalah itu saya ubah kepada kaedah pembuatan pekasam kering dan menggunakan teknologi pembukusan vakum bagi memastikan makanan tersebut selamat serta tahan lama,” katanya.

Ketika ditemui Mastura sedang sibuk melumur beras sangai (beras digoreng) yang ditumbuk halus pada ikan lampam sebelum disusun kemas ke dalam plastik untuk divacum dan dihantar kepada pelanggan.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha ikan pekasam Abd Azhar Abd Aziz, 34, berkata sambutan menggalakkan daripada pelanggan khususnya pengunjung di Santuari Ikan Air Tawar di Tasik Timah Tasoh di sini, membuatkan dia mampu menjual hampir satu tan ikan pekasam sebulan.

Dia yang juga nelayan di Tasik Timah Tasoh, berkata antara ikan air tawar yang digunakan bagi menghasilkan ikan pekasam ialah lampam, bongkok, belida dan tilapia.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata dia mula terlibat dalam perusahaan membuat pekasam selepas kecewa apabila hasil tangkapan ditolak oleh peraih kerana mungkin ikan terlampau banyak ketika itu.

“Masa itu saya rasa kecewa dan termenung seketika memikirkan apa yang perlu saya lakukan dengan lambakan ikan yang ada, jadi timbul idea untuk membuat pekasam,” katanya.

Abd Azhar berkata pada mulanya beberapa cubaan membuat ikan pekasam tidak menjadi, namun dengan bimbingan daripada ibunya Melor Ali, 57, akhirnya dia berjaya menghasilkan pekasam secara komersial.

“Saya jual ikan pekasam pada harga sangat berpatutan iaitu RM5 sepeket dengan berat 250 gram. Bagi saya apa yang penting adalah jumlah jualan dan bukan keuntungan berlipat kali ganda, di samping dapat membantu rakan nelayan lain yang tangkapan mereka tidak terjual sehingga berlaku lambakan,” katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: