JAKARTA: Ibu kota baharu Indonesia yang dirancang di timur Kalimantan bagi menggantikan Jakarta akan dinamakan sebagai Nusantara.
Menteri Perancangan Pembangunan Nasional Indonesia, Suharso Monoarfa berkata pada Isnin (17 Jan), pemilihan nama Nusantara yang bermaksud kepulauan dalam bahasa Indonesia itu telah diarah dan disahkan oleh Presiden, Joko Widodo.
“Saya baru mendapat pengesahan dan arahan terus daripada Presiden Joko pada hari Jumaat (14 Jan) lalu.
“Beliau berkata ibu negara baharu itu ialah Nusantara,” ujar Monoarfa semasa mesyuarat dengan jawatankuasa khas untuk penubuhan ibu kota baharu itu.
Beliau menambah, Nusantara dipilih disebabkan nama itu sudah lama dikenali di peringkat global.
“Nama Nusantara adalah ikonik di peringkat antarabangsa, ringkas dan menggambarkan kepulauan kita, Republik Indonesia. Saya percaya kita semua bersetuju dengan nama Nusantara,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, masih belum diputuskan sama ada ibu kota baharu itu akan menjadi sebuah wilayah atau bandar.
Terdahulu, pada 2019, Widodo mengumumkan bahawa ibu kota negara itu akan berpindah dari kota besar Jakarta ke kabupaten terpencil Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur.
Langkah itu difikirkan perlu untuk menggantikan Jakarta yang menurut pakar alam sekitar dijangka tenggelam menjelang 2050, jika aktiviti pengambilan rizab air bawah tanah, peningkatan paras air laut dan corak cuaca luar biasa berterusan.
Langkah itu juga dibuat susulan keadaan di Jakarta yang semakin sesak, selain bagi membangunkan Kalimantan serta bahagian timur Indonesia, memandangkan kebanyakan aktiviti ekonomi di negara itu hanya berpusat di Jawa di lokasi dimana Jakarta berada sekarang ini.
Projek pembinaan Nusantara dengan modal bernilai 466 trilion rupiah (AS$32 bilion) sepatutnya dimulakan pada 2020, namun pandemik Covid-19 memaksa pihak berkuasa Indonesia untuk menangguhkan projek berkenaan. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan