BEIJING: China merekodkan jumlah kes COVID-19 tertinggi hari ini sejak Mac 2020 dalam keadaan Beijing sedang bergelut untuk meredakan penularan jangkitan menjelang Sukan Olimpik musim sejuknya yang hanya berbaki tiga minggu.
China, negara yang dikesan muncul virus berkenaan pada penghujung 2019, menetapkan pendekatan ketat dalam usahanya mencapai kes sifar COVID-19 tatkala kebanyakan negara sudah mula membuka kesemua sektornya.
Bagaimanapun, pendekatannya memberikan berterusan dalam beberapa minggu sejak kebelakangan ini dengan pelbagai kluster di seluruh negara ketika temasya itu akan berlangsung di Beijing.
Hari ini, sebanyak 223 kes baharu dilaporkan di China termasuk 80 lagi di bandar pelabuhan Tianjin yang dilanda virus terbabit dan sembilan kes termasuk kes yang disebabkan penularan varian Omicron yang terletak di selatan hub perkilangan di Guangdong.
Ada kalangan atlet dan pegawai pengiringnya sudah mula tiba di ibu negara menjelang temasya sukan menerusi gelembung yang dikawal ketat termasuk mengasingkan mereka dengan penduduk tempatan lain.
Bagaimanapun, selepas ada kes positif membabitkan warga tempatan di Beijing yang dikesan hujung minggu lalu, menyebabkan pihak berkuasa semakin mengetatkan peraturan bagi mereka yang tiba di bandar raya ibu negara itu dari tempat lain di China.
Bandar itu kini mewajibkan keputusan ujian negatif sebelum perjalanan dan ujian susulan lain selepas memasuki bandar, dengan penduduk digesa untuk tidak meninggalkan bandar untuk cuti Tahun Baru China yang akan datang.
Beberapa pusat pelancongan di ibu negara juga ditutup.
Wanita yang dijangkiti di Beijing tidak melakukan perjalanan atau mempunyai kontak dengan individu dijangkiti, kata pihak berkuasa ketika mereka melakukan ujian ke atas kira-kira 13,000 orang yang tinggal atau bekerja di kawasan sama.
Pegawai Kesihatan Pang Xinghuo berkata, virus itu ditemui pada permukaan surat yang diterima orang yang dijangkiti dari Kanada serta di dalam surat yang belum dibuka.
Katanya, berpuluh-puluh surat dari kumpulan yang sama diperiksa dan diuji dan lima menunjukkan kesan positif COVID-19, termasuk sampel dari dalam surat yang belum dibuka.
Katanya, jujukan itu berbeza daripada kes Omicron di China dan menyamai jujukan yang dikenal pasti dari Amerika Utara bulan lalu.
"Kami membuat kesimpulan ada kemungkinan jangkitan virus melalui objek masuk yang tidak boleh diketepikan," katanya.
Dalam pada itu, penganalisis memberi amaran pendekatan sifar-COVID China yang berterusan termasuk perintah penutupan yang pantas dan disasarkan serta sekatan perjalanan akan mengakibatkan bebanan ekonomi.
Sebanyak 68 kes lagi dilaporkan di seluruh wilayah tengah Henan di mana sekatan pergerakan separa dan ujian besar-besaran dilaksanakan untuk berjuta-juta penduduk.
Zhuhai, bandar tanah besar yang bersempadan dengan hab perjudian Macau, mengarahkan penduduk supaya mengelak daripada keluar di samping mula menguji seluruh bandar mulai hari ini selepas mengesan sebilangan kes Omicron.
Sementara itu, di bandar bersejarah di utara Xi'an, jangkitan mulai perlahan kepada satu angka selepas hampir sebulan diperintah perintah berkurung. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan