04 Februari 2022

Saham Meta jatuh: Zuckerberg hilang AS$29 bilion dalam sehari

 

CALIFORNIA: Mark Zuckerberg kehilangan pendapatan dengan nilai bersih AS$29 bilion (RM121 bilion) dalam tempoh sehari pada Khamis (3 Feb) apabila saham Meta Platforms mencatatkan rekod kejatuhan yang tinggi.


Saham Meta jatuh sebanyak 26 peratus, menyebabkan pendapatan bersih terkumpul Zuckerberg menyusut kepada AS$85 bilion.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta itu memiliki kira-kira 12.8 peratus daripada syarikat gergasi teknologi  digital yang dahulunya dikenali sebagai Facebook.

Kemerosotan kekayaan Zuckerberg dalam tempoh sehari itu adalah antara yang terbesar  selepas kerugian dalam tempoh sehari tertinggi sebanyak AS$35 bilion yang dialami individu terkaya di dunia, yang juga CEO Tesla, Inc., Elon Musk pada Nov 2021.

Sekurang-kurangnya 21 firma broker saham mengurangkan sasaran harga terhadap Meta selepas syarikat itu menyiarkan ramalan yang lebih lemah daripada jangkaan pada Rabu (2 Feb), dengan menyalahkan perubahan privasi Apple dan meningkatkan persaingan untuk pengguna daripada pesaing termasuk TikTok dan YouTube.

Susulan pendapatannya yang menyusut sebanyak AS$29 bilion itu, Zuckerberg kini berada di tempat kedua belas dalam senarai individu terkaya di dunia Forbes, di belakang bilionair India, Mukesh Ambani dan Gautam Adani. – Reuters

Tiada ulasan: