YAOUNDE, Cameroon: Mesir yang diketuai Mohamed Salah mara ke final Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) selepas menyingkirkan tuan rumah, Cameroon menerusi penentuan sepakan penalti 3-1, awal pagi tadi.
Selepas terikat 0-0 sepanjang 120 minit permainan, penjaga gol Mesir,Mohamed Abou Gabal muncul wira menyelamatkan sepakan penalti Harold Moukoudi dan James Lea-Siliki sebelum sepakan Clinton Njie tersasar.
Salah yang biasa mengambil sepakan penalti terakhir untuk negaranya, tidak diperlukan kali ini untuk Mesir mara ke final.
Ia bakal menampilkan pertembungan Salah dengan rakan sepasukannya di Liverpool, Sadio Mane dalam final, Ahad ini.
Skuad Pharaohs turun memburu gelaran Afrika kelapan, manakala Senegal mencari kejuaraan sulung.
“Kami amat bangga dengan pencapaian hari ini tetapi masih ada satu langkah lagi perlu diharungi,” kata penolong jurulatih Mesir Diaa Al-Sayed, yang menggantikan Carlos Queiroz selepas pengendali itu dibuang padang ketika perlawanan. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan