04 Februari 2022

Perjelas SOP, tarikh sebenar umrah

 

KERATAN laporan Utusan Online baru-baru ini.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya digesa memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) dan tarikh sebenar bagi perjalanan umrah yang sepatutnya pada 8 Februari ini.

Malah Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, apa yang membimbangkan, kebenaran menunaikan umrah pada tarikh berkenaan mencetuskan tanda tanya dan kekeliruan dalam kalangan pengendali syarikat serta jemaah.

Katanya, ini kerana terdapat percanggahan berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan berhubung penilaian risiko perjalanan yang hanya dapat dimuktamadkan kerajaan menjelang pertengahan Februari ini.

Ads by Kiosked

“Tempoh masa tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum tiba tarikh mengerjakan ibadah tersebut. Sampai sekarang SOP pun belum diputuskan. Sebelum ini saya sudah beritahu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya agar tidak umumkan 8 Februari (kebenaran umrah) serta tidak dibuat tergesa-gesa kerana penilaian risiko perjalanan dimuktamadkan pertengahan bulan ini.

“Tambahan pula, keputusan tidak beri kebenaran umrah Kementerian Kesihatan yang tentukan, jadi ia perlu diumumkan kementerian terbabit. Malah SOP pun Kementerian Kesihatan yang perlu umumkan. Justeru, apa yang berlaku sekarang hanya mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini berkata, Kabinet membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Sementara itu Razali berkata, beliau berharap kedua-dua kementerian itu dapat menyelaras dan mengesahkan tarikh serta SOP baharu bagi jemaah umrah dalam tempoh terdekat ini.

“Ramai sudah buat tempahan sekarang. Kalau sekali lagi ada perubahan tarikh, ia mampu membuatkan banyak pihak rugi sama ada pengendali serta jemaah,” katanya.

Ads by Kiosked

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, banyak pihak yang kini mengambil keputusan menangguhkan tempahan menunaikan umrah berikutan SOP yang masih belum diputuskan oleh kerajaan.

Jelasnya, perkara tersebut dibimbangi memberi implikasi kepada syarikat pengurusan dan pihak yang mahu menunaikan ibadah tersebut dalam tempoh terdekat ini. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: