03 Februari 2022

Tetap rai Tahun Baru biarpun sudah lama anuti Islam

 

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KUALA KRAI: 
Biarpun sudah menganut agama Islam 28 tahun lalu, namun
Datin Nurlisa Hoo, 50, masih lagi merayakan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarganya.

Beliau berkata, walaupun sambutan itu tidak semeriah dahulu yang dipenuhi dengan budaya masyarakat Cina, namun aktiviti berkumpul semasa perayaan tetap diteruskan.

“Saya meraikan sambutan bersama keluarga dan anak-anak. Tiada sambutan istimewa tetapi sekadar makan besar sahaja.

“Saya membuat hidangan masakan Cina kesukaan suami dan anak-anak dan dicampur sedikit masakan Melayu sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini.

Nurlisa merupakan isteri kepada Pengerusi Rehda Care Dato’ Samsuri Awang Mat. Rehda ialah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Kelantan.

Menurutnya juga setiap makan besar, anak-anak akan berkumpul bersama tetap meriah walaupun sederhana dalam situasi wabak Covid-19 sekarang.

“Walaupun perayaan Tahun Baru Cina disambut secara sederhana sekurang-kurangnya dapat memberi gambaran kepada anak-anaknya mengenai sambutan terebut,” ujarnya.

Samsuri pula berkata, seluruh negara menyambut perayaan Tahun Baru Cina dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Katanya beliau dan keluarga pulang ke kampung untuk meraikan bersama ibu mertuanya, Yuk Moi @ Hue Moi, 79 di Bandar Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 3/2/2022

Tiada ulasan: