07 Januari 2008

Mashitah Kena Tanya Kenapa Zina Berleluasa

Kajian perlu dijalankan bagi mencari punca kenapa ramai lelaki Malaysia memilih calon isteri dari Indonesia.Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mashitah Ibrahim berkata, kajian itu perlu kerana bilangan lelaki Malaysia yang memilih wanita Indonesia sebagai isteri semakin meningkat.

Katanya lagi, berdasarkan rekod Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, antara lima hingga 10 pasangan dari kedua-dua negara mendaftar setiap hari untuk bernikah.Ini tidak termasuk mereka yang mendaftarkan perkahwinan di Konsul Malaysia di Medan dan melangsungkan perkahwinan secara rahsia.

Alhamdulillah ramai lagi rakyat Malaysia yang menghindarkan zina dengan bernikah secara sah menurut Islam. Jangan buang masa menyibuk perkara yang halal. Yang Haram lebih banyak lagi yang kamu kena tegur. Jangan jadi seperti bidalan "tutup kepala nampak punggung".

Lebih baik Ummu Hadhari tumpukan masaalah yang lebih besar iaitu maksiat yang berleluasa di negara kita dari orang bawahan hingga atasan. Pendedahan Dr. Chua mengambarkan pemimpim UMNO bukan bersih semuanya.

Jawapannya sudah berada dikepala kamu, jangan buat tidak tahu. Tolong dedahkan dan cari penyelesaian segara kalau berani. Atau berhenti saja dari jadi "pecacai" yang hendak cuci tong tahi dengan kamu sendiri terkena tahi.

Menteri Pelajaran Yang Tidak Cerdik

Berita Tereikini TV 3 petang kelmarin menyiarkan berita yang menunjukkan Menteri Pelajar cuba memperbodohkan rakyat. Hari ini berita tersebut tersiar dalam kebanyakan media arus perdana.



Katanya kalau ibubapa yang tidak berpuas hari dengan bayaran yuran yang dipertikaikan boleh mengambil balik dari sekolah dan kerajaan tidak akan susah kalau sebanyak itu wang yang diambil balik oleh ibu bapa. Itu yang saya faham dari berita yang saya tengok di TV 3 kelmarin.

Sangat tidak bertanggung jawab sekali kenyataan ini, sedangkan sehari sebelum dari itu kebanyakan pemimpin UMNO berjanji untuk meneliti kembali tentang kesusahan rakyat mengenai bebanan yuran sekolah ini.

Sudahlah Rakyat ditipu dengan gula-gula penghapusan yuran . Rupanya cuma RM 4.50 untuk sekolah rendah dan RM 9.00 untuk sekolah menengah yang dihapuskan.

Kelantan Tidak Bina Mesjid Tapi UMNO Robohkan Mesjid

Berita Utusan hari ini melaporkan sebagai dipetik bahawa kelantan tidak pernah bina mesjid selama 18 tahun Kerajaan PAS memerintah Kelantan. Najib Tun Razak, semalam yang kecewa dengan sikap kerajaan Pas Kelantan yang melaung-laungkan slogan Membangun Bersama Islam tetapi gagal membina sebuah masjid di negeri ini.


Persoalannya apa sangat lebih bina mesjid kalau jemaahnya kosong dan tidak ada jemaah. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan PAS ialah memastikan dulu mesjid yang ada sekarang betul-betul dipenuhi oleh jemaah setiap lima waktu. Inilah yang penting sekali.

Samaada sembahyang atau kuliah, Kelantan telah membuktikan mesjid nya penuh dengan jemaah. Siapa tidak kenal dengan Mesjisd Muhammmadi di Kota Bharu yang sentiasa penuh dengan jemaah setiap kali sembahayang 5 waktu.

Selain itu kegiatan kuliah, tazkirah dan sebagainya di Mesjid di Kelantan tidak dihalang malah digalakkkan. Ini kelainan berbanding dengan Mesjid-mesjid Hadhari yang dibina oleh UMNO. Bukan setakat dihalang tetapi ada yang dirobohkan di Terengganu.

Mesjid Kristal di Pulau Duyong yang menelan belanja hampir 1 billion dan menjadi kebangaan Idris Jusoh, kosong dengan jemaah. Suatu pembaziran yang melampau dan tidak masuk akal. Semua penduduk pulau duyong pergi berjemaah pun mungkin tidak penuh.

Tetapi kita berjanji kepada Rakyat kalau kita diberei peluang untuk memerintah Malaysia, dan negeri-negeri lain selain Kelantan. Kita akan pastikan mesjid yang sedia ada penuh dengan kegiatan dan jemaah, tanpa memikirkan untuk membazir duit nak bina yang baru. Kerna Mesjid yang sudah cukup banyak. Faham.......

06 Januari 2008

Angkuhnya Najib

Angkuhnya Najib dalam ucapannya semasa mengadakan lawatan ke Kelantan beberapa hari lepas. Demikanlah ucapan demi ucapan pemimpin UMNO sebelum PR Umum sejak 17 tahun PAS memerintah Kelantan.





Dalam ucapannya yang berapi-api Najib Tun Razak menyeru rakyat Kelantan menjadikan tahun 2008 yang merupakan tahun ke-18 pemerintahan Pas di negeri ini sebagai tahun terakhir parti itu berkuasa. Timbalan Perdana Menteri berkata, sejarah hayat Pas yang bertahan pada angka 18 tahun tidak mustahil boleh ditamatkan, sebagaimana 1978 sekiranya rakyat berani untuk menjadikan tahun ini sebagai tahun perubahan. ‘‘Kerajaan Pas yang ada hari ini juga memasuki usia pemerintahan yang ke-18 pada tahun ini setelah memerintah sejak 1990. Tempoh ini cukup lama dalam politik".


Sebetulnya rakyat sudah bersedia untuk menamatkan usia pemerintahan BN di Malaysia yang telah menjangkau Usia 50 Tahun. Jangan terlalu angkuh berucap tanpa menilai siapakah yang lebih lama, BN atau PAS. Kata perpatah Melayu "Ukur baju di badan sendiri".



Campur Minyak Dengan Air

Malaysia adalah dalam senarai pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia. Malah suatu masa dulu adalah pengeluar no 1. Pandainya kerajaan BN memerintah dan apa sudah jadi sehingga berlaku krisis minyak masak yang meruncing sekarang ini.

Mulai minggu depan, orang ramai akan dihadkan membeli minyak masak maksimum lima kilogram sahaja bagi menangani masalah kekurangan bahan itu yang semakin meruncing. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, pelaksanaan peraturan tersebut akan berdasarkan kaedah catuan gula yang pernah dilakukan semasa krisis kekurangan bahan itu.

Inilah kesan dari mandat haram yang BN dapat dalam PR ke 11 yang lalu. Pelbagai krisis berlaku dan terpaksa ditanggung oleh Rakyat.

Yang diutamakan oleh pemimpin BN ialah nak tersohor dalam macam-macam hal, naik ke angkasalah koridirlah dan macam-macam lagi. Masaalah rakyat bukan masaalah no wahid.
Yang peliknya TPM mengiakan sahaja, yang susah rakyat semuanya.. Katanya langkah kerajaan yang mengehadkan orang ramai membeli minyak masak sebanyak lima kilogram seorang adalah wajar bagi menangani masalah pembelian `luar biasa' di kalangan pengguna.

Soalnya siapakah yang beli dengan kadar luarbiasa. Sedangkan orang kampong nak beli sekilopun kena fikir banyak kali. Mereka pasti beli minyak kalau sudah habis keperluan dan benar-benar perlu. Mustahil orang kampung ada tong drum untuk simpan stok minyak. Itupun kalau beli kadang-kadang setengah kilo saja. Nampaknya rakyat juga dipersalah dan diperbodohkan. Nasib baik Najib tak cadang kita jimatkan minyak dengan campur dengan air.

Persoalannya ke mana minyak kelapa sawit kita, Semuga rakyat menjawab dengan memangkah calon-calon BA dan menolak calon BN yang telah banyak menyusahkan rakyat.

05 Januari 2008

Teladan Dari Ziarah Kematian

Mendengar berita kematian mengejut seorang kawan sekampung bernama Ismail, dia masih sihat, masih muda, seumur dengan isteri dan pernah mereka belajar satu kelas semasa Di Sekolah Menengah Agama Al Falah Parit Tok Ngah....

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ


Kami suami isteri bergegas menziarahi jenazah Ismail kerana isteri balik dari sekolah sebentar dengan izin pihak pentadbir untuk ziarah kawan sekelasnya itu. Jam 11 pagi ini kami akan sembahyang jenazah beliau di mesjid Parit Tok Ngah. Perginya tidak kembali dalam usia yang agak muda, tepat pada malam tadi iaitu malam jumaat yang mulia. Beliau menghembusklan nafas terakhir sekitar jam 11 malam setelah masuk hospital Parit Buntar apabila mengadu sakit perut disebelah petangnya.

Selama saya berhijrah ke Parit buntar sempat saya kenali Ismail. Dia bukan setakat kawan tetapi murid yang pasti kenal dengan suara gurunya bila disapa. Dari seorang yang terlibat dengan penagihan dadah setelah mengalami kemalangan maut, dia sembuh kembali. Sembuhnya membawa perubahan dalam hidupnya. Dengan matanya yang buta akibat kemalangan ngeri itu Ismail berubah menjadi ahli ibadah dan berjuangan dengan parti Islam.

Setiap ceramah dan kuliah yang berkesempatan dia akan hadir dan duduk di bahagian hadapan. Termasuk Kuliah bulanan saya di markaz Tanjung Piandang sering dihadiri olehnya dan dia pasti akan berada di bahagian hadapan.

Keinsafannya berjuang dengan Islam yang dia kenal setelah kemalangan yang hampir mencabut nyawanya itu sangat menjadi contoh kepada yang lain. Dia bangkit setelah lama dalam alam jahiliyah. kenal Islam setelah terlibat dengan kerja terkutuk dan dibenci Masyarakat. Sedangkan hampir semua kawan-kawan lamanya yang terlibat dengan kerja terkutuk itu masih tidak berubah. Malah ada yang keluar masuk pusat serenti. Allah ternyata sayang kan Ismail. Dia berubah bila kemalangan dan dia disayangi Allah bila dipanggil lebih awal ke alam barzah. Kalaupun tidak dapat menginsafkan dengan segera teman-teman lamanya, diharapkan berita pemergiannya mudah-mudahan menyentuh jiwa.
Dia lebih mulia dari orang lain yang tidak mahu berubah. Mereka yang tetap mahu berjuangan dengan fahaman jahiliyah. Dia lebih mulia dari orang yang lebih tua darinya. Walaupun sudah pergi haji dan umrah berkali-kali lagaknya tetap menentang perjuangan Islam.

Tetapi setelah dia bertaubat dengan penglihatan yang telah hilang, masyartakat tidak membencinya malah menerimanya dengan baik. Kemana dia pergi dengan pakaian berjubah pasti dia dihormati walaupun dulunya dia dibenci. Saya pasti perginya suatu kehilangan kepada keluarga terdekat dan yang mengenali.

Hari ini dia tiada lagi, semuga Allah mencucuri rohnya dan diletakakan dikalangan roh orang-orang yang salih....Al Fatihah

04 Januari 2008

Tahniah Kepada Chua

Tahniah ! ucapan yang paling layak terbit dari semua rakyat Malaysia . Setelah 24 jam memberi kenyataan akhbar dengan pengakuan secara jujur mengenai watak dalam rakaman porno yang tersiar, Dr. Chua telah meletakkan semua jawatan dalam parti, kerajaan dan MP Labis.


Namun begitu sikap beliau ini mestilah menjadi contoh kepada semua pemimpin BN yang lain supaya cepat-cepat berundur dari jawatan yang dipegang sekarang. Skandal demi skandal yang telah mendedahkan pemimpin Melayu khususnya, namun orang terlibat macam tidak bersalah sahaja.


Ingatlah rakaman yang dibuat secara curi hanya oleh manusia dan orang tertentu menyebabkan hilangnya semua jawatan Dr. Chua Soi Lek. Namun sebagai seorang yang beriman kita diajar untuk tahu dan yakin dengan rakaman dan catatan Malaikat Nya kiri dan kanan . Semuanya tidak dapat kita lari dan akan terakam dan tercatat walaupun sebesar zarrah akan dihitung oleh Allah baik atau jahatnya :


Firman Allah SWT ;


فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْراً يَرَهُ


"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya." (Al-Zalzalah:07)


وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرّاً يَرَهُ


"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula."(Al-Zalzalah : 08)


Insaflah sebelum waktu terlambat, marilah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, hitunglah amal kita sebelum dihitung dan ditayangkan segala rakaman malaikat dihadapan Allah Rabbul Jalli.

Kenyataan Rashid : BN Takut Kepada BA

Pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Labis, Johor tidak perlu diadakan ekoran peletakan jawatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mengosongkan kerusi itu hari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman.


Beliau berkata, mengikut Perlembagaan, pilihan raya hanya perlu diadakan sebelum dua tahun tempoh hayat Parlimen tamat seperti diperuntukkan mengikut Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan. “Tempoh hayat Parlimen lima tahun, sekarang sudah tiga setengah tahun, ada baki lagi satu setengah tahun. Dilihat kepada perkembangan ini, ia tidak perlu,”

Bagaimanapun, Ab. Rashid berkata, pilihan raya boleh diadakan jika ada permintaan parti pemerintah yang mahu kekosongan kerusi tersebut diisi disebabkan kedudukan partinya tidak stabil. “Parti pemerintah boleh meminta Speaker Parlimen memaklumkan kepada SPR bahawa kerusi itu perlu diisi.

Kenyataan Pengerusi SPR dilihat kepada ketakutan BN kepada BA. Kita mencabar supaya satu pilihanraya kecil diadakan bagi menguji sejauhmana sokongan rakyat kepada kerajaan BN. Sekaligus menguji sejauh mana stabil atau tidak parti pemerintah.
Tidakkah Pak Lah telah berulang kali bermadah bahawa kerajaan BN begitu kuat sekali dan mendapat sokomngan rakyat.Apa yang hendak ditakuti kalaulah itu realitinya. Pilihanraya Kecil Parlimen Labis kalau betul mengikut kenyataan Pak Lah akan pastilah akan dimenangi oleh Calon BN. Malah mereka akan dengan majorit yang besar atau Calon BA akan hilang wang deposit.

Kenyataan Pengerusi SPR sebelum dari ini juga menampakkkan BN takut untuk berdepan dengan BA. Kenyataannya dipetik sebagai berkata :Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman hari ini mencabar parti pembangkang supaya tidak menyertai pilihan raya umum akan datang sekiranya mereka tidak yakin dengan keadilan serta ketelusan sistem pilihan raya di negara ini.

Bagi saya kenyataan ini menampak kan kebimbangan dari BN yang belum bersedia untuk berdepan dengan BA. Sedangkan dipihak BA kita yakin 100% telahpun bersedia. Bagaikan perlawanan bola sepak dipadang, kita cuma menunggu tiupan wisel dibunyikan. Ayuh....umumkan tarikh pilihan raya kalau berani dan jantan....
PM juga dalam ucapan tahun baru menjelaskan supaya menolak kononnya golongan pelampau. Tidakkah ini peluang yang terbaik yang Pak Lah boleh gunakan supaya rakyat menolak golongan ini jika sekiranya kenyataannya adalah benar.
Kita tunggu dan lihat....







03 Januari 2008

Menteri Kesihatan Yang tidak Sihat

Tahun Baru 2008 disambut oleh rakyat Malaysia dengan berita yang menggemparkan. Tandatanya siapakah watak dalam pita rakaman terjawab apabila Naib Presiden MCA dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengakui bahawa beliaulah orangnya dalam pita yang merakamkan aksi hubungan seks bersama seorang wanita, dengan salinannya diedarkan secara meluas di Johor.
Malam sebelumnya dengan penuh semangat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak rakyat supaya tidak memberi sedikit pun ruang kepada golongan pelampau untuk mempengaruhi dan jauh sekali menentukan agenda negara bagi mengelak Malaysia daripada terjebak dalam kancah huru-hara.

Inilah gambaran sebenar Malaysia setelah madat haram yang diperolehi oleh kerajaan BN pada tahun 2004, skandal demi skandal yang menyakinkan kita sudah sampai masanya BN akan tersunkur rebah kebumi. Rakyat yang tidak tahan lagi untuk mengundi kerajaan BA untuk memimpin Malaysia yang kita sayangi.
Yang menjadi persoalannya ialah kenyataan menteri kesihatan yang tidak sihat akalnya itu ialah tentang kedegilannya Naib Presiden MCA itu untuk meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti.Menteri itu berkata, segala-galanya seperti biasa baginya dan beliau akan meneruskan tugas sebagai menteri Kabinet dan di dalam MCA.
Baru baru ini beliaulah yang mengumumkan terdapat 16% rakyat malaysia yang berpenyakit mental, rupa-rupanya beliaulah salah seorang daripadanya.Kenyataan beliau ini bagi saya adalah mendapat sokongan dari PM dan TPM sendiri apabila beliau sendiri menjelaskan bahawa beliau telah menemui kedua pemimpin tertinggi negara itu sebelum mermberi kenyataan akhbar.Katanya, beliau bertemu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bagi memberikan sendiri penjelasan dan memohon maaf kepada Perdana Menteri. Dr Chua berkata, beliau turut berjumpa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berhubung perkara itu.
Sebagai pemimpin Islam Hadhari yang punya maruah sebetulnya Pak Lah dan Najib sepatutunya telah mengarahkan Menteri Kesihatan yang tidak sihat ini meletakkan Jawatan dari kabinet. Tidakkah Pak Lah tahu bahawa kerja seperti itu adalah diluar batas akhlak Islam dan Moral bangsa mana pun.
Saya bimbang orang yang mengambil rakaman adengan sex itu akan diambil tindakan sebagaimana dikatakan pihak polis telah memulakan siasatan. Inilah Malaysia orang yang buat salah tidak akan dikenakan tindakan dan berasa malu , tetapi yang melapurkan kesalahan akan didenda dan dikenakan tindakan. Inilah acuan standard undang-undang jakun Malaysia.

31 Disember 2007

Sah Orang India Sudah Berubah.

Isu Himpunan oleh HINDRAF memberi kesan yang sangat drastik kepada senario politik tanah air sekarang ini. Sebetulnya sebelum itu kesan dari himpunan BERSIH lebih awal memberi impak yang besar kepada beralihnya sokongan rakyat kepada Barisan Alternatif (BA) .
Contohnya sekembali saya ke Malaysia dalam tempoh dua minggu ini, saya sempat berada dalam 3 ceramah umum yang diadakan di kawasan Parlimen Parit Buntar anjuran Lajnah Penerangan Pas Kawasan. Kesemuanya diadakan dalam DUN Titi Serong yang pernah dimenangi calon PAS dalam PR Umum ke 10 tahun 1999. Sayangnya kita gagal mempertahannya pada PR Umum ke 11 pada tahun 2004. Pada tahun yang sama saya gagal dalam cubaan pertama di DUN Kuala Kurau.
Kesemua 3 ceramah tersebut menjadi perhatian masyarakat India di kawasan Parit Buntar dan mereka hadir dalam jumlah yanng ramai. Misalnya dalam Ceramah bersama Naib Presiden Hj. Mohd. Sabu orang India mula kelihatan dalam ceramah tersebut.
Ikhlas saya nyatakan amat susah malah tiadapun kehadiran orang India dalam Ceramah PAS sebelum dari ini. Sesudah itu ceramah Hj. Mahfuz dan Cikgu Wahab Abd. Rahman yang terpaksa diganti keduanya dengan dua penceramah dari pemuda Kedah dan pemuda Perak kerana keduanya ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Sambutan orang India juga begitu baik.
Begitu juga malam tadi ceramah dari Ust. Sharir Long dan Ust Sidek Noor, saya dapati lebih ramai lagi orang India yang memenuhi ruangan ceramah. Selain itu saya melihat sendiri orang India yang datang memberi derma dalam kutipan derma kilat yang dilancarkan.
Beberapa ceramah lagi akan diadakan dalam bulan Januari 2008, saya yakin dengan sikap orang India yang berubah ini sekiranya kita dapat memberikan penjelasan secara hikmah pada setiap kali ceramah, mereka pasti datang lagi. Sikap prajudis kepada PAS dan Islam nampaknya mula terhakis dari fikiran mereka. UMNO tidak lagi menjadi harapan kepada orang Melayu, malah dialah yang memusnahkan segala-galanya. Begitu juga MIC bukan lagi tempat kebergantungan orang India. Mereka bersama kita untuk memperjuangkan apa yang dinamakan " keadilan" yang padam dalam kamus BN, UMNO, MIC dan MCA.
Demikianlah suasana berubah ini berlaku di seluruh negara. Saya ada bertemu dengan seorang India di Tol Tanjung malim, beliau mengatakan orang India di Tanjung Malim akan bagi sokongan kepada BA. Suatu pertemuan khusus PAS Kawasan Tg. Malim dengan orang India telah diadakan. Katanya ramai yang hadir.
Saya difahamkan oleh sahabat dari Kulim Kedah seramai 7000 orang India telah hadir dalam satu pertemuan dan ceramah Dato' Sri Anwar Ibrahim. Keadaan ini saya yakin berlaku dimana-mana diseluruh negara. Sahlah orang India telah berubah.
Kitalah yang dari dulu sehingga sekarang dan akan datang memperjuangan keadilan, kerana keadilan itu adalah tunggak pemerintah Islam. Keadilan kepada semua bangsa dan agama inilah yang telah menyebabkan kita bertahan di Kelantan sehingga 17 tahun hingga sekarang.

23 Disember 2007

Sambutan Hari Raya Aidil Adha Di China

BEIJING 21 Dis ,-Hari Raya Korban di Negara China di sambut serentak pada 20 Disember. Kerajaan China telah menyediakan cuti selama sehari kepada umat Islam di China. Umat Islam di pelbagai tempat di China telah secara meriah menyambut hari kebesaran tersebut.

Seramai 150 ribu orang umat Islam di Xining, provinsi Qinghai yang terletak di utara China telah telah berkumpul beramai-ramai di Masjid Dongguan, iaitu masjid keempat terbesar di dunia dan solat berjemaah untuk menyambut Hari Raya Korban. Umat Islam di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China telah memakai pakaian yang cantik, sambil menyanyi dan menari untuk menyambut hari kebesaran tersebut.

Dianggarkan terdapat sebanyak lebih 30 juta umat Islam diseluruh China. Etnik Islam terbesar adalah dari Etnik Hui. Kebanyakan bandar besar di China memiliki sejumlah mesjid yang dapat menampung umat Islam untuk mengadakan sembahyang Hari Raya Qurban dan mengadakan Ibadah Qurban secara beramai-ramai. Contohnya di Shanghai terdapat 7 Mesjid dan di Guangzhou terdapat 4 mesjid. Sementara itu di wilayah seperti Qinghai, dan Xinjiang terdapat ribuan mesjid yang dipenuhi oleh jemaah untuk mengadakan sembahyang Hari Raya Qurban.
Persatuan Islam China telah mengadakan jamuan menyambut Hari Raya Korban di Beijing semalam. Naib Perdana Menteri China , Hui Liangyu turut hadir dalam jamuan tersebut.Presiden persatuan itu, Haji Hilaluddin Chen Guangyuan bagi pihak Persatuan Islam China mengucapkan selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam China serta umat Islam daripada pelbagai negara asing yang bekerja di China.
Sementara itu Umat Islam di Bandar Yiwu , Zhejiang telah mengadakan sambutan Hari Raya Qurban sehari lebih awal iaitu pada 19 Disember. Mereka Mengadakan sembahyang Sunat Aidil Adha di Mesjid Yiwu yang boleh menampung lebih 5000 orang jemaah.

21 Disember 2007

Jumlah Pelancong Malaysia Ke Macau Meningkat Hampir 100%

MACAU 20 Dis,-Menurut Agensi Berita Xinhua China, Wakil Jabatan Pelancongan Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Macau China di Malaysia semalam mendedahkan bahawa dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, jumlah pelancong Malaysia ke Macau telah melebihi 340 ribu orang, meningkat 97.3% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.


Beliau memaklumkan bahawa Malaysia merupakan penyumbang pelancong yang keempat terbesar bagi Macau. Jumlah pelancong Malaysia ke Macau dijangka akan mencatat 400 ribu orang pada tahun ini. Macau berharap agar jumlah pelancong Malaysia ke Macau melebihi 560 ribu orang pada tahun 2008.

Kehadiran pelancong Malaysia ke macau didorong oleh kekerapan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Macau sebanyak 4 kali sehari dan permulaan penerbangan semuaa MAS Kuala Lumpur – Macau pada bula lepas. Selain itu Airasia terbang dari Johor Bharu dan Kota Kinabalu ke Macau pada setiap hari

Hari ini merupakan ulang tahun ke-8 Macaukembali ke pangkuan China. Hari ini, pelbagai akhbar Macau telah mengeluarkan rencana untuk memuji kejayaan besar yang dicapai oleh Macau selepas kembali ke pangkuan China.

Akhbar Tai Chung mengeluarkan rencana bahawa Macau dapat mencapai kejayaan besar disebabkan oleh dasar "satu negara dua sistem",. Kejayaan ini di dorong oleh sokongan kerajaan China dan Negara lain serta usaha bersama oleh kesemua penduduk Macau.

Harian Cidadao mengeluarkan rencana bahawa selain usaha kerajaan Macau, kejayaan Macau juga disebabkan oleh sokongan kerajaan pusat dan dasar "satu negara dua sistem". Selain itu dasar "warga Macau mentadbirkan Macau" juga menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan macau . Pemberiaan autonomi pada tahap tinggi, serta sistem perundangan yang ditetapkan oleh Undang-undang Asas telah menjamin pembangunan Macau secara stabil.

20 Disember 2007

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat Berdoa Orang Cina Jadi Pemimpin Penting PAS

"Mudah-mudahan suatu hari nanti orang Cina menjadi pemimpin penting PAS. Orang Cina masuk Islam kerana mereka belajar. Sebaliknya pula orang Melayu masuk Islam kerana tok nenek mereka Islam. Masuk otomatik hanyut begitu sahaja yang menyebabkan banyak masalah-masalah yang timbul hasil daripada mereka Islam dengan tidak belajar.


Orang Cina sekarang semakin ramai. Yang belajar Islam, mereka lebih baik daripada orang Melayu tradisi. Boleh jadi satu hikmat Allah Taala letak pejabat PAS di tengah-tengah masyarakat yang tidak banyak orang Islam.

Dalam sejarah Islam, semua kitab-kitab hadith (Sunan Sitar) ada enam buah hadith semuanya dikarang oleh bukan Arab. Begitulah juga pimpinan Islam diseluruh dunia yang jarang sangat orang Arab memimpin. Yang memimpin adalah orang Parsi, Sepanyol. Turki, India dan lain-lain. Oleh yang demikian apa peliknya kalau pejabat PAS, gerakan Islam ada ditengah-tengah masyarakat yang tidak banyak orang Melayu. "

19 Disember 2007

Memori Pulang Beraya

Perjalanan pulang untuk berhari raya sekali ini nampaknya meninggalkan suatu sejarah dan kenangan tersendiri kepada penulis. Bermula dari seawal sesudah subuh sudah bergegas ke stesen bas untuk balik dari Tian Tai, Chai Zhou. Sudah empat hari ber kampung di suatu daerah yang agak terpencil namun Allahlah jua tempat kita berserah di mana kita berada.
Doa dipanjatkan setiap hari dan masa supaya dapat balik beraya di Malaysia, Alhamdulillah pucuk dicita ulam mendatang, seperti orang mengantuk disarung bantal. Urusan dapat diselesaikan pada malam tadi.

Sesampai di Yiwu saya menyelesaikan sedikit urusan di sana dan membeli tiket untuk balik. Distenasi Hangzhou ke Shenzhen. Waktu yang ada sangat meragukan takut-takut tidak sempat sampai ke Lapangan Terbang Hangzhou untuk penerbangan tiket jam 3.50 petang dengan China Shoutern Airline. Ini disebabkan bas yang saya naiki dari Yiwu ke Hangzhou lewat 15 minit.

Alhamdulillah dalam keadaan penuh debar, bas sampai di lapangan terbang tepat jam 2.50 petang, setengah jam lagi kaunter pendaftaran masuk hendak ditutup. Sekitar jam 3.10 saya telah selesai untuk daftar masuk setelah berada dalam barisan beberapa orang penumpang sahaja.

Sesudah masuk waktu digunakan untuk solat jamak takdim, selesai solat pengumuman kedengaran memanggil penumpang CZ 6329 untuk menaiki pesawat. Tidak ada yang lain yang diingat melainkan doa dan syukur kepada Allah SWT yang memberikan nikmat dan kesempurnaan dan perjalanan hari ini.

Nikmat naik kapal terbang hari ini lain dari biasa, pesawat Airbus 300 siri yang dinaiki adalah transit dari Lapangan Terbang Dalian yang letak tidak berapa jauh dari Beijing. Jarang saya naik kapalterbang domestik sebesar itu yang mempunyai laluan dua lorong itu. Cuaca dalam penerbangan sebagaimana biasa ada gegaran kalau dengan kapal terbang kecil. Tetapi pada hari ini seolah tiada gangguan cuaca dan gegaran. Tepat jam 5.50 kapal terbang selamat mendarat setelah melalui perjalan sekitar 2 jam. Jarak nya 1400 kilometer. Pramugari mengumumkan suhu di Shenzhen ialah 22 darjah. terasa juga suatu kejutan kerana cuaca di Hangzhou dan Yiwu pagi tadi ialah 12 darjah, pada waktu malam pula di bawah paras 10 darjah. kadang-kadang sampai mencecah 4 dan 5 darjah.

Alhamdulillah pada malam ini saya akan meneruskan penerbangan dengan pesawat Thai AirAsia ke Bangkok jam 11.25 dan akan sampai sekitar jam 1.30 waktu tempatan. Esok pagi jam 7.25 penerbangan dengan AirAsia ke Pulau Pinang melengkapkan perjalan yang jauh ini untuk kembali kepada jemaah dan keluarga tercinta.

Menunggu masa terluang terjumpa cyber cafe yang terletak dalam Lapangan Terbang BaoAn Shenzhen lalu penulis luangkan masa yang ada sekitar 5 jam dalam transit ini untuk membuka blog peribadi ini.Walaupun bayarannya RMB 20 untuk sejam namun berbaloi untuk menghilangkan kepenatan berkerja dan berjalan. Allahdulillah......

18 Disember 2007

Selamat Hari Raya

Sempena dengan Hari Raya Aidil Adha kami sekeluarga mengucapkan :
SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA
kepada semua pengunjung blog CINA ISLAM


Keluarga CINA ISLAM:
Drs . Khalil Idham Lim
Dra. Nor Ainah Ahmad
Khairul Azri Lim
Khairul Anwar Lim
Khairul Aiman Lim