05 Mei 2008

Percepatkan, jangan menunda.

“Hai Ali, ada tiga perkara yang jangan kamu tunda-tunda pelaksanaannya, iaitu shalat apabila sudah tiba waktunya, jenazah bila sudah siap penguburannya, dan wanita bila sudah ada laki-laki sepadan yang meminangnya” (HR. Imam Ahmad).

Demikianlah pesan ringkas Rasulullah SAW kepada Saidina Ali. Tentunya, pesan itu kini berlaku untuk kita semua kerana kita selalu berhadapan dengan ketiga perkara tersebut. Menundanya boleh menimbulkan berbagai kesan yang tidak baik.

Contohnya menunda shalat dengan alasan yang tidak diperbolehkan, akan menjadikan pelakunya sebagai orang-orang yang meringan-ringankan shalat. Padahal shalat adalah ibadah pokok yang pertama sekali diperiksa di Hari Akhirat kelak. Shalat juga merupakan tiangnya bagi bangunan ibadah-ibadah lain. Agar bangunan kuat tentunya memerlukan sokongan tiang-tiang yang kuat.

Selanjutnya, menunda penguburan mayat, menurut para ulama, akan menimbulkan kesengsaraan bagi si mayat. Sebab, apa yang paling diperlukan oleh setiap jasad yang sudah ditinggalkan nyawa adalah penguburan. Namun umumnya dalam masyarakat kita lebih mementingkan bermacam-macam hal-hal yang remeh tanpa memikirkan nasib mayat.

Demikian juga dengan menunda pelaksanaan perkawinan wanita, berkemungkinan menimbulkan bermacam fitnah dalam masyarakat. Apalagi bagi mereka yang tidak mampu menjaga diri. Kerana itu pernikahan adalah wajib bagi yang sudah cukup umur . Khusus bagi seorang wanita , pernikahan akan menghindarkan perkara-perkara maksiat yang lazim berlaku dalam masyarakat kita sekarang.

Sukan Olimpik Tanpa Rokok

BEIJING, 5 Mei :-Berdasarkan satu peraturan baru yang berkuatkuasa mulai 1 Mei, beberapa tempat awam di Beijing seperti stadium, tempat riadah dan tempat peninggalan sejarah telah dijadikan tempat larangan merokok. Kerajaan Beijing juga mengatur lebih 1000 orang anggota penyelia dan akan mengambil seramai 100 ribu orang sukarelawan bagi memantau pelaksanaan peraturan tersebut, agar memastikan matlamat "Sukan Olimpik tanpa Rokok" tercapai.

Berdasarkan peraturan berkaitan yang dikemukakan pada tahun 1992, perbuatan menghisap rokok dilarang di beberapa tempat awam di Beijing. Menurut peraturan yang baru pula, lebih banyak tempat awam dijadikan tempat larangan merokok dan turut menetapkan pelbagai peraturan yang lebih terperinci, termasuk menetapkan tempat yang khusus untuk merokok di restoran, cafe siber dan taman serta menetapkan bilik-bilik tanpa merokok di hotel.

Peraturan larangan merokok yang baru itu mendapat sambutan baik daripada penduduk Beijing. "Saya fikir larangan merokok adalah diperlukan. Perkara ini bukan sahaja baik bagi mereka yang tidak merokok, tetapi juga bagi para perokok. Ia juga penting bagi memelihara imej Sukan Olimpik Beijing."

Menurut peraturan itu, restoran dan hotel di Beijing telah menetapkan kawasan merokok dan membuat tanda dilarang merokok di tempat yang lain.

Majikan sebuah kedai kopi, Encik Liang Jin berkata: "Kami menetapkan tempat berhampiran lif sebagai tempat merokok kerana ada tiupan angin di sana. Jadi udara dalam kedai tidak akan tercemar oleh asap rokok."

Pegawai badan kesihatan kerajaan Beijing, Encik Sun Xianli memaklumkan, sekarang lebih 1000 orang telah mengikuti kursus latihan berkenaan bagi memantau pelaksanaan peraturan yang baru itu. Selain itu, mereka juga merancang untuk mengambil 100 ribu orang sukarelawan untuk mengadakan propaganda menjauhkan merokok.

Menurut pakar berkenaan, jumlah warga yang merokok di China mencatatkan 1/4 jumlah perokok di dunia. Perkara ini menyebabkan larangan merokok sukar untuk dijalankan di semua tempat awam. Walau bagaimanapun, langkah-langkah larangan merokok yang dilaksanakan oleh kerajaan mendapat sokongan yang semakin besar daripada masyarakat awam. Berdasarkan keputusan satu tinjauan pendapat baru-baru ini, lebih 80% penduduk Beijing menyokong larangan merokok dijalankan secara menyeluruh di tempat-tempat awam sempena Sukan Olimpik Beijing.

Encik Sun Xianli juga menyatakan, Beijing akan berusaha sedaya upaya bagi mewujudkan Sukan Olimpik tanpa merokok dan mendorong usaha larangan merokok mencapai kemajuan yang baru. Kata beliau: "Pada pendapat saya, Sukan Olimpik ialah satu peluang yang amat baik bagi mendorong usaha larangan merokok di Beijing. Kami perlu memanfaatkan peluang ini untuk mencapai kemajuan baru dalam usaha tersebut."

Larangan Merokok di Stadium Sukan Beijing Dilaksanakan

Suatu ketetapan baru tentang larangan merokok ditempat awam berkuatkuasa di Beijing sejak 1 Mei lepas, iaitu termasuk semua stadium sukan, stadium riadah dan unit perlindungan artifak yang terbuka.

Dengan demikian, Sukan Olimpik Beijing merupakan Sukan Olimpik yang pertama menguatkuasakan larangan merokok. Selain itu Jawatankuasa penganjur juga menolak penajaan daripada syarikat tembakau dan yang lebih pentingnya ialah mewujudkan larangan merokok di tempat tempat pertandingan Sukan Olimpik berlangsung. Selain itu, ketetapan baru itu juga menetapkan kawasan merokok mesti disediakan di restoran, kafe siber dan di taman. Pengunjung dilarang merokok di luar kawasan merokok. Hotel juga diarahkan menyediakan bilik yang dilarang merokok .

Jambatan Teluk Hangzhou Paling Panjang di Dunia Dibuka kepada Lalu Lintas

Jambatan melintasi teluk Hangzhou China, sebuah jambatan yang paling panjang di dunia pada masa sekarang dibuka kepada lalu lintas mulai Khamis, 1 Mei lepas.

Upacara pembukaan jambatan itu diadakan pada pukul 3:00 petang dan dibuka kepada lalu lintas pada pukul 11:58 Malam .


Jambatan tersebut terletak dalam Provinsi Zhejiang yang ekonominya yang maju di timur China, merupakan kemudahan perhubungan lalu lintas yang penting dengan direka dan dibina oleh China sendiri. Panjangnya jambatan ini ialah 36 kilometer dengan kelajuan yang dibenarkan semasa memandu ialah 100 kilometer sejam.

04 Mei 2008

Forum Perdana mendapat sambutan hampir 3000 orang

BAGAN SERAI, 4 Mei:- Satu forum perdana sempena Program halal Fest dan sambutan Mauludul Rasul telah menarik sekitar 3000 orang pengunjung disini malam tadi. Program forum tersebut telah diadakan di Dewan orang ramai Alor Pongsu.

Ahli panel forum ialah Ust. Haslin Baharin dan Ust. Ridwan Tee Abdullah dengan dipengerusikan oleh Ust. Roslan Che Ros. Hadir sama dalam forum tersebut ialah Ahli Parlimen Bagan Serai, YB Mohsin, ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim, ADUN Kuala Kurau, YB Ab. Yunus Jamhari, ADUN Gunung Semanggol, YB Ramli Tusin dan ADUN Selingsing, YB Husin Din.

Majlis telah diresmikan oleh Pegawai Daerah Kerian. Beliau juga telah menyampaikan hadiah kepada pertandingan Marhaban sempena majlis tersebut.

Semasa mengupas soalan yang dikemukan oleh pengerusi forum, kedua-dua ahli panel mengakui inilah forum yang pertama yang dihadirinya melibatkan paling ramai Ahli Yang Berhormat. Kata Ust. Haslin, "ini adalah tanda yang positif dari pemimpin yang dipilih". Kata Ust. Riduan Tee, sebelumnya cuma seorang dua sahaja, malah ada yang tidak ada langsung YB yang hadir.

Siapa tidak faham Undang-undang : Nazri atau Nizar ?

Nazri Aziz disarankan kembali belajar ilmu perundangan Malaysia sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang kelak menggambarkan kerendahan nilai beliau dan kerajaan yang berterusan mencabul demokrasi di Malaysia. Pernah Nazri memalitkan kebodohan sendiri dengan berkata seolah tidak tahu bahawa tidak ada sebarang Akta Perlindungan Saksi yang dikuatkuasakan di Malaysia?

Sebelum ini dalam kes yang sama beliau menunjukkan campur tangan tersebut dengan ketara apabila beliau menjawab bagi pihak Ketua Hakim Negara di atas keterlibatan Ketua Hakim Negara di dalam skandal yang didedahkan melalui rakaman video membabitkan VK Lingam.

Demikianlah Nazri yang sudah lama jadi menteri tetapi masih tidak faham undang-undang negara sendiri. Tetapi semasa balik kampung di Sauk kelmarin beliau mengulas isu di Perak.

Katanya, Mohammad Nizar baru memegang jawatan menteri besar dan mungkin masih tidak faham undang-undang serta adat istiadat negeri yang meletakkan sultan sebagai ketua agama Islam negeri.

‘‘Saya rasa dia mungkin baru. Baru menjadi menteri besar dan tidak memahami dengan adat-istiadat sehingga melakukan sesuatu tindakan tanpa mendapat perkenan sultan.

Kita juga mengakui MB Perak memang baru, sehingga belum lagi melangkau 50 hari memegang jawatan tersebut. Namun kalaulah sudah berpuluh tahun jadi menteri itu dan ini dan sampai jaga undang-undang pada sesi yang lepas , sebetulnya siapa yang boidoh undang-undang? Nazri atau Nizar ?

03 Mei 2008

Apa kata hati ?

Mintalah pertimbangan hatimu. Kebaikan adalah apa yang dirasakan jiwa dan hatimu tenang kerananya (HR Imam Ahmad dan Ad Darimi).

Kadangkala kita dihantui keraguan, antara berdosa dan tidak melakukan sesuatu. Dalam keadaan tersebut, Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk meminta pendapat hati. Sebab, menurut Rasulullah, pasti ada perbezaan antara kebaikan dengan kebatilan. Bila itu suatu kebaikan, pasti hati dan jiwa kita akan tenang. Sedangkan perbuatan batil atau berdosa,tentunya jiwa kita akan terganggu dan ragu-ragu, walaupun kadangkala dikatakan betul oleh orang lain.

Demikian jawaban Rasulullah SAW ketika ditanyakan oleh Wabishah bin Ma´bad radhiallhu´anha tentang kebaikan. Jawaban tersebut menggambarkan peranan hati nurani terhadap kelakuan kita. Oleh karena perlu menjaga kesucian hati agar selalu tepat dan benar dalam memberi pertimbangan. Bagi yang berhati bersih, seperti seorang Muslim yang taat, ia akan selalu merasa tenteram dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang baik. Sebaliknya, ia merasa susah, malu, kalau hendak melakukan perbuatan-perbuatan buruk.

Melihat saja suatu perbuatan maksiat, hatinya akan memberontak untuk mencegah sesuai dengan kemampuannya, dengan tangan atau lisan atau dengan hati sesuai dengan sabda Nabi. Jauh sekali untuk ikut sama melakukannya. Orang seperti ini akan merasa tidak selesa sebelum ia melakukan suatu suruhan Allah, dan merasa suatu kelegaan ketika sudah menyempurnakannya. Hatinya sentiasa ingat dan bergantung kepada Allah SWT.

Kenyataan rasmi Istana Perak berhubung pertukaran Pengarah JAIP

Berikut ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan atas titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan berhubung arahan pertukaran serta-merta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan:

Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah, atas nama Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), telah menitahkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin untuk menghadap Baginda pada jam 11.00 pagi ini, di Istana Raja Muda Perak Darul Ridzuan untuk menyembah maklumkan kepada Baginda berhubung arahan Menteri Besar Perak supaya Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury ditukarkan serta-merta daripada jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

2. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar telah dimaklumkan bahawa Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury selaku Pengarah Jabatan Agama Islam adalah juga berperanan sebagai Setiausaha kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).
Bahawa lantikan Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury dilakukan hanya selepas mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan.

Bahawa urusan Agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggung jawab dengan agama Islam adalah di bawah kuasa langsung Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Oleh itu pada tafsiran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan berdatang sembah, memaklumkan kepada Baginda Sultan dan juga kepada Baginda Raja Muda, memohon mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan hal ehwal agama Islam, badan dan agensi yang bertanggung jawab dengan agama Islam, merangkumi urusan lantikan, penempatan dan pemindahan pegawai dan kakitangan yang menguruskan hal ehwal agama Islam, apatah lagi bagi penjawat jawatan penting dan jawatan utama.

3. Hubungan kerja yang menghormati Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan merupakan satu konvensyen dan budaya kerja yang senantiasa diamalkan dan dihormati oleh setiap Mamanda Menteri Besar dengan pihak istana selama hari ini. Baginda Raja Muda memperingatkan bahawa hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman ini wajiblah dihormati pada setiap masa. Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Baginda Sultan dan Baginda Raja Muda adalah dianggap telah membelakangkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

4. Pada masa yang sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan nasihat dan pandangan Paduka Seri Sultan Perak bahawa seseorang Ketua Kerajaan dalam melaksanakan sesuatu tindakan hendaklah memperlihatkan berlakunya keadilan dengan mematuhi prosedur dan tata cara pentadbiran berlandaskan peraturan dan undang-undang yang ada. Baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik berlaku di kalangan para pentadbir dengan pemimpin politik di negeri Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

5. Adalah menjadi pegangan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya Kerajaan Baginda mengamalkan dan memperlihatkan amalan yang adil dan proses keadilan itu hendaklah dipatuhi, supaya tidak ada di kalangan rakyat Baginda yang merasakan diri mereka menjadi mangsa kepada mana-mana perbuatan fitnah atau penindasan daripada mana-mana pihak yang lebih berkuasa. Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu. Prinsip keadilan sejagat (natural justice) perlu dihormati, oleh itu mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberikan penerangan, supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan.

6. Dalam semangat yang demikian, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan pandangan dan pendirian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya arahan pertukaran serta-merta yang dikenakan kepada Yang Berbahagia Dato’ Jamry Sury ditarik balik. Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peraturan dan kesalahan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri yang ada dilakukan oleh Yang Berbahagia Dato’ Jamry Sury, maka Kerajaan diminta mempersembahkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan untuk Baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya disusuli sebelum dijatuhkan apa-apa keputusan secara muktamad.

Y.D.H. Toh Raja DirajaKol. Dato’ Abd. Rahim Mohamad Nor

Setiausaha Sulit kepada
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak
2 Mei 2008

Siapa yang buat kecoh, rakyat sendiri akan menilai !


Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek berkata bahawa slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam akan dikaji semula berikutan kekecohan yang berlaku pada hari pertama sidang semalam. Beliau telah memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana bertindak membenarkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam semalam.

Menurut beliau, rakyat benar-benar tertipu dengan tingkah laku wakil pembangkang yang membuat kecoh di Dewan yang mulia itu hingga mengubah persepsi rakyat terhadap Parlimen. Sementara itu Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu Kementerian Penerangan meneruskan siaran langsung sidang Dewan Rakyat walaupun ia hanya memaparkan lebih banyak kekecohan. Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, siaran langsung itu ada kebaikannya kerana melaluinya rakyat dapat menilai baik buruk tindakan dan peri laku wakil-wakil yang mereka pilih dan berikan kepercayaan.

‘‘Siaran langsung sidang patut diteruskan. Walaupun gelagat wakil rakyat teruk sangat, pada hari permulaan, itu mereka punya pasal.

‘‘Rakyat boleh menilai, bahawa inilah orang yang aku undi. Kalau mereka tidak berpuas hati dengan perangai mereka, undi orang lain pula,” katanya. Selain itu beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pembangkang menggesa Kementerian Penerangan meneruskan slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam untuk memberi ruang kepada wakil rakyat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Antaranya Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, slot siaran langsung itu patut diteruskan kerana rakyat boleh melihat dan menilai kebolehan setiap wakil rakyat termasuk pihak pembangkang.Saya berpandangan biarlah rakyat sendiri yang menilai pihak mana yang salah dan siapa pula yang salahdan semgaja buat kecoph di Parlimen. Sepatutnya Kementerian Penerangan memikirkan lebih masa lagi diperuntukkan untuk siaran langsung itu. Waktu sejam sememangnya tidak memadai.

Yang dibimbangi ialah isu ini sengaja diperbesarkan sebagai "baling batu sembunyi tangan" bagi mencari alasan bagaimana sisran tersebut di hentikan.

Jika bayar sewa umno pun boleh guna – ADUN Titi Serong

PARIT BUNTAR, 30 April :- PAS tidak akan menghalang sesiapa sahaja yang ingin menggunakan dewan di bawah Majlis Daerah Kerian asalkan membayar sewa. PAS tidak akan mencontohi sikap umno semasa memerintah yang menghalang PAS dari menggunakan kemudahan di bawah Majlis Daerah Kerian dan kerajaan negeri. Demikian antara ucapan YB Drs Khalil Idham semasa menyampaikan ucapan aluan di Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Parit Buntar di sini.

“ Kita guna dewan hari ini pun bukan percuma, kita bayar sewa. Dulu kita nak bayar sewa pun tidak dibenarkan. Sekarang kalau umno nak guna, gunalah tetapi sewa kena bayar sama macam PAS “ Jelas ADUN Titi Serong itu.

Drs. Khalil juga mengambil kesempatan dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pemuda Kawasan, UPU dan Cawangan yang berkerja keras dalam pilihanraya yang lalu sehingga PAS berjaya memenangi kerusi Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Kawasan Sdr. Khairulzami Muhammad yang ditemui memberitahu semasa BN memerintah, Majlis Daerah Kerian diarahkan oleh umno untuk tidak membenarkan aktiviti PAS di premis di bawah Majlis Daerah Kerian.

“ Macam-macam alasan diberi selalunya diberitahu sudah ada orang tempah tetapi pada masa program tiada sesiapa guna pun. Sebenarnya umno yang halang “ Jelas beliau.

sumber : http://paritbuntar.pas.org.my/

02 Mei 2008

Jangan meminta jawatan

“Demi Allah, sesungguhnya kami tidak akan mengangkat seseorang memegang suatu jawatan kerana ia memintanya atau rakus terhadapnya” (HR. Bukhari dan Muslim).

Sabda Nabi tersebut sering tidak dipedulikan oleh kebanyakan orang muslim di zaman ini. Pastinya kebanyakan orang memintanya dengan berbagai cara, meskipun kemampuannya jauh dari cukup untuk memegang jawatan tersebut. Mengapa demikian sikap melampau sebahagian kita melanggar suatu larangan Rasulullah SAW itu?


Umumnya difahami bahwa jawatan adalah “kendaraan” untuk mencari berbagai kemewahan dunia bagi diri sendiri dan kelompoknya. Antara lain, untuk mencari kemewahan harta benda, kebangaan, dan lain-lain. Dengan kata lain, ketika hasrat untuk mencari kemewahan dunia sudah begitu meluap-luap, kita menjadi lupa diri. Kita lupa bahwa diri kita adalah seorang muslim yang memiliki batas-batas dalam bertindak, seperti larangan meminta jabatan.

Berbeza dengan Nabi Yusuf di masanya, beliau meminta jawatan di Mesir pada waktu itu kerana ingin menyelamatkan orang ramai dan negaranya. Beliau juga pandai melaksanakan amanah dan memiliki keahlian yang tinggi di bidang itu. Terbukti sesudah itu, Mesir mampu mengatasi krisis bahan makanan selama bertahun-tahun.

Sebaliknya di negeri kita lain pula keadaannya, pemegang jawatan adalah sebahagian dari penyebab berlakunya masaalah dan krisis. Terbukti kebanyakan mereka adalah yang menjadi "serigala" yang amat ganas dengan menganggap jawatan adalah peluang untuk mengayakan diri sendiri dan orang disekeliling. Maka berlakulah penyeleweng, rasuah, pilih kasih, penindasan dan sebagainya.

MB Perak pertahankan tindakan yang diambil

IPOH, 1 Mei :- Menteri Besar Perak hari ini mempertahankan tindakan mengarah pertukaran serta merta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Dato' Jamry Sury dengan alasan ia hak dan dasar yang diperjuangkan kerajaan selaras manifesto Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Bernama yang dipetik Buletinonline melaporkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan negeri tidak mahu diheret lebih jauh ke dalam isu pertukaran terbabit, malah bukan menjadi dasar kerajaan negeri untuk mendedahkan sikap sesetengah pegawai yang bertindak menimbulkan perkara meragukan.

"Bagaimanapun kerajaan negeri terpaksa mempertahankan hak dan dasar yang diperjuangkan sepertimana yang disuarakan melalui manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya lalu. "Sikap tidak menghormati pendirian kerajaan oleh kakitangan awam sememangnya satu sikap yang tidak profesional, sedangkan semuanya termaktub dan ditentukan oleh Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedudukan Jamry adalah berstatus penempatan secara pentadbiran sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Gred Utama C (Pinjaman).
"Jadi dalam ertikata sebenarnya dipulangkan ke jabatan asalnya.

"Bersesuaian dengan statusnya dipinjamkan ke jabatan berkenaan (Jaip) dan yang meminjamkannya ialah kerajaan negeri terdahulu. Oleh itu, setiap sesuatu yang dipinjam eloklah dipulangkan, apatah lagi sudah tiga tahun beliau dipinjamkan.

"Pertukaran Jamry ke jabatan asalnya adalah tanpa menjejaskan apa-apa yang sepatutnya diperolehi dan sesuai dengan kelayakannya," katanya.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri memberi tempoh yang panjang iaitu 40 hari untuk Jamry menyesuaikan diri dan bekerjasama.

"Tempoh 24 jam sepertimana digambarkan itu hanyalah satu proses prosedur. "Beliau juga bukan dinafikan segala hak atas urusan pemindahan itu. Persoalan sewajarnya ialah apakah beliau mengalami apa-apa kerugian daripada arahan itu pastinya tidak.

"Persoalan kedua, kenapa hal ini dijadikan isu... kerana sebelum ini pun ada pegawai kanan kerajaan ditukarkan dari satu lokasi ke satu lokasi tanpa pengetahuan kerajaan negeri (walaupun ia patut dimaklumkan) tetapi tidak pula menjadi isu," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri hanya membetulkan kredibiliti pentadbiran jabatan berkenaan dan mengucapkan terima kasih di atas perkhidmatan beliau selama memegang jawatan itu.
http://www.harakahdaily.net/

01 Mei 2008

Himpunan Rakyat

HIMPUNAN RAKYAT

YAB Dato’ Seri Haji Nizar bin Jamaluddin
Menteri Besar Perak

Ybhg Ust. Misbahul Munir bin Haji Masduki
Ketua Penerangan PAS Perak

YB Dr. Mujahid bin Yusuf Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar

YB Drs. Khalil Idham Lim bin Abdullah
ADUN Titi Serong

Tarikh : 8 Mei 2008 ( Khamis )
Masa : 9.30 malam
Tempat : Padang Majlis Bandaran Parit Buntar

Semua rakyat pelbagai kaum dijemput hadir

Sultan Perak : Laksanakan keadilan dapat melahirkan keharmonian.

IPOH, 30 April: - DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, melaksanakan keadilan suatu tuntutan dan keadilan yang berjaya dilaksanakan dalam erti kata yang sebenarnya dapat melahirkan keharmonian sejagat.

Baginda bertitah demikian dalam Majlis perasmian Bangunan Mahkamah Syariah Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. Bangunan yang terletak ditanah seluas 3.2 hektar dan menelan belanja 33.4 juta Ringgit itu telah sempurna diresmikan dalam upucara yang dihadiri sama oleh Tuanku Bainun,YAB Menteri Besar Perak dan Isteri serta pembesar negeri yang lain.

"Ia mengiratkan hubungan manusia sesama manusia, hubungan manusia dengan institusi undang-undang, hubungan manusia dengan negara dan hubungan manusia dengan alam," tegas baginda.

Tegas baginda, Islam adalah agama yang amat menekankan perlaksanaan keadilan secara komprehensif.

"Komponen keadilan serta aspek keadilan terkandung di dalam al-Quran dan diperjelaskan dengan Sunnah s.a.w. bahawa semua umat manusia harus diperintah serta diperlaku adil dalam setiap tindakan dan perbuatan," ujar baginda.

Seterusnya baginda mengharapkan Umat manusia diseru bertindak seadil-adilnya kepada manusia sepanjang masa, termasuk terhadap sumber alam semula jadi, tumbuh-tumbuhan, binatang ternakan, dan setiap sesuatu yang diamanahkan kepada manusia selaku kalifah di dunia ini.

"Para pemimpin wajib melaksanakan keadilan dan memperlihatkan keadilan benar-benar berlaku tanpa menimbulkan prasangka negatif," tambah baginda.

Selain itu baginda sangat berharap mahkamah syaiah hendaklah berupaya melaksanakan keadilan. Penghakiman hendaklah dengan data dan fakta yang shahih.

Diakhir ucapan baginda menyeru agar usaha-usaha melaksanakan undang-undang Islam difahami dan memohon dari allah memberi petunjuk dan hidayahNya.

Kesempurnaan iman.

“Ada tiga perkara yang apabila dimiliki seseorang,ia memiliki iman sempurna. iaitu memberi salam terhadap setiap orang, dan mengeluarkan infaq di jalan Allah, meskipun hanya sedikit” (HR. Imam Bukhari).



Iman yang sempurna tidak mudah dimiliki meskipun sudah memiliki gelaran Haji dan sebagainya. Tidak cukup dengan hanya ibadah wajib seperti sembahyang sehingga dapat menunaikan haji. Sebagaimana hadits di atas, dari tiga perkara yang dihuraikan Rasul SAW tentang kesempurnaan iman,salah satunya adalah memperlakukan orang lain sebagaimana kita suka diperlakukan oleh orang lain.

Hal ini memang jarang disedari kebanyakan orang.Umumnya orang ingin diperlakukan dengan baik.Namun jarang merenungi apakah selama ini ia sudah baik memperlakukan orang lain sebagaimana ia mahu diperlakukan.

Kadangkala orang hanya memperlakukan orang lain dengan baik terhadap orang-orang yang sederajat atau lebih tinggi pangkat darinya. Atau hanya baik terhadap orang yang sama atau lebih banyak hartanya darinya. Sedangkan terhadap orang miskin atau rakyat biasa, kerap dianggap hina atau tidak dilayani dengan baik dalam sesuatu urusan. Namun ia ingin diperlakukan dengan baik, seperti meminta bahagian dalam sesuatu urusan rakyat yang sudah menjadi ditugasnya.

Lebih-lebih lagi di saat ia memerlukan sesuatu, terutamanya pangkat dan jawatan. Bermacam istilah digunakan seolah-olah ingin memperlakukan rakyat jelata dengan baik,seperti “demi rakyat” dan sejenisnya. Itulah cerminan kadar keimanan kita yang sebenarnya. Maka lakukanlah yang terbaik untuk mencapai kesempurnaan iman.