20 Oktober 2008

Bernard Dompok perlekeh Islam, PAS Sabah lapor polis

KOTA KINABALU, 19 Okt :- Dewan Pemuda PAS Sabah menyifatkan kenyataan media Tan Sri Bernard Dompok yang disiarkan dalam akhbar tempatan Sabah baru-baru ini,sebagai memperlekeh agama Islam dan dianggap biadap serta mengandungi unsur hasutan.

Justeru, Naib Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu dan diiringi oleh beberapa orang pimpinan kanan PAS Sabah telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Karamunsing di sini, semalam bagi menunjukkan bantahan.

"Kami harap tindakan tegas dapat diambil dari pihak berwajib terhadap Bernard Dompok yang secara terang-terangan mencabar dan menentang kuasa Majlis Raja-Raja sebagai pelindung agama Islam di negara ini,"katanya.

Tambahnya,"kami kecewa dengan tindakan Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) yang seolah-olah dilihat ingin mencetuskan polimik antara agama yang berpanjangan di Malaysia."

Beliau yang juga bekas Setiausaha Pemuda Sabah berkata,tindakan Bernard jelas berniat jahat kerana ia akan menimbulkan suasana tegang di antara penganut agama Islam dengan penganut agama lain di negeri ini.

Pemuda PAS Sabah juga berasa janggal dengan pimpinan Barisan Nasional (BN) khususnya yang beragama Islam kerana tiada bantahan yang dibuat dalam isu ini, sedangkan ketika isu forum Majlis Peguam dahulu ramai yang tampil cuba menjadi juara.

"Bagi kami hal ini menunjukkan sikap double standard pemimpin BN dalam mempertahankan agama Islam dan sikap terlalu menjaga kedudukan politik BN yang dilihat tidak mendapat sokongan rakyat ,"ujar beliau.

Berkait isu ini, Dewan pemuda PAS khususnya PAS Sabah mengingatkan kepada pemimpin atau individu dalam negara ini agar jangan sesekali berani bermain api dengan menyentuh sentimen agama kerana kami komited mempertahankan kesucian Islam dengan apa cara sekalipun.

Lahirul turut mencadangkan agar Bernard memfokuskan halatuju perjuangan beliau untuk membantu menyelamatkan negara di saat dunia mengalami masalah ekonomi, bukan cuba menimbulkan huru hara kepada Malaysia.

Baru-baru ini Presiden UPKO, Bernard Dompok membuat onar dalam ucapannya pada Kongres ke-12 pertubuhan itu dengan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini umumnya dan umat Islam di Sabah khususnya.

Turut hadir dalam membuat laporan tersebut, Ketua Pemuda PAS Sabah, Anuar Ali;Timbalan Persuruhjaya PAS, Hamzah Abdullah; Setiausaha Pemuda Sabah, Firdaus Fuad; Setiausaha Yayasan Amal, Saifuddin Ahmad dan beberapa ahli Yayasan Amal Sabah .

Misbahul Munir akan saman Zainol Padzi

IPOH , 18 Okt : Dalam satu kenyataan yang dibuat lewat petang ini, Ustaz Misbahul Munir menyatakan kesalnya terhadap satu ‘Aduan BPR’ yang dilakukan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik Zainol Padzi Paharuddin dan Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik dan Labu Kubong, Suib Sulaiman.

Dalam satu sidang akhbar yang dibuat sebelum ini, Misbah menganggap tindakan mereka yang membuat laporan kepada BPR itu hanyalah satu gimik politik murahan Umno, khususnya untuk mencari apa jua kesilapan (jika ada) dilakukan Pakatan Rakyat.

“Mereka semata-mata bertujuann jahat untuk mencemar kerajaan Pakatan Rakyat disamping bertujuan mencari pablisiti peribadi murahan menjelang demam pemilihan Umno sekarang ini,” jelas Misbah.

“Saya akan mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menyaman Ketua Pemuda Umno Perak terhadap laporan BPR kononnya saya salah guna kuasa,” kata Misbah.

Menurut Misbah, “Lapoan yang dibuat itu adalah berniat jahat terhadap kredibiliti saya selaku setpol.Imej saya agak terjejas dan tercemar.”

Misbah menyatakan kenyakinan dan kepercayaan orangramai terhadapnya mulai terjejas dan dipersoalkan.

“Peguam saya sedang mengkaji dan meneliti untuk mengambil tindakan saman terhadap Zainol Padzi,” jelas Misbah.

Zainol Padzi yang juga Ketua Pemuda Umno Perak dalam laporannya kepada BPR Perak di Ipoh pagi kelmarin mendakwa Misbahul Munir mengeluarkan surat arahan meminta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyerahkan kerja menyenggara sungai, parit dan tali air kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) secara runding terus.

19 Oktober 2008


Presiden PAS rasmi Seminar Urustadbir Berasas siasah Syar'iyyah

SHAH ALAM, 18 Okt. :- Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan PAS dilahirkan pecahan dari UMNO, sebenarnya PAS lahir dari mata rantai perjuangan Islam untuk menengakkan syariat Allah. Demikian antara kandungan ucapan Perasmian Presiden PAS, YB. Dato. Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang dalam Seminar Penglibatan PAS dalam Urustadbir Negeri-negeri Pakatan Rakyat berasaskan Siasah Syar'iyyah yang diadakan di sini hari ini.

"Perjuangan menentang pejajah yang diasaskan oleh Dr. Burhanuddin Al Helmi dan tokoh lain dalam keadaan UMNO belum ditubuhkan" Tegas Presiden PAS.


Hadir sama Dato' Kamaruddin Jaafar, Ust Ahmad Awang dan Dato' Haron Din



Pada kesempatan itu Presiden PAS membentangkan Ucaptama bertajuk : "Perinsip-prinsip Syar'iah dan Amalan di Malaysia dan Pengalaman PAS".


Peserta seminar yang hadir dari seluruh negara.

Pengisian lain dalam program sehari itu membariskan Pembentangan kertas kerja 1 oleh Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS , Dato' Mustaffa Ali berjudul " Pengalaman PAS dalam Barisan Nasional (1973-1978): Analisa Pencapaian PAS ". Kertas kerja ini di ulas oleh Dr. Kamaruzaman Yusof dan Ust. Wan Rahman Abdul Latif.

Bagi kertas kerja 2 bertajuk "Pengalaman PAS dalam Pentadbiran Kerajaan Kelantan 1990 hingga 2004 dibentang oleh YB. Dato' Hj. Abdul Halim Abdul Rahman.

Kertas kerja 3 pula dibentang oleh YB. Dato' Harun Taib berjudul "Siyasah Syar'iyyah Dalam Kerajaan pakatan Rakyat Kedah, Perak dan Selangor" dan pengulasnya ialah YAB Menteri Besar Kedah, Exco Kerajaan Perak, YB. Hj. Mohd Zainuddin, dan Exco Kerajaan Selangor, YB. Ir. Iskandar Abd. Samad

Seminar sehari yang dianjurkan oleh PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Pusat melibatkan peserta dikalangan AJK Syura Ulama, AJK PAS Pusat, AJK Dewan-dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat Pusat, Ahli-ahli Yang Berhormat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri PAS seluruh negara.

Pembentangan kertas Kerja 1 oleh Dato' Mustaffa Ali

Antara objektif program ialah untuk merintis jalan kepada mewujudkan satu garis panduan kepada anggota-anggota kerajaan daripada PAS terutamanya dalam konteks negeri-negeri Kedah, Perak dan Selangor.

Sessi penggulungan pula akan disempurnakan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Dat' Dr. Haron Din dan akhirnya akan ditutup oleh Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Misbah nafi salahguna kuasa

Kenyataan akhbar Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Ustaz Misbahul Munir Bin Masduki
16HB OKT 2008

Dukacita saya melihat dakwaan atau tuduhan yang sebgaja dibuat-buat dan dilemparkan oleh UMNO iaitu oleh YB terhadap saya pada hari ini dengan melaporkan pada Badan Pencegah Rasuah kononnya saya telah menyalahgunakan kuasa.

Sayugia diingatkan bahawa tindakan itu hanya sekadar satu gimik politik murahan Umno, khususnya untuk mencari apa jua kesilapan (jika ada) dilakukan Pakatan Rakyat hatta sebesar zarah sekalipun, jika boleh dimanipulasikan untuk kepentingan diri.

Ia dibuat sekadar untuk menunjukkan beliau tidak berdiam diri (tetapi bekerja) dan sebagai manipulasi untuk menonjolkan diri semasa persidangan pemilihan Umno yang sedang berlaku sekarang.

Sesungguhnya dalam kes surat saya kepada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, saya sesekali tidak pernah mengarahkan diserahkan kerja-kerja selenggaraan parit kepada JKKK yang baru.

Dukacita saya dapati YB begitu lemah penguasaan dan pemahaman Bahasa Malaysianya sehingga tiidak dapat membedakan antara perkataan ‘arah’ dan ‘dipohon’. Secara lateralnya, jika ‘arah’ berert ia mesti diikuti, manakala dipohon bermakna merayu jika tidak menjadi halangan. Jadi ia terpulang kepada kebijaksanaan dan budi bicara Pengarah berkenaan untuk membuat keputusan.

Jika didapati ia salah dan bertentangan dengan etika, maka ia tidak harus dilaksanakan oleh pengarah berkenaan.

Saya juga hairan mengapakah ahli JKKK lama masih ingin mempertahankan kedudukan dan harta atau perkakasan atau tugasan yang bukan menjadi milik mereka tetapi milik kerajaan negeri.

Yang terbukti salahguna kuasa ialah Umno, dengan menggunakan kedudukan sebagai Exco meminta JPN negeri menukarkan 4 orang guru keluar daripada Daerah Perak Tengah hanya kerana mereka dianggap menentang kuat parti Umno.

18 Oktober 2008

SETPOL MB sifatkan dakwaaan sekadar gimik politik

Setiausaha Politik Menteri Besar Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki menyifatkan laporan BPR kononnya beliau telah menyalahguna kuasa oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik Zainol Padzi Paharuddin dan Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik dan Labu Kubong, Suib Sulaiman sebagai satu gimik politik murahan.

Sayugia diingatkan bahawa Umno, sekadar ingin menonjolkan diri mencari apa jua kesilapan (jika ada) dilakukan Pakatan Rakyat hatta sebesar zarah sekalipun, untuk dimanipulasikan bagi kepentingan diri.

Bagi saya, ia dibuat sekadar untuk menunjukkan beliau tidak berdiam diri (KONONNYA BEKERJA) dan sebagai manipulasi untuk menonjolkan diri semasa persidangan pemilihan Umno yang sedang berlaku sekarang,katanya.

Sesungguhnya dalam kes surat saya kepada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, saya sesekali tidak pernah mengarahkan diserahkan kerja-kerja selenggaraan parit kepada JKKK yang baru.

Dukacita saya dapati mungkin Yang Berhormat berkenaan kurang memahami atau gagal membedakan penggunaan perkataan yang dicatat dalam surat yang dimaksudkan itu antara ‘arah’ dan ‘dipohon’.

Secara lateralnya, kata Misbah jika ‘arah’ bererti ia mesti diikuti, manakala ‘dipohon’bermakna terpulang pada budi bicara dan jika tiada halangan. Jadi ia terpulang kepada kebijaksanaan dan budi bicara Pengarah berkenaan untuk membuat keputusan.



Jika didapati ia salah dan bertentangan dengan etika, maka ia tidak harus dilaksanakan,katanya sambil menegaskan bahawa beliau sentiasa bersedia disiasat.



Misbahul juga melahirkan rasa hairannya, mengapa Yang berhormat berkenaan mempertahankan sangat kedudukan JKKK lama itu kerana setahu beliau peranan JKKK lama itu telahpun terkubur.



“Saya juga hairan mengapakah ahli JKKK lama masih ingin mempertahankan kedudukan dan harta atau perkakasan atau tugasan yang bukan menjadi milik mereka tetapi milik kerajaan negeri.”

http://anuarhashim.com/

MALANG TIDAK BERBAU, RUMAH HANGUS DALAM SEKELIP MATA

BAGAN SERAI, 16 Okt.:-Satu kejadian kebakaran di Sungai gedung telah menyebabkan seorang penduduk di kawasan itu tinggal sehelai sepinggang. ADUN Selinsing, YB. Husin Din telah hadir melawat dan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim yang kebetulan lalu di kawasan itu singgah meninjau kejadian.



ADUN Selingsing ,berdiri di belakang berbaju biru tuan rumah mangsa kebakaran.


Abdul Hamid Adol, seorang pengusaha kedai gunting rambut di pekan Sungai Gedung keluar dari rumahnya jam 4.00 petang untuk melakukan kerja hariannya. Pada masa itulah rumahnya terbakar dan bila dia dimaklumkan dan bergegas sampai di rumahnya sekitar jam 5 petang, rumahnya telah habis dijilat api.

Pasukan Bomba Penyelamat dari balai Balai Bomba Bagan Serai tidak mampu menyelamatkan rumah PPRT yang dibina oleh pihak BaitulMal 10 tahun yang lepas. ADUN Selinsing telah berjanji untuk mengusahakan dari pihak yang berkenaan bagi meringankan beban mangsa.

KAMI SANJUNG TINGGI AMANAH DARI RAKYAT

PARIT BUNTAR, 16 Okt..:-"Kami menyanjung tinggi amanah dari rakyat, akhirnya kami menjadi kerajaan di negeri Perak". Demikian antara ucapan Exco Agama Perak, YB Hj.Mohd. Zainuddin Yusuf semasa merasmikan program pelancaran modul Nur Kasih dan Jamuan Hari Raya anjuran Pejabat Agama Daerah Parit Buntar di sini hari ini.

Hadir sama dalam program tersebut ialah ADUN Titi Serong, Drs.Khalil Idham Lim, ADUN Selinsing, Hj.Husin Din, ADUN Gunung Semanggol, Hj.Ramli Tusin, ADUN Kuala Kurau, Abd.Yunus Jamhari, Timbalan Pengarah JAIPK, Mohd Yusuf Hussin dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Kerian, Hj.Mad Dan B.Hassan.


Exco Agama sedang memberikan ucapan



Pada Kesempatan itu Exco Agama juga menjelaskan pelbagai dasar kerajaan yang lebih Islamik seperti menyediakan solat berjemaah di bangunan SUK dan tazkirah, serta sembahyang berjemaah Terawikh di Dataran MBI pada bulan Ramadhan yang lepas.

"Saya merasa hairan bila ada yang membantah dan mempersoalkan dasar untuk menolong bangsa lain seperti orang cina, ajaran mana yang melarang kita menolong mereka", soal Exco Agama.

Beliau juga memohon supaya rakyat mendoakan kerajaan yang ada sekarang supaya kekal memerintah.

Majlis diakhiri dengan Jamuan Hari raya dengan pelbagai jamuan seperti nasi minyak, satay, roti canai dan lemang.

MEMPOLITIKKAN AZAN, WAJARKAH?


Media melaporkan, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib membidas dakwaan pemimpin parti pembangkang bahawa penubuhan Tabung Azan bermotifkan politik. Beliau berkata, kewujudan tabung itu bertujuan untuk mendaulatkan Islam selain membantu Utusan Malaysia yang menjadi wadah perjuangan orang Melayu.''Kita tidak mahu pembangkang menjadikan kewujudan tabung ini sebagai satu polemik politik yang boleh menjejaskan akidah. ''Kenyataan pemimpin pembangkang seolah-olah mereka menentang dan membantah kewujudan Tabung Azan sedangkan ia bertujuan baik bagi mengagungkan azan secara lebih berkesan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Kumpulan Utusan di Hotel Crown Plaza Mutiara di sini hari ini. Muhammad mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa semalam yang membidas tindakan UMNO Bahagian Cheras menubuhkan Tabung Azan untuk membantu Utusan Malaysia yang disaman RM30 juta oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Realitinya, siapakah yang cintakan masjid dan surau berbanding dengan pemimpin UMNO.Semua mengetahui, siapakah yang membela apabila masjid diruntuhkan di Selangor dan Terengganu suatu masa dulu .Isu ini lebih besar berbanding isu Azan. Lantang menegakkan tabung azan, tetapi kecut apabila rumah Allah diruntuhkan.
Selain itu berapa ramai pemimpin UMNO yang hadir di masjid apabila Azan dilaungkan???

17 Oktober 2008

Usaha wanita China mencapai kemajuan

Usaha meningkatkan taraf kemajuan wanita China mencapai kejayaan pada tahun-tahun kebelakangan ini. Jurang perbezaan antara wanita dengan lelaki dari segi pendidikan dan kadar mendapat peluang kerja kurang dengan ketara.

Demikian dinyatakan oleh pegawai Persekutuan Wanita Seluruh Negara China.

Sekarang, tempoh penerimaan pendidikan purata bagi kaum wanita mencapai 7.3 tahun. Kira-kira 45% jumlah orang yang bekerja ialah kaum wanita.

Selain itu, sistem undang-undang yang memelihara hak dan kepentingan wanita serta menggalakkan pembangunan usaha wanita juga ditubuhkan dan disempurnakan di China.

Kufur Nikmat

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah sanggup menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan mengingkari (nikmat Allah)” (QS. Ibrahim: 34).

Kalaulah jumlah kenikmatan yang kita dapat setiap hari dikurangi dengan jumlah rasa syukur kita kepada Pemberi kenikmatan, sudah pasti kita berhutang banyak. Selisihnya sangat jauh. Sangat sedikit rasa syukur kita kepada Allah, sedangkan kenikmatan kita terima berlimpah ruah. Namun ada juga di antara kita yang kufur nikmat atau tidak mensyukurinya langsung.

Tanda-tanda orang yang tidak mensyukuri kenikmatan atau kufur nikmat, menurut Imam al-Ghazali, tidak cukup dilihat dari keengganannya mengucapkan “alhamdulillah”. Tetapi juga kerana menggunakan kenikmatan pada jalan-jalan yang tidak diridhai Allah. Kenikmatan fikiran yang sihat, misalnya, banyak dicurahkan oleh orang yang kufur nikmat untuk memikirkan hal-hal yang tidak diridhai Allah SWT.

Kalau begitu halnya seseorang itu telah undur kebelakang, sehingga layak dikatakan sebagai manusia yang tidak pandai bersyukur. Sebab, fungsi utama dari kesihatan fikiran sebagai salah satu kenikmatan adalah membantu dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah sekaligus dalam berbuat amal sholeh lainnya.

Kerana itu, sepatutnya kita menyedari bahwa terlalu banyak kenikmatan yang tidak mampu dibayar oleh rasa syukur kita. Sehingga kita perlu berterima kasih kehadrat Allah SWT sebanyak-banyaknya dengan meningkatkan sifat takwa dan syukur kepada segala nikmat itu.

Malaysia promosi program pelancongan di Guilin

Ketua pejabat Pelancongan Malaysia di Guangzhou, Encik Suhaimi Shaharuddin mengetuai delegasi yang dianggotai Kumpulan Genting Heran, Syarikat Pelancongan Malaysia dan Syarikat Penerbangan Asia mempromosikan program pelancongan Malaysia di Guilin, Guangxi semalam.

Encik Suhaimi memperkenalkan sumber pelancongan yang kaya di Malaysia. Dengan beroperasinya penerbangan antara Guilin dengan Kuala Lumpur yang disediakan Syarikat Penerbangan AirAsia, telah menjimatkan banyak masa bagi pelancong Guilin ke Malaysia. Ini akan mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak.

AirAsia menyediakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Guangzhou, Hangzhou, Guilin, Shenzhen dan Haikou disamping penerbangan ke Hong Kong dan Macau.

Kenyataan khas Majlis Raja-Raja Melayu

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

"Kenyataan akbar yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

"Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

"Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

"Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

"Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

"Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

"Justeru, adalah perlu Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract.

Social Contract ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar mempertingkatkan supaya isu berkaitan Social Contract tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

"Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era pra kemerdekaan, berfikiran dalam berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi Raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

"Majlis Raja-raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

"Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara."

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang diPertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.
malaysiakini.

Krisis ekonomi global tanda gagal sistem kapitalis

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan krisis ekonomi global sebagai tanda kegagalan sistem kapitalis yang selama ini didewa-dewakan oleh negara Barat.Kesan dari krisis ekonomi global ini, kata Ustaz Hadi memaksa negara seperti Amerika Syarikat mengeluarkan dana yang besar untuk membantu syarikat yang hampir muflis. "Amerika Syarikat begitu angkuh sebelum ini hingga sanggup menyerang negara lain semata-mata untuk kepentingan ekonomi mereka," kata beliau. Beliau turut menegaskan sistem ekonomi kapitalis yang lebih mementingkan keuntungan kepada satu pihak menyebabkan banyak syarikat kewangan yang muflis. Mengambil contoh kegagalan Bank Bumiputera yang kini hanya tinggal nama akibat mengamalkan riba untuk mendapatkan keuntungan yang berlebihan.

"Pinjaman yang banyak dikeluarkan kerana mahu mengaut riba yang tinggi, akibatnya ramai peminjam yang gagal membuat pembayaran dan akhirnya bank yang mengalami kerugian," kata Ustaz Hadi. Berucap di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan pembentangan belanjawan 2009, Ustaz Hadi turut mengkritik pengagihan ekonomi yang tidak sama rata dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Beliau berkata BN lebih menumpukan pembangunan dari segi ekonomi dan infrastruktur di neger-negeri tertentu berbanding negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Dari segi infrastruktur kata beliau, Sabah dan Sarawak jauh lebih ketinggalan berbanding Semenanjung biarpun BN sudah memerintah lebih dari 50 tahun. "Pemimpin-pemimpin BN hanya tahu untuk mengambil balak di Sabah dan Sarawak tetapi tidak penderitaan yang ditanggung oleh rakyat di sana," tegas beliau.

Ustaz Hadi berkata sepatutnya pengagihan ekonomi sama rata dilakukan tanpa mengira agama dan kaum bersesuaian dengan ajaran Islam yang menjadi agama rasmi negara ini. "Kita tidak sepatutnya meminggirkan kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain kerana mereka juga rakyat negara ini," tegas Ustaz Hadi. Beliau juga mengesa agar ekonomi rakyat dimantapkan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat krisis ekonomi global. Dengan mengambil contoh kadar gaji di Singapura yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia,Ustaz Hadi menegaskan sepatutnya rakyat negara ini juga menikmati gaji yang lebih tinggi agar mereka dapat hidup dengan lebih sempurna. Sehubungan dengan itu, ahli parlimen Marang itu seterusnya mencadangkan agar sistem ekonomi kapitalis yang turut diamalkan di negara ini digantikan dengan sistem ekonomi Islam yang lebih menjamin kesejahteraan rakyat. - mks. Sumber HarakahDaily

Pesta Bola Merdeka, Malaysia didakwa jemput pasukan lemah sahaja?

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Hrkh) - Mohd Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) mendakwa Malaysia hanya menjemput pasukan-pasukan yang lemah sahaja bagi menyertai Pesta Bola Merdeka yang sedang berlangsung kini. Dakwaan itu dibuat Mohd Firdaus ketika mengutarakan soalan tambahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ismail Sabri Yaakob dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

"Kenapa Malaysia tidak menjemput pasukan seperti Singapura dan Thailand, adakah setakat nak menang," dakwanya semasa memanjangkang soalan yang asalnya diutarakan oleh Dato' Dr Mohd Shahrum Othman (BN Lipis). Beliau juga kecewa dengan prestasi pasukan bolesepak negara yang kini berada pada tahap yang kurang memuaskan, malah mengharapkan sesuatu tindakan dilakukan segera bagi mengembalikan kegemilangannya. Terdahulu Dr Mohd Shahrum bertanyakan kepada KBS, bagaimana untuk mengembalikan kecemerlangan sukan negara kebelakangan ini. Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan yang bingkas bangun menjawab soalan Mohd Firdaus hanya menyatakan ia di bawah bidang kuasa penganjur.
sumber HarakahDaily.