26 Ogos 2009

14.6% mengundi sehingga 9 pagi

Suasana di pusat pengundian di SK Permatang Pasir panas apbila penyokong Pakatan Rakyat dan BN melaung mengejek satu sama lain.

Penyokong Umno melaungkan "Anwar pengkhianat" manakala penyokong PAS membalas dengan laungan "You jantan ke tidak".

Pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli juga kelihatan berada di situ.

Ramai anggota polis ditempatkan di semua pusat pengundian bagi mengawal penyokong kedua-dua parti yang bertanding.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah keluar mengundi sehingga jam 9 pagi tadi ialah 14.6 peratus atau 2,566 orang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz melawat pusat pengundian di SRJK (C) Lay Keow dan berpuashati dengan perjalanan pengundian setakat ini.

Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir bermula dengan 39 saluran di sembilan pusat mengundi dibuka di lapan pusat pengundian mulai jam 8 pagi ini.

Calon PAS, Mohd Salleh Man akan mempertahankan kerusi DUN tersebut ekoran kematian penyandangnya dari parti tersebut, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, kerana sakit jantung pada 31 Ogos lalu.

Beliau berdepan dengan calon BN, Rohaizat Othman. Seramai 20,290 pemilih berdaftar layak mengundi hari ini untuk memilih wakil rakyat yang baru mereka.

MalaysiaKini/-

PAS sasar tarik 5 ribu 'pengundi tradisi' Umno

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos:- Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar petang tadi menafikan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mensasarkan menang hanya 1 undi di N11 Permatang Pasir seperti yang didedahkan media pro Umno BN sebelum ini.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengarah Jentera Pilihanraya PAS itu berkata, PAS mensasarkan penambahan lima ribu undi baru yang akan diberikan oleh 'pengundi tradisi' Umno.

Menurut Mahfuz, dari kempen rumah kerumah yang dijalankan, suara perubahan dari pengundi tegar Umno itu telah kedengaran dan mereka mungkin tidak lagi memberi undi kepada calon kontroversi Rohaizat Othman dalam pilihanraya kali ini.

"Maklumat terakhir yang saya terima, tidak mustahil lebih 5000 'pengundi tradisi' mereka dulu (PRU12) tidak lagi beri undi (kepada Umno) untuk pilihanaya kecil kali ini disebabkan masalah dalam Umno sendiri. Ini semua petanda baik (bagi) kita setelah usaha naik (dari) rumah ke rumah (untuk) bertemu pengundi."

"Dari culaan yang saya dapat, kehadiran Rohaizat dengan pelbagai isu kontroversi yang melibatkan peribadinya serta integritinya, dikatakan menjadi sebab-musabab juga pengundi meninggalkan Umno."

"Bila Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) mahu Ustaz Salleh (calon PAS) ketuai Majlis Agama (Islam Pulau Pinang/MAIPP), tidak mustahil ianya juga menjadi punca pengundi Umno sendiri tidak memberi undi pada calon mereka sendiri, " katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.

Beliau turut menafikan laporan akhbar Berita Harian, kononnya PAS hanya sasar 1 undi di N11.

"Itu (laporan Berita Harian) bukan maksud saya. Maksud saya, Salleh boleh dinggapp menang cukup (sekadar) satu undi, bukannya PAS sasar menang (majoriti) satu undi."

"Sekiranya jentera kita (Pakatan Rakyat) kuat (berkempen), kita boleh dapat majoriti lebih dari keputusan lepas,� ujarnya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan undi majoriti PAS akan sendikit menguncup kerana Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berjaya menakut-nakutkan pengundi luar yang juga ahli Umno sendiri supaya tidak mengundi Salleh, yang dikenali bersih dan berpegangan agama yang kuat.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan penyokong kepada Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Saad; yang sebelum ini diuar-uarkan sebagai calon sebenar Umno; akan memberi 'undi protes' kepada PAS.

Pagi tadi, Mahfuz dalam nada jenaka mengatakan semua keputusan undi pilihanraya esok sudah ada dalam 'kocek'nya.

Berita Harian melaporkan PAS tetap meletakkan sasaran menang dengan satu undi, biarpun Permatang Pasir dikenali sebagai kubu kuat parti tersebut.

Penyandang dahulu, Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman (PAS) mengalahkan calon Umno Ahmad Sahar Shuib dengan 5433 undi majoriti.

HarakahDaily.Net/-

Sokongan padu bukan Islam pada calon PR

PERMATANG PAUH, 24 Ogos: Hasil pemantauan yang dilakukan sejak hari penamaan calon hingga ke saat akhir menjelang hari mengundi pada esok pagi, menunjukkan sokongan padu bukan Islam pada calon PR, Ustaz Saleh Man.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar yang mengetuai petugas PAS negerinya di Unit Peti Undi (UPU) Cross Street 2, dekat sini yang merupakan kawasan paling tinggi mempunyai pengundi Tionghua di Dun Permatang Pasir.

Menurut Zulkefly, daripada 2,160 pengundi di UPU, seramai 1800 adalah pengundi berbangsa Cina dan selebihnya sekitar 300 orang terdiri daripada kalangan pengundi Melayu dan India.

Semua pengundi di UPU Cross Street 2 yang tingal di 11 lokaliti atau kampong akan menunaikan tanggungjawab mereka pada esok pagi di Madrasah Masriyah, juga dekat sini.

“Pengundi di kawasan ini memang memberikan sokongan kepada PR berdasarkan keputusan pilihan raya umum dan PRK Permatang Pauh, sebelum daripada ini, memperlihatkan keberanian mereka untuk bersama PR semakin jelas.

“Perkara ini dapat dilihat ketika majlis jamuan makan yang diadakan bersebelahan Tokong Kampung Sayur dan calon, Ustaz Saleh Man turun berjumpa dengan pengundi bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Haji Mohamad Sabu.

“Saya berkeyakinan PR berada di dalam keadaan selesa sehingga ke saat akhir kempen menjelang esok hari,” tegas Zulkefly yang sudah dua kali berkampung di sini termasuk ketika PRK Permatang Pauh tidak lama sebelum ini.

Katanya, penduduk Melayu pula tinggal di Kampung Paya seramai 360 yang dikatakan terdiri daripada pengundi tegar Umno, namun selepas Datuk Seri Anwar dan Ustaz Saleh menemui mereka di dalam lawatan ke kampong mereka, suasana sudah berubah.

Rakyat hendak tolak BN, ujarnya, kerana PR kemukakan calon terbaik apatah lagi hanya ini sahajalah satu-satunya kerusi PAS di Pulau Pinang dan telah dinyatakan jika Ustaz Saleh menang pada kali ini, beliau akan dilantik sebagai YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Zulkefly juga berkata, BN meletakkan sasaran tinggi untuk menang di Permatang Pasir dengan mengemukakan janji untuk jadikan Permatang Pasir sebagai anak emas mereka, jika beroleh kemenangan kali ini.

Katanya, Menteri Besar Negeri Sembilan telah mengetuai petugas Umno negeri itu yang kedudukan markas keduanya, antara PAS dan Umno hanya sekitar 40 meter melalui satu lorong yang sama, meskipun tidak nampak tapi boleh dengar suara ceramah dengan jelas.

Mengulas isu ini, Zulkefly mengingatkan pengundi tempatan agar tidak terpengaruh dengan janji MB itu kerana beliau sendiri gagal untuk menjadikan negerinya sendiri sebagai anak emas.

“Jika hendak jadikan emas pun, jadikanlah negeri sendiri dulu sebagai anak emas, ini isunya di negeri pun belum lagi selesai termasuk berkaitan cukai tanah, tariff air dan sebagainya.

“Orang yang berjanji mesti dari orang yang boleh tunaikan janji-janji mereka,” tegasnya yang memang mempunyai banyak pengalaman tersendiri dengan kaum Tionghua di Negeri Sembilan khususnya.

Kerana itu, jelasnya, UPU Cross Street 2 ini diasak oleh semua pimpinan BN dengan memberikan bantuan kepada petani sayur dan peniaga seperti baja dan duit yang merupakan cara kempen stail lama yang sudah ketinggalan zaman.

SiasahDaily/-

Mahfuz minta petugas media bantu pantau penyelewengan

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos: Pengarah Pilihanraya PAS Permatang Pasir, Dato' Mahfuz Omar meminta petugas media bersama dengan jentera parti memantau sebarang penyelewengan yang mungkin berlaku sepanjang proses pembuangan undi hari ini.

Ianya termasuklah kemungkinan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan BN termasuk pihak Suruhanjaya Pilihanraya(SPR).

Ini kerana ujarnya petugas parti tidak mampu untuk memastikan perkara tersebut kerana mematuhi arahan SPR yang melarang petugas kedua-dua parti berada dalam jarak 50 meter dari kawasan membuang undi.

Pusat pengundian PRK DUN Permatang Pasir mula dibuka jam 8 pagi ini sehingga jam 5 petang nanti. Calon PAS, Ustaz Salleh Man dan calon BN Rohaizat Othman bagaimanapun tidak membuang undi kerana kedua dua mereka bukan pengundi di DUN berkenaan.

Lapan peraturan baru dikeluarkan SPR antaranya ialah mana-mana kenderaan yang membawa pengundi tidak dibenarkan mempamerkan bendera dan lambang parti bertanding.

Selain itu, larangan lain yang turut akan diguna pakai kali ini ialah tiada kempen selepas jam 12 tengah malam tadi hingga keputusan diumumkan hari ini.Parti-parti politik tidak dibenarkan mengadakan barong, tiada ada lagi meja semakan daftar pemilih di kawasan pegundian.

Rumah kediaman dan pondok juga tidak boleh digunakan untuk tujuan berkempen serta aktiviti meraih dan merayu undi tidak dibenarkan selain aktiviti meraikan kemenangan

Mahfuz dalam pada itu menyarankan para pengundi di DUN tersebut agar keluar mengundi lebih awal sebaik-baiknya pada waktu pagi supaya tidak mengganggu rutin mereka untuk menyediakan persiapan berbuka puasa pada sebelah petang.

Beliau turut berharap agar para pengundi di DUN tersebut dapat memilih calon terbaik berdasarkan segala maklumat yang telah disampaikan oleh jentera kempen PAS serta kegagalan jentera Barisan Nasional menjelaskan segala isu yang timbul mengenai calon taruhan mereka, Rohaizat Othman.

"Saya harap pengundi tidak memberi undi kepada orang lain selain calon kita, Ustaz Salleh Man," katanya.

Beliau juga meminta para petugas parti giat melaksanakan tugas mereka membawa pengundi keluar ke pusat pengundian untuk mengelakkan segala kesulitan.

Memandangkan cuaca ketika ini tidak menentu, beliau berpesan agar petugas menyediakan payung yang secukupnya untuk menghadapai kemungkinan hujan turun.

Keputusan dijangka akan diumumkan tepat jam 8 malam hari ini jika tiada sebarang masalah.

Suasana sekitar Permatang Pasir pada sebelah pagi ini kelihatan mula sibuk di mana pengundi mula menuju ke pusat-pusat pengundian setelah dibuka jam 8 pagi tadi.

Kehadiran pihak polis juga agak ramai untuk mengawal keadaan daripada sebarang keadaan yang tidak diingini.

HarakahDaily.Net/-

'Juara' Permatang Pasir: Gelanggang dibuka, PAS, BN yakin

RAYU UNDI... Penyokong-penyokong PAS dan BN berhimpun berhampiran Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Kubang Semang sambil merayu undi pada hari pengundian hari ini di sebalik larangan SPR daripada berbuat demikian. Suasana kira-kira pukul 8.30 pagi tadi. Pengundian pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bermula 8 pagi dan ditutup 5 petang.

SEBERANG PRAI: Gelanggang pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dibuka 8 pagi ini - bagi menentukan sama ada PAS berupaya mempertahankan kedudukannya ataupun Barisan Nasional (BN) pula boleh merampas semula kerusi yang terlepas tangan pada tahun 1999.

Kedua-dua musuh tradisi ini mengharapkan kemenangan walaupun dengan majoriti satu undi.

BN menurun sebagai 'underdog' dalam pilihan raya ini - yang keempat bagi penduduk Permatang Pauh sepanjang 18 bulan lalu dan pilihan raya kecil yang kelapan sejak setahun lalu.

Keyakinan itu dilahirkan oleh Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, masing-masing Naib Presiden PAS dan Umno pada hari terakhir kempen semalam.

Kempen pilihan kecil ini yang bermula 17 Ogos lalu - yang didominasi isu menyentuh calon BN berbanding campuran isu di Manek Urai, Kelantan bulan lalu - berakhir tengah malam tadi dengan sedikit kekecohan di sana sini berkaitan soal bahan-bahan kempen yang dirosakkan.

PAS dan BN menamatkan kempen minit-minit terakhir dengan kempen agak 'panas' yang kecam-mengecam satu sama lain. Permatang Pasir juga kelihatan sesak tengah malam tadi.

Sejurus selepas berakhirnya tempoh kempen rasmi, jentera PAS dan BN mengadakan mesyuarat penyelarasan masing-masing. Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan taklimat mengenai prestasi jentera sehingga 1 pagi tadi di Pusat Gerakan Induk, Jalan Kubang Semang.

Jentera PAS pula bertemu di Markas Induk, Jalan Permatang Pasir.

CALON BN, PAS TIDAK UNDI

Proses pengundian bermula 8 pagi dan akan berakhir 5 petang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sambil menambah, jika tiada apa-apa masalah keputusan akan diumumkan 8 malam.

"Saya yakin peratusan keluar mengundi lebih kurang 80 peratus," katanya.

BN menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, anak tempatan. Beliau memperoleh ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau berhadapan dengan saingan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man yang berkelulusan Pengajian Islam dari Universiti Malaya.

Pun begitu kedua-dua mereka bukan merupakan pengundi di kawasan Permatang Pasir.

Yang akan mengundi ialah Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Anwar juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang merangkumi DUN Permatang Pasir, Penati dan Seberang Jaya.

KOMEN CALON BN, PAS

Mengulas mengenai peluangnya, Rohaizat berkata, perkembangan yang positif yang disaksikan beliau memberi keyakinan kepadanya untuk meraih sokongan pengundi, sekali gus merampas semula kerusi itu, yang dianggap kubu kuat Pas sejak tiga penggal lalu.

Jelas beliau, BN telah menjelaskan hasratnya membantu rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur yang dikehendaki selain keperluan lain yang diperlukan di sesuatu kawasan.

Sehubungan itu, katanya, pengundi Permatang Pasir perlu memberi peluang kepada BN untuk membuktikan janjinya kepada mereka, yang menjanjikan kemajuan yang lebih gemilang.

"Saya minta semua pengundi keluar awal untuk mengundi. Jangan berlengah takut nanti tak sempat untuk mengundi disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Jangan lupa bawa kad pengenalan dan naik kenderaan yang tepat. Jangan tumpang kereta yang sembarangan, takut nanti tak sampai tempat mengundi," katanya.

Salleh ketika dihubungi mStar Online selepas berakhirnya kempen tengah malam tadi memberitahu, beliau cukup bersemangat untuk menghadapi hari pengundian.

"Begitu pekerja jentera PAS dari kawasan lain dan dari parti komponen Pakatan Rakyat yang lain," katanya.

Begitu juga penyokong dan ahli-ahli parti, kata Pesuruhjaya PAS negeri Pulau Pinang.

"Saya yakin PAS akan kekalkan kerusi ini... tiada masalah untuk kekalkan kerusi," kata beliau yang enggan mengulas mengenai peratusan sokongan kepada BN.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman dari PAS pada 31 Julai lalu.

Pilihan raya kecil sejak awal tahun ini diadakan selepas lebih sebulan kekosongan wujud. Ini termasuklah pilihan raya kecil DUN Penanti dan Manek Urai.

Bagaimanapun pilihan raya kecil ini diadakan dengan segera, kurang tiga minggu selepas kematian penyandang.

Pada tahun 1995 BN mengekalkan kerusi Permatang Pasir dengan majoriti 6,198 di mana ketika itu ia turut disaingi calon PAS dan DAP. Empat tahun kemudian ia dimenangi PAS dengan memperoleh majoriti 3,194 undi.

PAS mengekalkannya pada 2004 tetapi majoriti mengecil kepada 679 undi. Pada Mac 2008, PAS mempertahankan kemenangan dengan majoriti 5,433 undi.

Sejak 1986, majoriti di DUN Permatang adalah antara 600 dan 6,000 undi.

PAS dan BN mengharapkan undi penentu golongan muda dan masyarakat Cina. Dari segi pecahan usia, 40 peratus pengundi adalah mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun, 25.5 peratus (41 hingga 50 tahun), 17.6 peratus (51 hingga 60 tahun), 10.38 peratus (61 hingga 70 tahun) dan 15.9 peratus mereka melebihi 71 tahun.

Dari segi pecahan pengundi mengikut kaum, DUN Permatang Pasir mempunyai 72.36 peratus pengundi Melayu, Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%).

SPR: 8 PERATURAN BARU

Pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pasir berlangsung hari ini dengan lapan peraturan baru - antara lain mana-mana kenderaan yang membawa pengundi tidak dibenarkan mempamerkan bendera dan lambang parti bertanding.

Ia merupakan sebahagian usaha suruhanjaya itu untuk mengawal perbuatan berkempen sebaik sahaja tempoh berkempen rasmi berakhir 12 tengah malam tadi.

"SPR akan menguatkuasakan beberapa perkara kali ini ... tidak dibenarkan memasang logo, lambang dan bendera pada kenderaan... sama ada yang kecil ataupun besar," Aziz memberitahu pemberita di sini.

Selain itu, larangan lain yang turut akan diguna pakai kali ini ialah:

- Tiada kempen selepas 12 tengah malam tadi (Isnin) hingga keputusan diumumkan hari ini (Selasa);

- Tidak dibenarkan mengadakan barong oleh parti-parti politik;

- Tidak ada lagi meja semakan daftar pemilih;

- Tidak membenarkan rumah kediaman dan pondok dijadikan untuk tujuan kempen esok;

- Aktiviti meraih dan merayu undi tidak dibenarkan di kawasan tempat mengundi;- Tidak dibenarkan aktiviti meraikan kemenangan; dan

- Keputusan akan diumumkan tepat pukul 8 malam hari ini (Selasa) jika tiada apa-apa masalah.

Aziz juga berkata, SPR menyediakan lapan kerusi roda kepada pengundi-pengundi uzur dan cacat.

"Kita sedia maklum, kita masih hadapi wabak influenza A(H1N1). Jadi Pejabat Kesihatan akan menyediakan meja bantuan di beberapa tempat dan pengundi-pengundi dinasihatkan memakai topeng perlindungan pernafasan ketika keluar mengundi.

"Petugas-petugas SPR memang dibekalkan topeng ini. Air 'sanitizer' juga akan disembur setiap dua jam di tempat-tempat mengundi," katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi, Aziz menjangkakan kira-kira 80 peratus.

"Puasa, musim hujan dan wabak A(H1N1) dan kemudian cuti sekolah. Walau bagaimanapun kedua-dua parti ini bersemangat menjalankan kempen masing-masing, di sini kami menjangkakan 80 peratus.

"Mungkin lebih sikit, mungkin kurang sikit," katanya.

*******************************************************
PILIHAN RAYA KECIL: SEPINTAS

- Jumlah pemilih berdaftar: 20,290 orang

- Jumlah pengundi pos: 1 orang

- Pecahan pengundi ikut kaum: Melayu (72.36%), Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%)

- Pecahan pengundi ikut umur: 40% pemilih berusia 21-40 tahun, 25.5% (41-50 tahun), 17.6% (51 hingga 60 tahun), 10.38% (61 hingga 70 tahun) dan 15.9% melebihi 71 tahun.

- Pusat penjumlahan undi: Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam

- Pusat mengundi: Lapan (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lay Keow, Permatang Pauh, Sek. Men. Kebangsaan Samagagah, Sek. Keb. Permatang Pauh, Sek. Keb. Permatang Pasir, Sek. Kebangsaan Bukit Indera Muda, Sek. Jenis Keb. Cina Kubang Semang, Sek. Keb. Seri Penanti dan Sek. Rendah Islam Al-Masriyah

- Saluran mengundi: 39

- Pegawai Pengurus: Roslan Yahaya, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah

- Masa keputusan: Dijangkakan pukul 8 malam

- Majoriti Mac 2008: 5,433 undi (Penyandang: Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman)

mStarOnline/-

Hari penentuan di Permatang Pasir

Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir bermula dengan 39 saluran di sembilan pusat mengundi dibuka di lapan pusat pengundian mulai jam 8 pagi ini.

Calon PAS, Mohd Salleh Man akan mempertahankan kerusi DUN tersebut ekoran kematian penyandangnya dari parti tersebut, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, kerana sakit jantung pada 31 Ogos lalu.

Beliau berdepan dengan calon BN, Rohaizat Othman. Seramai 20,290 pemilih berdaftar layak mengundi hari ini untuk memilih wakil rakyat yang baru mereka.

Mereka terdiri daripada 72.36 peratus adalah pengundi Melayu, 25.85 peratus Cina, 1.63 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain keturunan.

Mohd Salleh, 52, merupakan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang manakala Rohaizat, 38, adalah setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh.

Bagaimanapun, kedua-dua calon itu tidak mengundi di kawasan Permatang Pasir.

Lapan pusat mengundi itu dibuka di SJKC Lay Keow Permatang Pauh, SMK Sama
Gagah, SK Permatang Pauh, SK Permatang Pasir, SK Bukit Indra Muda, SJKC Kubang
Semang, SK Seri Penanti dan Sek Rendah Islam Al-Masriyah.

Manakala Jabatan Kajicuaca meramalkan hujan di satu dua tempat pada sebelah pagi dan hujan di beberapa tempat petang ini.

Anwar terawal mengundi

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail adalah antara yang terawal keluar mengundi pagi ini.

Anwar, Wan Azizah dan Mohd Salleh tiba di pusat mengundi SK Seri Penanti pada kira-kira jam 8.20 pagi untuk mengundi.

Bercakap kepada pemberita, Anwar berkata beliau yakin Mohd Salleh akan menang dengan majoriti selesa.

Beliau juga puashati dengan jentera pilihanraya Pakatan Rakyat yang menurutnya telah bekerja kuat untuk memastikan akan kemenangan Mohd Salleh.

Anwar juga berkata, petugas Pakatan juga diminta supaya mengesan sekiranya ada pengundi hantu.

Menurutnya, petugas parti itu akan memantau kenderaan dan bas bagi mengesan pengundi hantu.

MalaysiaKini/-

25 Ogos 2009

10 Sifat Peribadi Yang Mesti Dipupuk

Oleh : hazlan hj. mohammad

Sifat peribadi yang luhur merupakan aset penting dan berharga dalam kehidupan seseorang. Ia menjamin kehidupan yang indah dan bahagia tidak kira lelaki mahupun wanita. Tidak semua di kalangan kita memiliki sifat mulia yang luhur ini sejak azali.
Sebab itu ia harus dipupuk supaya sebati di dalam diri kita dalam menjalani kehidupan seharian. Hayati 10 sifat peribadi luhur di bawah, tanamkan ke dalam hati sanubari, lalui kehidupan yang lebih bahagia…

1. Tulus
2. Rendah diri
3. Setia
4. Berfikiran positif
5. Perwatakan ceria
6. Bertanggungjawab
7. Percaya kepada diri sendiri
8. Pemaaf
9. Mudah berkira
10. Empati

Tulus

Tulus atau ‘transparent‘ merupakan sifat yang paling disukai oleh semua orang. Ketulusan akan membuatkan orang lain berasa aman dan dihargai dengan kehadiran kita.
Orang yang tulus tidak akan memperbodoh atau berbohong apabila berkata-kata. Sebaliknya sentiasa menyatakan kebenaran, tidak suka mengada-ngada, berpura-pura, mencari-cari alasan atau memutar belitkan fakta.
Prinsip tulus ialah “berkata benar walaupun pahit”. Namun begitu, adalah lebih sempurna jika sifat tulus ini digabungkan dengan kebijaksanaan. Supaya ketulusan tidak menjadi penyebab yang boleh merugikan diri sendiri.

Rendah diri

Bukan rendah diri di atas kelemahan, tetapi merendah diri kerana kehebatan dan kekuatan. Inilah yang sukar manusia lakukan. Hanya orang-orang yang berjiwa kental mampu bersikap rendah diri. Ibarat padi yang semakin berisi semakin menunduk.
Orang yang bersikap rendah diri mampu mengakui dan menghargai keunggulan orang lain. Sikap sebegini mampu memberi impak terhadap dua situasi.
Pertama, membuatkan orang yang lebih tinggi pangkatnya daripada kita untuk berasa segan dengan kita.
Kedua, membuatkan orang yang lebih rendah pangkatnya daripada kita untuk tidak merasa kekok apabila berinteraksi dengan kita. Hebat bukan?

Setia

Kesetiaan merupakan satu sifat yang tinggi nilainya. Orang yang setia sentiasa dipercayai dan boleh diharap, selalu menepati janji, mempunyai komitmen yang tinggi, rela berkorban dan tidak berkhianat.

Berfikiran positif

Orang yang bersikap positif sentiasa berusaha melihat segala sesuatu dengan pandangan positif, meskipun dalam situasi yang buruk.
Orang sebegini lebih suka membicarakan kebaikan daripada keburukan orang lain, lebih suka membicarakan tentang harapan daripada kekecewaan, lebih suka mencari penyelesaian daripada berputus asa, lebih suka memuji daripada mengecam, dan sebagainya.

Berperwatakan ceria

Bukan semua orang dianugerahi wajah yang ceria. Oleh itu keceriaan tidak harus dinilai dari ekspresi wajah dan tubuh tetapi sikap dalaman (hati).
Orang yang ceria adalah orang yang dapat menikmati hidup, tidak suka mengeluh dan selalu berusaha meraih kegembiraan. Dia juga mampu mentertawakan situasi, orang lain, juga dirinya sendiri. Dia mempunyai potensi untuk menghibur dan mendorong semangat orang lain.

Bertanggungjawab

Orang yang bertanggungjawab akan melaksanakan kewajipannya dengan bersungguh-sungguh.
Andai melakukan kesalahan, dia berani mengakuinya. Ketika mengalami kegagalan, dia tidak akan mencari kambing hitam untuk disalahkan.
Bahkan kalau dia merasa kecewa dan sakit hati, dia tidak akan menyalahkan siapapun. Dia menyadari bahwa dirinya sendirilah yang bertanggungjawab atas apa pun yang dialami dan dirasakannya.

Percaya kepada diri sendiri

Rasa percaya kepada diri sendiri memungkinkan seseorang itu menerima dirinya sebagaimana yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t, menghargai dirinya dan menghargai orang lain.
Orang yang percaya kepada diri sendiri mudah menyesuaikan diri dengan lingkungan dan situasi yang baru. Dia tahu apa yang harus dilakukannya dan melakukannya dengan baik.

Pemaaf

Kebesaran jiwa dapat dilihat dari kemampuan seseorang memaafkan orang lain. Orang yang berjiwa besar tidak membiarkan dirinya dikuasai oleh rasa benci dan permusuhan.
Ketika menghadapi masa-masa sukar dia tetap tegar, tidak membiarkan dirinya hanyut dalam kesedihan dan kekecewaan.

Mudah berkira

Orang yang mudah berkira menganggap hidup ini ringan. Dia tidak suka membesar-besarkan masalah kecil. Bahkan berusaha mengecilkan masalah-masalah besar.
Dia tidak suka mengungkit masa lalu dan tidak mahu khuatir dengan masa depan. Dia tidak mahu memeningkan kepada dan memberi tekanan kepada diri sendiri dengan masalah-masalah yang berada di luar kawalannya.

Empati

Empati adalah sifat yang sangat mengagumkan. Orang yang mempunyai sifat empati bukan sahaja merupakan seorang pendengar yang baik tetapi juga dapat menempatkan diri di tempat orang lain.
Ketika berlaku konflik dia akan selalu mencari jalan keluar terbaik bagi kedua belah pihak. Dia juga tidak suka memaksa pendapat dan kehendaknya sendiri. Dia selalu berusaha memahami dan mengerti perasaan orang lain.

Kesimpulan

10 sifat peribadi luhur di atas sangat berharga jika dapat diadaptasi dalam hati masing-masing. Bukan mudah, tetapi berbaloi jika dapat sentiasa ditanam, dipupuk dan dirasai oleh semua orang. Cubalah!

Wallahu a’lam.

Kes OPS BUBAR DUN PERAK: POLIS : MENJAGA KESELAMATAN ATAU MENIMBULKAN HURU HARA

Oleh : Nashita Md Noor

Ketika kes tersebut mula dibicarakan pada hari Isnin 17hb Ogos, jurugambar polis yang telah dipanggil untuk memberikan keterangan berdasarkan gambar sebagai bukti telah mendedahkan bahawa operasi polis pada hari itu, 6hb Februari 09 dipanggil sebagai 'OPS BUBAR DUN'.

Menarik bukan?. Maka benarlah tanggapan kita bahawa polis memang telah ada niat jahat untuk menjalankan operasi tangkapan walaupun perhimpunan belum terbukti akan berlaku 'huru-hara'.

Ketika saya dan 44 orang yang lain ditangkap di perhimpunan aman Protes Januari 2008, polis telah menamakan operasi mereka sebagai 'OPS PADAM 3', dan ketika 589 orang ditangkap di Himpunan Mansuh 1 Ogos, ianya juga dinamakan sebagai 'OPS PADAM', tapi saya tidak jelas ops padam yang ke berapa pula.

Selama 3 hari kes dibicarakan 4 orang saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan berdasarkan gambar. Saksi kedua telah gagal untuk hadir. Mereka semuanya terdiri dari jurugambar polis yang berpengalaman sebagai jurugambar lebih dari 10 tahun dan ada yang hingga 22 tahun lamanya.

Setiap orang dari mereka bila ditanya, mendapat arahan dari siapa telah mengaku bahawa mereka menerima arahan dari Cif Inspektor Ghazali dari Unit Cawangan Khas (SB) Bukit Aman untuk bersedia berkhidmat di sekitar kawasan Istana dan Masjid Ubudiyyah. Mereka telah berada di sekitar jalan menuju ke Masjid sejak jam 8 pagi lagi.

OKT khusyuk mendengar penjelasan dari peguam sebaik mahkamah menangguhkan kes pada hari terakhir 19 Ogos 2009 ke 27-30hb Oktober.

Mereka telah mendapat arahan supaya mengambil gambar orang awam yang berkumpul dan yang nampak aggressive, ganas dan menimbulkan huru-hura.

Oleh kerana mereka-saksi-saksi ini terlalu menrut arahan, mereka menghadapi masalah apabila disoal balas oleh peguambela OKT. Mereka dapat menjawab semua soalan yang ditujukan oleh TPR dengan mudah, tenang, faham dan pasti untuk setiap soalan.

Peguambela mencadangkan kepada saksi bahawa mereka sebenarnya lansung tidak faham dan tidak tahu apa yang OKT lakukan di dalam gambar-gambar yang dikemukakan sebagai bukti.

Saksi menjawab bahawa "saya hanya mengambil gambar sahaja."

Peguambela bertanyakan kepada saksi "apakah encik tahu bahawa OKT yang di dalam gambar ini memakai apa?"

Saksi :" berbaju melayu hitam dan berkain pelekat"

Peguambela: "Apakah kamu tahu dan nampak bahawa polis telah melondehkan kain OKT ini?"

Saksi : "tidak tahu, saya hanya mengambil gambar"

Salah seorang OKT ketika ditangkap dan dikepung oleh polis telah tertanggal kain pelikat yang dipakainya kerana dilondehkan oleh polis.

Soalan dan jawapan yang menarik yang ditanyakan kepada saksi oleh Timbalan Pendakwaraya, Othman, akan dikongsikan di bawah. Namun kadangkala cara persoalan yang dikemukakan oleh TPR kepada saksi membuat kami tertanya apakah motifnya.

Setiap seorang saksi ditanya apakah tujuan mereka dihantar ke sana. Mereka mendapat arahan untuk ke kawasan masjid dan istana untuk merakam perhimpunan dan 'standby'.

Saksi pertama yang merakam gambar beberapa orang yang disebutnya sebagai mahasiswa. Gambar mahasiswa memegang banner yang tertulis "MAHASISWA TOLAK KERAJAAN ALTANTUYA"

TPR bertanya kepada saksi "Altantuya ada hadir?"

Saksi dengan betulnya menjawab "Tak ada".

Untuk saksi ketiga pula TPR telah bertanyakan soalan mengenai kehadiran FRU dan posisi mereka, samada mereka berkumpulan dan kedudukan mereka adakah di kedua-dua hujung jalan.

Saksi menjawab; "kedudukan FRU di tengah dan di hujung jalan"

Saksi mengakui bahawa beliau tiba di perkarangan kawasan masjid pada jam 12.30 tghari.

TPR bertanyakan kepadanya "bagaimana keadaan masjid ketika itu"

Saksi menjawab dengan selamba: "HURU-HARA" (tak logik betul...belumpun masuk waktu solat Jumaat)

Saksi yang seterusnya pula mengakui mula bertugas jam 12 tengahari di depan Masjid Ubudiyyah dan mula mengambil gambar jam 2.15 petang. Dia membuat keterangan bahawa suasana jalan keluar masjid menuju ke istana menunjukkan suasana kecoh dan bertolak-tolak.

"Suasana kelam-kabut, FRU menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan orang ramai yang menuju ke Istana."

Peguambela mencadangkan kepada saksi bahwa mereka hanya menerima arahan untuk mengambil gambar suasana orang-ramai yang kecoh dan huru hara tetapi tidak mengambil gambar, tidak merakam gambar suasana kekecohan di pihak polis dan FRU sebab tidak mendapat arahan tersebut.

Peguambela: "Apa-apa tindakan aggressive polis. FRU dan sebagainya tidak diambil, only the aggressiveness of the people. Ada tidak gambar aggressive polis, jawab soalan."

Saksi : "Tidak ada"

Peguambela mencadangkan bahawa sebenarnya gambar-gambar yang ditonjolkan adalah suasana yang tenang apabila ketiadaan polis dan FRU.

"Polis tak ada semua happy, polis datang ada masalah"

Inilah hakikat yang ingin kita bongkarkan di dalam kes 'OPS BUBAR DUN' ini dan kesemua kes operasi polis untuk semua perhimpunan aman yang dilakukan oleh rakyat.

Seperti kes Peacewalk bersama Peguam pada Dec 2007, beberapa orang peguam dan orang awam telah ditangkap polis, didakwa di mahkamah. Apabila kes dibicarakan Hakim telah membebaskan mereka kerana tidak ada bukti yang kukuh bahawa mereka engkar perintah polis untuk bersurai dan mereka juga berhimpun dan berjalan dengan aman. Polis yang telah mengakibatkan suasana menjadi bising dan hura-hura.


Air Mata Dalam Sujud

By: agussyafii

Ketika saya dalam sujud sholat tarawih malam ini, air mata mengalir begitu saja. Saya teringat wajah lucu seorang anak, saya suka memanggilnya ‘Adek’. Beberapa tahun lalu saya mengenal, wajahnya lucu, ayah meninggal karena kecelakaan. Adek suka bertanya pada saya, ‘Kak Agus benarkah ayah pergi ke surga?’ Saya menjawabnya dengan mengangguk. ‘Adek juga ingin ke surga,’ kata Adek berlari meninggalkan saya.

Hidup ini terkadang memang getir. Tidak saja kebahagiaan menghampiri, kedukaan dilewati begitu saja. Memaksakan diri untuk tidak merasakan apapun. Semakin ditekan sebuah perasaan, terasa semakin perih menyesak di dalam dada.

Adek enam bulan kemudian pergi ke surga menyusul ayahnya karena sakit DBD. Nyawanya tak tertolong, saya ikut mensholatkan dan juga ikut mengantarkan. Wajah Adek masih terbayang, hati bagaikan teriris. Air mata tak henti mengalir. ‘Ya Alloh, terimalah Adek sisiMu..’ doa yang saya panjatkan untuknya waktu itu.

Malam ini dalam sujud sholat tarawih entah kenapa wajahmu muncul dengan senyuman yang khas kekanak-kanakannya. Seolah mengabarkan bahwa dirinya telah berada di surga. Saya membacakan surat al-fatehah untuk Adek. Sementara itu air mata itu mengalir begitu saja membasahi pipi.

Wassalam,
Agussyafii

Lebih 6 tahun Syeikh al-Moayyad dizalimi Amerika

Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)

Selasa, 11 Ogos 2009, semenjak awal pagi Lapangan Terbang Antarabangsa Sana’a telah dikerumuni beribu-ribu warga Yaman sambil membawa kain rentang dengan pelbagai slogan bagi menyambut kepulangan seorang tokoh negara yang dirindui.

Seluruh lapisan masyarakat yang terdiri dari kalangan para ulama, pemimpin kerajaan, tokoh masyarakat, warga tua, golongan muda dan kanak-kanak kelihatan tidak sabar lagi menanti saat itu setelah beberapa tahun mereka tidak putus-putus berdoa kepada Allah Ta’ala agar Syeikh Mohammed Ali al-Moayyad dan pembantunya Mohammed Zaid dibebaskan dari penjara di Amerika Syarikat.

Segalanya bermula pada 10 Januari 2003, apabila Syeikh al-Moayyad dan Zaid ditahan dalam satu perancangan kotor yang telah diatur oleh dua orang pengkhianat bangsa dan agama. Mereka menjalankan kerja risikan bagi pihak FBI. Salah seorangnya bernama Mohammed al-Anisi.

Syeikh al-Moayyad dan Zaid telah dibawa ke Jerman dikatakan untuk tujuan perubatan. Semasa sedang menunggu di Lapangan Terbang Frankfurt, mereka telah ditahan. Mereka berada di Jerman selama lebih 10 bulan dan dihadapkan ke mahkamah sebelum diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk dibicarakan pula di negara itu.

Pada 17 November 2009, Syeikh al-Moayyad dan Zaid tiba di Amerika Syarikat. Di sana mereka ditempatkan di salah sebuah penjara yang dikatakan terburuk selepas Guantanamo. Kedua-duanya menerima penyeksaan yang lebih teruk daripada apa yang diterima di penjara Jerman.

Syeikh al-Moayyad adalah tokoh yang sangat dikenali di Yaman kerana sifat murah hatinya sehingga digelar ‘bapa kepada orang-orang miskin’. Beliau memiliki kilang roti yang beroperasi untuk kebajikan orang-orang miskin yang kelaparan dan membantu sekolah-sekolah agama.

Beliau pernah menghadapi kecaman AS kerana menyokong perjuangan Hamas dan dikatakan telah berjanji untuk menyalurkan US 2 juta dolar kepada pergerakan Hamas dan pertubuhan al-Qaeda. Atas tuduhan ini, beliau sangat dikehendaki oleh FBI dan CIA.

Tidak lama setelah penangkapan tersebut, Mohammed al-Anisi yang memberikan maklumat kepada FBI dan bertanggungjawab merancang penangkapan itu telah melakukan tunjuk perasaan di hadapan bangunan White House di Washington sambil mengugut untuk membunuh diri.

Insiden itu berakhir dengan tindakannya membakar diri di hadapan bangunan pentadbiran AS tersebut. Para pemerhati berpendapat tindakan terdesaknya itu dibuat kerana kegagalan pihak FBI membayar upah lumayan daripada kerja risikan yang telah dilakukan sehingga tertangkapnya Syeikh al-Moayyad.

Kisah Mohammed al-Anisi ini sering disebut-sebut sebagai contoh kemunafikan yang nyata di zaman ini. Begitu hinanya hidup menjadi barua Amerika dan mati dalam kesesatan.

Pada pagi Selasa itu, kira-kira jam 8 pagi Syeikh al-Moayyad dan Mohammed Zaid selamat kembali ke tanahair mereka. Sebaik sahaja turun dari pesawat, Syeikh al-Moayyad terus sujud syukur. Di antara tokoh yang awal menemui beliau ialah Syeikh Abdul Majid al-Zindani dan Presiden Ali Abdullah Saleh.

Beribu-ribu manusia mengalirkan airmata kegembiraan apabila diberitahu tentang ketibaan mereka. Ramai yang tidak dapat menyaksikan wajah mereka berdua dan hanya sebahagian yang dapat melihat kelibat serban putih yang melilit kepala beliau dari jauh sebelum beliau menaiki kenderaan untuk beredar ke Hospital Universiti Sains dan Teknologi bagi pemeriksaan kesihatan.

Di situ beliau didatangi cucu-cucunya yang belum dilihat. Seorang demi seorang mereka mencium dahi datuk yang tidak pernah ditemuinya. Di situ juga beliau dikunjungi beberapa orang wartawan.

Syeikh al-Moayyad sempat menceritakan pengalamannya kepada akhbar al-Sahwah. Temuramah tersebut disiarkan pada keluaran 13 Ogos 2009.

Apabila ditanya tentang perasaannya selepas dibebaskan, beliau menjawab, “Manusia ketika berasa sangat lapar, bagaimanakah perasaannya ketika dibawakan makanan? Dia tidak tahu dari mana hendak mula dan apakah yang hendak dimakan. Sedangkan semalam, dia sangat memerlukan makanan..”

Katanya, “Kami telah melalui tempoh 6 tahun 7 bulan, sepertimana yang dihitung oleh sebahagian orang selama lebih 56 ribu jam merengkok dalam penjara, terasing dan jauh dari keluarga, anak-anak dan tanahair.”

Beliau juga menceritakan pengalaman ketika menyambut Aidilfitri, “Pada hari raya, saya tidak tahu bahawa hari itu adalah Aidilfitri, tiada orang untuk saya ucapkan selamat. Lalu saya mengucapkan selamat hari raya kepada diri sendiri, saya bersalam dengan tangan kanan saya menjabat tangan kiri sambil mengucapkan selamat Aidilfitri al-Mubarak.”

Tekanan sangat dirasakan apabila beliau dilarang daripada mendirikan solat. “Pada hari-hari permulaan, saya dibenarkan untuk solat. Kemudian beberapa orang pengawal mula bertanya tentang perbuatan yang saya lakukan. Maka saya beritahu mereka bahawa saya sedang solat, lalu mereka melarang saya.”

Apa pun, semua itu dapat diatasinya kerana solat tetap menjadi keutamaan bagi seorang muslim. Syeikh al-Moayyad merasa bersyukur kerana beliau dibenarkan memiliki mushaf al-Quran semasa berada dalam penjara dan beliau juga banyak menghabiskan masa dengan menulis.

Dalam penjara, Syeikh al-Moayyad menemui beberapa tahanan sepertinya yang juga dituduh terlibat dengan aktiviti keganasan. Di antaranya seorang tahanan dari Filipina dan seorang dari Palestin. Mereka juga tidak mendapat pengadilan yang sewajarnya.

Dalam perbicaraan berat sebelah yang dijalankan, Syeikh al-Moayyad dijatuhkan hukuman penjara selama 75 tahun manakala Mohammed Zaid menerima hukuman 45 tahun.

Dalam kehairanan, mereka dijanjikan pengampunan sekira bersedia untuk membuat pengakuan bersalah. Dengan pengakuan bahawa mereka sememangnya berniat untuk menyokong pergerakan Hamas, mereka boleh dibebaskan dengan beberapa syarat.

Walaupun dijatuhkan hukuman 75 tahun penjara, Syeikh al-Moayyad tidak pernah berputus asa daripada pertolongan Allah. “Harapan saya sangat besar, harapan dan keyakinan saya kepada Allah tidak pernah luntur walaupun untuk seketika,” ujarnya.

Akhirnya dengan rahmat daripada Allah Ta’ala, mereka berdua dibebaskan daripada segala tuduhan kerana tiada bukti kukuh untuk disabitkan dengan dakwaan. Ternyata kesabaran dan doa yang dipanjatkan kepada Allah selama bertahun-tahun itu tidak sia-sia.

Sepanjang 6 tahun 7 bulan itu, Syeikh al-Moayyad tidak dapat bertemu dengan pembantunya Mohammed Zaid. Semasa perbicaraan, mereka hanya mampu berpandangan daripada jauh. Mereka mula bertemu semula di Konsulat Yemen di New York setelah dibebaskan daripada tuduhan.

Syeikh al-Moayyad merakamkan rasa terima kasih kerana kehadiran dan sokongan rakyat kepadanya. Menurutnya semua ini menunjukkan makna persaudaraan. Beliau juga memohon agar kaum muslimin tidak melupakan saudara-saudara muslim yang masih berada dalam tahanan.

Sememangnya menjadi kewajipan kita semua untuk berdoa serta turut merasai penderitaan saudara-saudara kita yang dizalimi di Guantanamo dan di mana-mana sahaja. Pembebasan ini bukanlah bermakna segala-gala sudah selesai.

Jumaat minggu lalu, kami mengunjungi Syeikh Hazza’ al-Misywari iaitu menantu kepada Syeikh al-Moayyad untuk mencari ruang agar kami dapat menziarahi beliau.

Sayangnya, Syeikh Hazza’ mengatakan bahawa keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk menerima terlalu ramai tetamu yang datang. Kemungkinan beliau akan ke Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan dalam waktu terdekat ini.

Nik Aziz dukacita calon sakit disuruh letak jawatan

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dukacita dengan sikap sesetengah pemimpin parti 'lawan' yang mendesak ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas dari PAS, Chek Hashim Sulaiman, supaya meletakkan jawatan atas sebab-sebab kesihatan.

Beliau berkata, sepatutnya semua pihak mendoakan supaya kesihatan orang yang sedang sakit itu, terutama wakil rakyat, kembali berkhidmat kepada rakyat.

"Ini tidak, menambahkan lagi beban mereka yang menderita dengan penyakit yang dihidapinya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan tazkirah Ramadan di masjid Kota Darulnaim, di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Adun Kok Lanas, Datuk Alwi Che Mat, yang menyarankan supaya Chek Hashim yang kini menjalani rawatan di luar negeri, meletakkan jawatan.

Menurut Mursyidul Am Pas itu, sebagai umat Islam, kenyataan-kenyataan seperti itu adalah tidak baik dan sewajarnya mereka mendoakan agar kesihatan mereka yang ditimpa musibah itu kembali pulih dan menjalankan tugas seperti biasa.

"Jika nak dikira uzur, saya sendiri pernah sakit dan alhamdulillah masih boleh meneruskan tugas.

"Macam saya dulu, menang satu kerusi minta saya letak jawatan...Berilah perkataan-perkataan yang boleh menyegarkan dia, saya sendiri pernah sakit, malah ada orang kata dah mati," kata beliau.

Ditanya mengenai kemajuan rundingan dengan Kerajaan Pusat untuk mendapatkan royalti minyak, Nik Aziz enggan mengulas kerana sudah menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa. BERNAMA

mStarOnline/-

Isu Syurga: Nik Aziz saman tiga media pro Umno

BUKIT MERTAJAM, 23 Ogos: Laporan serangan yang dikiraa fitnah tiga media pro Umno ke atas peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya berhenti, apabila Mursyidul Am PAS itu mengambil tindakan undang-undang ke atas ketiga-tiganya.

Penasihat Undang-Undang PAS Mohamed Hanipa Maidin pagi tadi menjelaskan Nik Aziz mahu ketiga-tiga media terbabit menarik semula kenyataan 'isu Surga dan Islam Palestin' serta memohon maaf secara terbuka dalam masa tujuh hari kepada anak guamannya itu; sekiranya tidak mahu saman itu diteruskan.

Masa yang diberikan adalah prosedur biasa dalam perundangan dan Hanipa menjelaskan bahawa tuntutan guamannya itu tidak terikat pada masa pilihanraya kecil Permatang Pasir; iaitu sehingga 25 Ogos depan.

Sambil menyifatkan laporan-laporan terbabit berniat jahat (mala fide), Hanipa menjelaskan bahawa ianya berbeza dengan pendedahan yang dilakukan PAS ke atas calon Umno Rohaizat Othman.

"Berbeza dengan pendedahan yang dibuat (ke atas) Rohaizat. Apabila kita mempertikaikan kredibiliti Rohaizat (calon Umno), kita (PAS) mempunyai bukti-bukti dan kita tidak bercakap tanpa bukti-bukti. Bukan kita bercakap dengan ambil kenyataan yang kita reka (manipulasi)."

"Mereka menyerang (peribadi) tanpa mengenal pasti apakah kenyataan sebenar Tuan Guru (Nik Aziz). Itu adalah (laporan) mala fide (berniat jahat) tiga media terbabit."

Tambahnya lagi, Nik Aziz sudah memohon injunksi supaya kenyataan-kenyataan yang memfitnah dirinya tidak lagi disiarkan media-media terbabit.

"Jadi, kita harap dengan pendedahan terbaru Tv3 tentang apakah rakaman sebenar yang dibuat Tok Guru (Nik Aziz), supaya menghentikan segala serangan peribadi ke atas Mursyidul Am PAS."

Hanipa turut menafikan bahawa anak guamannya berkata - ahli-ahli Umno tidak akan pergi syurga ataupun mengatakan Umno melaksanakan 'Islam Palestin'.

"Beliau (Nik Aziz) tahu apa yang beliau cakap. Beliau tidak akan menggunakan perkataan ahli-ahli Umno bila bercakap isu ini," katanya.

Ditanya adakah tindakan saman tersebut strategi PAS untuk menakut-nakutkan media atau lubuk mengumpul kekayaan, Hanipa mengatakan Nik Aziz bukanlah 'mata duitan'.

"Saya berasa dia (Nik Aziz) bukan begitu. Kita (saman) bukan untuk tujuan mencipta kekayaan semata-mata, tapi cukup (sekadar) membersihkan (fitnah) dirinya (Nik Aziz)."

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkifli Ahmad waktu mencelah, menjelaskan bahawa pihak media tidak perlu gusar kerana tindakan itu khusus untuk laporan yang tidak bertanggungjawab sahaja.

"Ini (saman) bukan untuk mengancam hak kewartawanan untuk melaporkan berita secara bebas dan adil. Yang mahu kita tangani sekarang adalah suatu 'kewartawanan jahat'."

"Ini pun kita (PAS) beri peluang untuk mereka (Utusan Malaysia, Berita Harian dan Tv3) memohon maaf. Jangan salah faham (kononnya) Pakatan (Rakyat) sudah anti media dan sebagainya," jelas Dr Dzul.

Bercakap dalam sidang media sebelumnya, Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar menyifatkan amalan fitnah dan pembohongan media-media terbabit sama seperti 'penagih yang kehabisan bekalan dadah untuk terus hidup'

"Ini sudah menjadi makanan harian. Ini adalah dadah yang menjadi ketagihan Umno. Kalau tidak mengfitnah, manipulasi dan berbohong; tidak boleh buat (hidup) seperti penagih yang kehabisan bekalan dadah."

"Apa yang berlaku ini membuktikan fitnah dan pembohongan adalah amalan Umno Barisan Nasional."

Semalam, Buletin TV3 mendedahkan rakaman sebenar kenyataan Nik Aziz.

"Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik (bukan Palastin). Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO.�

Sejak seminggu lalu, beberapa media arus perdana melaporkan Nik Aziz - "anggota Umno tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin".

Bagaimapun, Nik Aziz sudah menafikan laporan-laporan itu 2 hari kemudiannya.

Tinjauan rambang yang dibuat mengatakan bahawa dua fitnah yang dikenakan ke atas peribadi Nik Aziz itu adalah suatu teknik pembinaan ikon kebencian (icon of hatred), setelah beberapa pihak terbabit gagal membunuh karektor calo PAS Ustaz Mohd Salleh Man yang dikenali bersih, bercakap benar, amanah, toleransi dan berpegangan agama.

Ada juga mengatakan apa yang berlaku itu, sekadar usaha menyamakan Salleh dan calon kontroversi Umno Rohaizat Othman.

HarakahDaily.Net/-



Umat perlu didedah sistem takwim tetapkan anak bulan

Oleh Hasliza Hassan

SYAHRIL HIRMAN menyelia kegiatan melihat anak bulan di Balai Cerap Universiti Darul Iman Malaysia.

Pemahaman kaedah saintifik kelendar hijriah elak kekeliruan

HARI ini bersamaan 29 Syaaban 1430 Hijrah, pihak berkuasa di kebanyakan negara Islam sibuk membuat persiapan bagi menentukan tarikh 1 Ramadan, bermula waktu melaksanakan ibadat puasa yang menjadi Rukun Islam ketiga.

Balai Cerap Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) ialah satu daripada empat tempat di Terengganu yang menjadi tumpuan melihat anak bulan (hilal) bagi menentukan 1 Ramadan.

Tiga tempat lain ialah Bukit Kemuning di Kemaman, Bukit Besar di Kuala Terengganu dan Pulau Perhentian untuk daerah Besut. Rukyah hilal Ramadan dibuat pada petang ini di 28 lokasi ditetapkan bagi melihat anak bulan Ramadan dan Syawal di seluruh negara.

Pegawai Sains Unit Falak UDM, Syahril Hirman Azmee, berkata ahli jawatankuasa melihat anak bulan Ramadan bagi Balai Cerap Kusza berkumpul jam 5.30 petang ini untuk memulakan tugas yang dijangka selesai menjelang Maghrib.

Katanya, berdasarkan data ijtimak awal untuk Ramadan, pemisahan bulan lama dan baru bermula jam 6..02 minit petang 29 Syaaban dengan bulan dijangka terbenam jam 7.15 petang dan matahari pada 7.19 petang.


"Dapat dijangkakan hilal (anak bulan) tidak kelihatan dan Syaaban digenapkan kepada 30 hari dan awal Ramadan bermula lusa (esok). Umur bulan pula boleh dikira daripada masa pemisah hingga matahari terbenam," katanya, semalam.

Beliau yang sudah terbabit dalam jawatankuasa melihat anak bulan sejak 2004 berkata, pemisahan bulan lama dan baru ketika matahari terbenam petang ini membolehkan umur hilal diketahui iaitu 1.22 jam.

Syahril Hirman berkata, dalam konteks menentukan tarikh 1 Ramadan, Malaysia menggunakan ketetapan rukyah dan hisab iaitu kaedah yang berkait rapat melalui proses melihat bulan dan perkiraan yang dijadikan fatwa.

Katanya, rukyah dan hisab bukan dua kaedah berbeza seperti difahami masyarakat sebaliknya ia adalah proses diguna pakai menentukan tarikh awal puasa dengan memenuhi syarat tertentu seperti faktor anak bulan kelihatan sebelum justifikasi dibuat.

"Ada beranggapan tidak perlu melihat hilal kerana takwim sudah menetapkan bila awal Ramadan seperti tahun ini jatuh pada 22 Ogos iaitu Sabtu. Hakikatnya, rukyah tetap dilaksanakan untuk melihat sendiri atau bagi memenuhi syarat sebelum pengumuman rasmi dibuat," katanya.

Menurut rencana Rukyah Menurut Astronomi Takwim di laman web Unit Falak UDM, www.falak.udm. edu.my, tidak dinafikan ada berpendapat cara penentuan awal puasa dan hari raya di Malaysia sudah ketinggalan zaman.

Mengikut sejarah, amalan penentuan awal bulan di Malaysia, khususnya Ramadan dan Syawal sering berubah dari segi kaedah tetapi sejak 1982, dasar rukyah dan hisab digunakan. Sebenarnya amalan merukyah turut mengalami perubahan, sesuai perkembangan teknologi dalam bidang astronomi.

Kini, semua tempat melihat anak bulan di Malaysia dilengkapi peralatan teodolit dan ahli rukyah dibekalkan data yang mengandungi jadual pergerakan bulan serta matahari pada hari rukyah.

Kemudahan itu dianggap memadai untuk merukyah anak bulan. Kedudukan anak bulan ditentukan setiap minit dan ahli rukyah bukan saja dipertanggungjawabk an melihat anak bulan tetapi juga meneliti bentuk bulan jika kelihatan.

Amalan rukyah di Malaysia juga tidak semata-mata melihat anak bulan secara fizikal atau dengan bantuan teropong, tetapi juga meliputi kepada melihat jisim anak bulan. Ahli astronomi dapat menghisab kedudukan anak bulan dan waktu berlaku ijtimak dengan tepat, tetapi belum dapat menentukan bilakah anak bulan boleh kelihatan.

Anak bulan tidak boleh terus kelihatan selepas berlaku ijtimak, tetapi memerlukan masa untuk membolehkan cahaya anak bulan itu dikesan mata manusia. Ini cabaran terbesar ahli astronomi Islam iaitu untuk mengemukakan tempoh di antara waktu ijtimak kepada waktu ia kelihatan buat kali pertama.

Ia tidak perlu mengambil kira faktor cuaca tempatan, tetapi sekadar membuat hubungan relatif kemampuan cahaya bulan mempamerkan cahayanya dalam keadaan biasa. Jika masalah itu dapat diselesaikan dan satu keputusan dibuat di kalangan ahli astronomi, ahli takwim boleh menggunakan tempoh itu sebagai asas takwim..

Masa depan penggunaan takwim berdasarkan anak bulan bergantung sepenuhnya kepada persefahaman negara Islam dan penerimaan mereka mengenai kaedah saintifik takwim hijriah.

Polemik dan kekeliruan masyarakat terhadap penetapan sesuatu tarikh boleh diatasi dengan mendidik mereka mengenai sistem takwim Islam, amalan merukyah dan ilmu falak itu sendiri.

Muhyiddin jadikan harta kerajaan harta partinya

Oleh : faiz

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, baru-baru ini terselamat dari terlibat dengan tragedi apabila helikopter Nuri milik TUDM yang dinaikinya terpaksa membuat pendaratan cemas di Tuaran disebabkan cuaca buruk.

Sambil mengucapkan syukur atas terhindarnya Muhyiddin dari tragedi, Saudara Ahmad Nizam Hamid, Penasihat Undang-Undang PKR Negeri Pahang sempat melontar persoalan yang terbit berikutan kejadian tersebut.

Ini kerana Muhyiddin menaiki helikopter Nuri milik TUDM tersebut untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu setelah selesai merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kudat. Pada petang hari yang sama, Muhyiddin dijadual akan merasmikan pula Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Penampang.

Nizam mempersoalkan kenapa Muhyiddin dibenar bagi menggunakan helikopter milik tentera, milik kerajaan untuk kerja-kerja partinya, Umno?

Walaupun beliau berjawatan dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi itu tidak pula pernah memberinya tiket untuk turut mendapat keistimewaan kemudahan kerajaan dalam menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Presiden Umno.

Lainlah kalau Muhyiddin boleh membuktikan yang Umno telah menyewa helikopter tersebut dari TUDM untuk kegunaannya di Sabah.

Nizam menambah, sikap Muhyiddin mungkin gambaran sikap Umno keseluruhannya, yang sudah tidak dapat membezakan di antara harta peribadi dan harta kerajaan, harta kerajaan itu harta parti, Umno itu kerajaan, kerajaan itu Umno.

Sikap yang melambangkan bahawa Umno secara dasarnya tidak pernah berubah, walaupun telah terpukul teruk dalam pilihanraya umum yang lalu.

Jika Umno, seperti yang ditunjukkan Muhyiddin, secara berterusan menggunapakai harta kerajaan bak harta sendiri dan harta parti, tanpa sedikitpun ada rasa bersalah, maka jelaslah Muhyiddin bagi Nizam, sebenarnya adalah pengkhianat, mengkhianati amanah negara yang telah mempertanggungjawab kan kedudukan Timbalan Perdana Menteri ke bahunya. Dengan menyalahgunakan kedudukannya, Muhyiddin telah “mencuri” harta negara untuk digunakan bagi kemudahan diri dan partinya.

SPRM sepatutnya boleh membuka fail siasatan terhadap Muhyiddin berdasarkan laporan akhbar. SPRM sepatutnya boleh menyerbu ke pejabat Muhyiddin dan mengheret setiausaha peribadi atau pembantu khas beliau di hadapan orang-ramai. Tegas Nizam, perbelanjaan minyak dan lain-lain berkaitan juruterbang serta seumpamanya boleh sahaja mencecah RM150,000 jika mengambil contoh skandal yang didakwa melibatkan Presiden MCA, Ong Tee Keat yang gagal menjelaskan bil penggunaan jet persendiriannya.

Simpul Nizam, bagi pemimpin Umno seperti Muhyiddin, istilah pertanggungjawaban dan memegang amanah secara jujur tiada dalam kamus hidup dan politik mereka. Tanggungjawab moral bagi pemimpin seperti ini hanyalah retorik pidato dalam siaran media dan kempen pilihanraya. Mereka, ujar Nizam lagi mencuri, menggadai dan menyalahguna harta negara, kemudiannya melepaskan tanggungannya ke pundak rakyat. Lebih teruk ia dilakukan tanpa sedikit pun rasa bersalah dan menyesal.

Jangan lupakan jagaan kesihatan sepanjang Ramadan

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD

RAMADAN bakal menjengah dalam masa terdekat. Namun berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, Ramadan kali ini disertai dengan ujian getir untuk kita.

Ketika ini kita berdepan dengan ancaman virus berbahaya 1N1. Pandemik ini telah mencetuskan pelbagai reaksi sama ada di peringkat penyedia perkhidmatan kesihatan mahupun masyarakat global.

Kementerian Kesihatan telah pun mengingatkan masyarakat agar mengelak daripada berada di kawasan yang padat dan sesak. Masyarakat juga dididik mengenai kepentingan menjaga kebersihan tangan khasnya dan diri secara amnya.

Dalam keadaan ini, kita harus mengelak daripada sering mengunjungi pasarpasar Ramadan. Ia memang terkenal sebagai tempat tumpuan ramai bagi mendapatkan juadah untuk berbuka puasa.

Pilihlah lokasi yang kurang padat dan jika boleh belilah pada masa kawasan itu kurang dikunjungi orang ramai.

Sebaik-baiknya kita membeli lebih awal atau meminimumkan masa di tempat tersebut. Rancang dahulu juadah apa yang mahu dibeli untuk mengelak daripada membuang terlalu banyak masa di kawasan yang sesak. Elakkan daripada terlalu meninjau dari satu gerai ke satu gerai sebelum membuat pilihan.

Jika kita berbuka puasa di lua atau menghadiri majlis berbuka puasa, jangan lupa membasuh tangan sebersih-bersihnya. Jangan dibiasakan diri untuk terus mememegang makanan dan minuman tanpa membasuh tangan.

Bagi penyedia hidangan pula, bekas membasuh tangan yang disediakan harus menepati spesifikasi tujuan tangan itu dibasuh.

Umpamanya, bekas membasuh tangan yang menggunakan kaedah mencelup seperti mana diamalkan di kampung-kampung merupakan cara yang kurang tepat dalam kaedah membersihkan tangan.

Bahkan, kaedah mencelup tangan dari seorang ke seorang yang lain merupakan kaedah paling mudah untuk berkongsi dan memindahkan organisma berbahaya dari seorang ke seorang yang lain..

Justeru, carilah paip yang airnya mengalir dan jika boleh dapatkan sabun sebagai kaedah membasuh tangan.

Sementara itu, membeli kelengkapan hari raya merupakan aktiviti lazim yang berlaku di sepanjang Ramadan terutamanya menjelang 10 malam terakhir sewaktu lailatulqadar menghampiri kita.

Pada waktu inilah juga manusia berpusu-pusu mengerumuni pusat-pusat membeli belah bagi membeli keperluan. Dalam keadaan ini, jika boleh, hindarilah waktu-waktu puncak seperti waktu malam atau cuti hujung minggu.

Buatlah sedikit persiapan bagi merancang masa yang sesuai. Cuti tahunan boleh digunakan pada waktu ini bagi mengelakkan tumpuan manusia yang terlalu ramai pada waktu puncak.

Kita perlu ingat bahawa cuti tahunan bukanlah hanya perlu disimpan dan digunakan untuk bercuti semata-mata bahkan penggunaan secara bijak yang boleh membantu kita dalam ikhtiar menjaga kesihatan adalah suatu pelaburan jangka panjang yang jauh lebih menguntungkan demi kesihatan diri.

Mengambil kesempatan bulan yang penuh kemuliaan dan doa dimakbulkan ini juga masyarakat sewajarnya meningkat kuantiti dan kualiti doa bagi memohon agar dijauhkan bahaya virus H1N1 ini. Ia penting kerana sekuat mana ikhtiar kita sekalipun, jika virus ini ditakdirkan menghampiri, maka ia tetap akan singgah pada tubuh kita. Pada waktu ini hanya doa dan tawakal sahajalah yang mampu mengubah segala-galanya.

PENULIS ialah Pensyarah Perubatan ORL, Universiti Sains Malaysia, Kelantan.