25 Ogos 2009

Nik Aziz dukacita calon sakit disuruh letak jawatan

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dukacita dengan sikap sesetengah pemimpin parti 'lawan' yang mendesak ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas dari PAS, Chek Hashim Sulaiman, supaya meletakkan jawatan atas sebab-sebab kesihatan.

Beliau berkata, sepatutnya semua pihak mendoakan supaya kesihatan orang yang sedang sakit itu, terutama wakil rakyat, kembali berkhidmat kepada rakyat.

"Ini tidak, menambahkan lagi beban mereka yang menderita dengan penyakit yang dihidapinya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan tazkirah Ramadan di masjid Kota Darulnaim, di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Adun Kok Lanas, Datuk Alwi Che Mat, yang menyarankan supaya Chek Hashim yang kini menjalani rawatan di luar negeri, meletakkan jawatan.

Menurut Mursyidul Am Pas itu, sebagai umat Islam, kenyataan-kenyataan seperti itu adalah tidak baik dan sewajarnya mereka mendoakan agar kesihatan mereka yang ditimpa musibah itu kembali pulih dan menjalankan tugas seperti biasa.

"Jika nak dikira uzur, saya sendiri pernah sakit dan alhamdulillah masih boleh meneruskan tugas.

"Macam saya dulu, menang satu kerusi minta saya letak jawatan...Berilah perkataan-perkataan yang boleh menyegarkan dia, saya sendiri pernah sakit, malah ada orang kata dah mati," kata beliau.

Ditanya mengenai kemajuan rundingan dengan Kerajaan Pusat untuk mendapatkan royalti minyak, Nik Aziz enggan mengulas kerana sudah menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa. BERNAMA

mStarOnline/-

2 ulasan:

Wong Ka Wai berkata...

Tiada sebab ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas dari PAS, Chek Hashim Sulaiman perlu letak jawatan. Dia ini bukan lumpuh atau koma.

Sebaliknya, ADUN-ADUN yang disiasat oleh SPRM seperti di Perak perlu letak jawatan bagi membersihkan namanya.

buka kedai online dengan RM100

john labu berkata...

Adun2 BN@UMNO yang sakit otak semuaanya lagi patut letak jawatan...