19 April 2010

Hari pertama kempen dicemari insiden baling botol oleh penyokong BN.

3 Jamadil Awal 1431H.

Bahang kehangatan kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor semakin terasa apabila berlaku ketegangan antara penyokong Pakatan Rakyat dan BN di sebuah padang berdekatan Pekan Kerling, Kuala Kubu Baru, malam semalam.

Pegawai Penyelaras Pakatan Parlimen Hulu Selangor, Ali Rahman berkata kejadian berlaku apabila Pemuda BN didakwa bertindak membaling botol berisi air ke arah hadirin yang lalu lalang untuk mendengar ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat.

Ali mendakwa sebanyak tiga hingga empat biji botol dibaling oleh mereka ke arah hadirin yang berulang-alik di situ.

Katanya tindakan provokatif itu dilakukan seramai kira-kira 30 hingga 40 orang Pemuda BN yang berada di pondok panas mereka yang terletak bersebelahan dengan padang berkenaan.

Kejadian berlaku sejurus ketibaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sampai ke situ untuk menyampaikan ceramahnya kira-kira jam 11.15 malam.

Tiindakan membaling botol itu mencetuskan kemarahan hampir 30 penyokong Pakatan.

Mereka kemudiannya meluru ke arah Pemuda BN sambil meminta agar penyokong kerajaan itu memberi kerjasama, menjaga adab dan menghormati program tersebut tanpa sebarang gangguan.

Malaysiakini turut mendapati beberapa wakil dari Pemuda BN cuba memujuk penyokong mereka agar bertenang dan mengendurkan keadaan.

Ketegangan yang berlaku selama 10 minit itu, berjaya ditenteramkan oleh kira-kira 30 anggota polis yang berada di situ termasuk lapan anggota Light Strike Force yang datang beberapa minit kemudian.

Sebelum itu, penyokong BN bersorak dan menjerit tanpa henti bagi mengganggu ucapan beberapa pemimpin Pakatan antaranya Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub; ahli parlimen Puchong dari DAP Gobind Singh Deo dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar yang sedang menyampaikan ceramah mereka.

Selepas campur tangan polis, ceramah malam semalam berjalan lancar dan pemimpin Pakatan menggunakan peluang itu bagi menempelak tindakan Pemuda BN.

Malaysiakini/-

18 April 2010

Presiden PAS arah sokongan 100% kepada Zaid


3 jamadil Awal 1431H.
Zulkifli Sulong

HULU SELANGOR, 17 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor adalah pilihan sebulat suara PAS, PKR dan DAP.

Oleh itu, beliau mahu semua pihak dalam PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat itu.

Abdul Hadi berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis meraikan para petugas PAS dari Terengganu yang berkumpul di Felda Sungai Tengi, Ulu Bernam petang tadi.

Lebih 100 petugas PAS dari negeri itu berkumpul di situ dan menerima amanat dari beliau serta lain-lain pimpinan PAS sebelum menjalankan tugas sehingga pilihan raya kecil ini pada 25 April nanti.

"Ada orang buat macam-macam tuduhan kepada Datuk Zaid masa dia Umno dulu. Saya tegaskan, kalau adapun itu masa dia dalam Umno. Sekarang dia sudah bersama kita dan dah meninggalkan Umno," kata beliau penuh semangat diiringi takbir dari para penyokong PAS.

Bagi beliau, Zaid adalah tokoh kebangsaan yang mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin.

"Ketika para pemimpin Umno lain berebut-rebut nak jadi pemimpin, dia meletakkan jawatan sebagai menteri kerana menentang salah guna ISA," kata Abdul Hadi merujuk tindakan Zaid melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana membantah tindakan kerajaan menahan tiga orang termasuk seorang wartawan di bawah ISA.

Berhubung dengan tindakan firma guaman Zaid menyaman kerajaan negeri Kelantan kerana meluluskan undang-undang Hudud, Abdul Hadi menegas itu apa yang Zaid buat sebagai pemimpin Umno dan dia telah menarik balik tindakan itu.

"Itu semasa dia bersama Umno...sekarang dia sudah keluar dari Umno. Baru-baru ini dia dah pergi menunaikan haji....kita yakin dia telah berubah selepas bersama kita," kata beliau.

Abdul Hadi juga memberitahu, selepas Zaid meletakkan jawatannya dan keluar dari Umno, beliau juga ada berbincang dengan para pemimpin PAS untuk menyertai parti Islam itu atau menyertai PKR. Selepas berbincang termasuk dengan pemimpin PKR, mereka bersetuju Zaid perlu menyertai PKR.

Ucapan Abdul Hadi di majlis itu penuh semangat serta menjawab pelbagai persoalan panas yang berbangkit dalam pilihan raya kecil ini walaupun hujan mencurah-curah ketika beliau berucap sehingga banjir kilat di sekitarnya.

Felda Sungai Tengi adalah salah satu kawasan Felda yang menjadi kubu Umno dalam Dun Hulu Bernam di Hulu Selangor. Dalam pilihan raya umum lalu, calon PKR, Datuk Dr Zainal kalah lebih 600 undi di peti undi itu.

Dalam pilihan raya ini, Umno menjadikan empat kawasan Felda sebagai pangkalan gerakan mereka untuk memenangkan calon BN, P Kamalanathan dari MIC.

Namun, ketidakpuasan hati ahli Umno di situ jelas dalam pilihan raya ini. Mereka melalui Umno Hulu Selangor berusaha keras untuk mempastikan seorang calon Umno bertanding dalam pilihan raya kecil ini, namun apa yang mereka dapat adalah kosong berbanding MIC yang mendapat tiga menjelang hari penamaan calon.

Selain dapat menjadi calon, Timbalan Presiden MIC, G Palanivel yang mereka tidak sukai dikatakan akan dilantik menjadi senator dan timbalan menteri.

Salah seorang dari mereka berkata, jika BN menang dalam pilihan raya kecil ini, harapan untuk calon Umno bertanding di kawasan Parlimen yang majoriti orang Melayu ini akan hilang terus.

Sekitar penamaan calon Hulu Selangor (2)

3 Jamadil Awwal 1431H.



































Sekitar penamaan calon Hulu Selangor (1)

3 Jamadil Awwal 1431H.

>





















Drs. Khalil : Rangka strategi hadapi musuh Pakatan Rakyat.

3 Jamadil Awal 1431H.

Drs. Khalil melancarkan Tabung Pembinaan Markaz sempena Muktamar Agung PAS Kawasan Tapah.



TAPAH : Muktamar sebagai medan untuk mencari formula dan merangka strategi bagi menghadapi musuh utama Pakatan Rakyat iaitu UMNO/BN. Elakkan dari masalah dalaman dan tumpukan kepada gerak kerja parti kerana Pakatan Rakyat bukan sahaja berdepan dengan UMNO/BN tetapi juga 'komponen' mereka yang tidak rasmi seperti SPR, media massa, PDRM, SPRM dan lain2 badan2 kerajaan yang sering di gunakan untuk meyusahkan Pakatan Rakyat.Demikian antara ucapan Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim semasa merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tapah Sabtu lepas.

Muktamar itu juga mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya Muktamar kawasan di adakan dalam Kompleks Tarbiah sendiri. Walaupun pembinaannya masih sekitar 90% siap, namun dengan semangat baru semua perwakilan kelihatan gembira kerana bermuktamar di atas tanah sendiri setelah sekian lama menanti kompleks tarbiah sendiri.

Selain semua Jawatankuasa PAS Kawasan dan perwakilan dari dewan dan cawangan, turut hadiri ialah wakil dari Dewan Himpunan Penyokong PAS yang di ketuai oleh Saudara Appalasamy dan beberapa org pemerhati di kalangan kaum India. Ketua Cabang PKR Tapah dan Pengerusi DAP Tapah serta beberapa pimpinan dan pemerhati Pakatan Rakyat juga turut hadir dalam sesi perasmian.

YDP PAS Kawasan menyampaikan cenderamata.

Drs. Khalil Idham Lim menyampaikan ucapan perasmian.

Bergambar dengan AJK PAS Kawasan Tapah.


ADUN titi Serong yang baru sihat dari demam denggi juga sempat berseloroh apabila mengingatkan hadirin agar berhati-hati dan menjaga persekitaran kediaman dan tempat tinggal agar bersih dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beberapa usul telah bawa dan di bahaskan oleh para perwakilan yang hadir dalam suasana cukup harmoni walaupun cuaca agak panas di sebelah petangnya.

Kompleks Tarbiah PAS Tapah masih memerlukan bantuan dari segi kewangan dan material bagi menyempurnakan fasa ke 2 pembinaannya yang sedang rancak di jalankan. Bagi memenuhi hasrat itu Drs. Khalil telah diberikan penghormatan untuk melancarkan kutipan Dana untuk menyelesaikan pembinaan markaz tersebut.

Dalam ucapan yang berasingan YDP PAS Tapah, Saudara Abd.Rahim Nordin mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan meminta agar di masa akan datang mutu perbahasan dapat di pertingkatkan lagi dengan fakta-fakta dan maklumat-maklumat yang menyokong isi perbahasan.

Beliau juga mengingatkan kepada semua perwakilan agar tumpukan kepada gerak kerja dakwah dan pilihanraya dan meminta pihak pemuda agar lebih aktif mendekati golongan muda dengan aktiviti-aktiviti yang lebih bermanfaat seterusnya mendekatkan mereka dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Sumber berita : http://dppktapah.blogspot.com/

Pertandingan 4 penjuru di Hulu Selangor

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor akan menyaksikan pertandingan empat penjuru. Mereka ialah P Kamalanathan (BN), Datuk Zaid Ibrahim (PKR) dan dua calon Bebas VS Chandran dan Johan Mohd Diah.

Demikian sepertiyang diumumkan oleh Pegawai pengurus Pilihanraya selepas tamat masa bantahan sebentar tadi.

Gambar sekitar penamaan calon Hulu Selangor

















Harakahdaily/-

Lebih 10,000 Penyokong PR hadir di Hulu Selangor

Penyokong Pakatan Rakyat dari pelbagai bangsa termasuk orang asli hadir untuk memberikan sokongan, jumlah yang saya jangkakan ialah lebih 10,000 orang.


KUALA KUBU BARU : Seawalnya sebelum subuh penyokong Pakatan Rakyat telah mula memenuhi sekitar tempat penamaan calon yang diadakan disini. Blog Cina Islan dimaklumkan sekitar jam 6.30 beberapa masjid disekitarnya telah dipenuhi oleh rombongan dari berbagai tempat dari seluruh negara.

Semasa sampai di persimpangan masuk ke Pekan Kuala Kubu Baru tempat penamaan calon akan diadakan sekitar jam 7.00 pagi tadi, keadaan kenderaan telah bergerak perlahan . Kebanyakan tempat di pinggir jalan yang strategik telah diletakkan kenderaan .

Kedudukan tempat berhimpun kedua pihak dipisahkan dengan tempat yang agak jauh. Pakatan Rakyat ditempatkan di pekan Kuala Kubu Baru dan BN ditempatkan di hadapan mesjid disini.

Sebagaimana biasa keadaan peniaga yang mengambil peluang untuk mencari rezeki dimusim ini kelihatan meriah dan menyerikan lagi suasana. Dari pakaian sehinggalah kepada pelbagai jenis makanan dan minuman.

Saya sempat untuk berarak bersama calon serta pimpinan Pakatan rakyat yang lain sehingga tidak berapa jauh dari pintu tempat penamaan calon diadakan.

Penamaan Calon Hulu Selangor berjalan lancar.

9-10pagi: Penyerahan borang pencalonan

10-11pagi: Waktu bantahan

11-12 tengahari: SPR buat pengumuman rasmi calon

10pagi: Proses penamaan calon ditutup.

Calon-calon mempunyai masa satu jam untuk memfailkan bantahan.

Mereka yang memfailkan borang pencalonan ialah P Kamalanathan (BN), Datuk Zaid Ibrahim (PKR) dan dua calon Bebas VS Chandran dan Johan Mohd Diah.

9.57pagi: Salah seorang calon bebas yang memfailkan borang pencalonan pagi ini ialah bekas pemimpin MIC Hulu Selangor VS Chandran.

9.50pagi: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menganggarkan penyokong BN dan Pakatan masing-masing 10,000 orang.

9.46pagi: Pemimpin BN dan Pakatan bersalaman dan berbual di kemah.

9.45am: Di dalam pusat penamaan calon, Kamalanathan memfail borang pencalonan. Dua orang lagi turut memfailkan borang pencalonan untuk bertanding sebagai calon bebas.

9.43pagi: Seorang lagi pemimpin MIC S Ganesan turut cedera ketika cuba masuk ke dalam kawasan pagar duri polis. Ganesan luka di tangan dan dibalut oleh kakitangan sebuah ambulans yang ditempatkan di luar pusat penamaan calon.

9.40pagi: Kira-kira 50 anggota unit amal PAS membuat rantai manusia untuk mengelak tolak menolak.

9.31pagi: Kamalanathan masuk pusat penamaan calon bersama pencadang dan penyokong. Sedang memfailkan borang pencalonannya.

930pagi: Ketua zon DSP Ruslan Abdullah memberi amaran kepada para penyokong agar tidak menolak-nolak kerana orang di hadapan akan cedera kerana kawat berduri merentangi jalan ke tempat penamaan calon.

9.28pagi: Dalam keadaan tolak menolak, Presiden MIC Datuk Seri S Samy tercedera di kakinya terkena duri kawat dan dirawat di situ.

Turut kelihatan ialah timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel, yang tidak dicalonkan semula mewakil BN di Hulu Selangor.

9.22am: Perakan BN tiba di pintu pagar pusat penamaan calon di KKB. Ribuan penyokong BN dan Pakatan dipisahkan bagi mengelak mereka menjerit antara satu sama lain.

9.10pagi: Calon BN P Kamalanathan, berarak dari pejabat Umno di KKB ke pusat penamaan calon. Antara yang turut serta ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam.

Yang lainnya termasuk Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan naib presiden, Datuk Ng Yen Yen.

9.02pagi: Calon PKR Datuk Zaid Ibrahim memfailkan borang pencalonan. Beliau bersama pencadang dan penyokongnya. Zaid memakai baju Melayu dan kain pelikat.

Di luar dewan, penyokong BN menyanyikan 'Inilah Barisan Kita' serta lagu Umno.

9pagi: Pemimpin DAP Lim Kit Siang, exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong dan Teresa Kok memasuk 'zon larangan'. Polis kata: "Bagi pass kita, senang buat kerja."

8.55pagi: MB Tan Sri Khalid Ibrahim, calon Pakatan Datuk Zaid Ibrahim dan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam pusat penamaan calon bersama pemimpin Pakatan yang lain.

8.50pagi: Di 'zon larangan', ahli parlimen PJ Utara, Tony Pua mengedarkan pas kepada pemimpin, ahli parlimen dan ADUN Pakatan untuk memasuki pusat penamaan calon.

17 April 2010

Sibu: 16 Mei undi, 8 Mei penamaan calon

1 Jamadil Awal 1431H.


Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Sibu ditetapkan pada Ahad, 16 Mei ini.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 8 Mei.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat hampir tiga jam di pejabat SPR di Shah Alam.

Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian ahli parlimennya yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hui Choi, minggu lalu.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News. Malaysiakini/-

Muhyidin bohong, perbodohkan penyokong BN di Hulu Selangor.

Muhyidin Yasin telah berbohong kepada penduduk Hulu Selangor.Ini kerana, beliau dengan tegas sebelum ini berkata, akan menamakan anak tempatan sebagai calon BN di Hulu Selangor.

Muhyidin membuat janji ini Isnin lalu ketika bercakap kepada penduduk Sungai Buaya, Hulu Selangor dan disiarkan kemudiannya oleh media Umno sendiri.

Tetapi, kelmarin beliau mengumumkan seorang penduduk Rawang dari bahagian Selayang, Selangor iaitu P Kamalanathan sebagai calon BN di Hulu Selangor.

HIMPUNAN AMAN MEMBANTAH FIRMA PERUNDING APCO WORLDWIDE PRO YAHUDI-ISRAEL DAN PEMBABITANNYA DENGAN KERAJAAN MALAYSIA

Adalah dimaklumkan bahawa Pemuda Pakatan Rakyat Perak (Pemuda PR Pk) akan membuat himpunan tersebut pada maklumat seperti berikut :-

Tarikh : 16 April 2010 / 1 Jamadil’ Awal 1431

(JUMAAT) hari ini

Masa : 2.00 petang (selepas solat Jumaat)
Tempat : Masjid Negeri Sultan Idris Shah 11,Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, IPOH. (pintu masuk Masjid Negeri mengadapMedan Selera Dato’ Sagor)

Himpunan akan di ketuai oleh pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat Perak.

16 April 2010

ZAID IBRAHIM KAYA TAPI TIDAK BERBOHONG

1 Jamadil Awal 1431H
Oleh: WFAUZDIN NS

MEMANG benar calon PR Dato' Zaid kehidupannya tentu lebih selesa sedikit daripada Adun PAS Manek Urai yang dahulunya seorang penjaja atau pemborong ikan. Lumrah manusia, ada yang kaya dan ada yang miskin tetapi kekayaan Dato' Zaid seperti yang mereka perkatakan tidak sampai sehingga tersenarai 10 terkaya di Malaysia. Siapa jutawan Melayu yang tersenarai di dalam 10 terkaya itu? Jika hendak tahu tanyalah Najib kerana saudara sedarah sedagingnya ada di senaraikan.

Masalah apanya jika si kaya atau si miskin menjadi calon untuk memperjuangkan rakyat? Apa yang penting mereka tidak menambahkan kekayaannya atau memakan hasil dari sumber yang haram, mencekik darah rakyat atau mementingkan diri sendiri. Saya memuji sikap berani Dato' Zaid yang mencabar Muhyiddin dan juga seluruh menteri kabinet Bn untuk menyenaraikan kekayaan atau harta masing-masing untuk menentukan siapa sebenarnya yang kaya melalui jalan haram. Sebelum ini Muhyiddin memberi alasan bodoh dengan menyatakan pemilihan Dato' Zaid adalah kerana kekayaannya bukan disebabkan ketokohannya.

Kita juga mempertikaikan mengapa sanggup dan tergamaknya Muhyiddin `menipu' rakyat di Hulu Selangor? Beberapa hari sebelum ini Muhyiddin telah menyatakan bahawa calon dari Bn yang pastinya anak tempatan. Tiba-tiba petang tadi beliau mengumumkan P. Kamalanathan sebagai calon Bn. Awal mula pertama mula Muhyiddin telah berbohong. Baca di sini.

Apakah rakyat di Hulu Selangor masih percaya kepada semua janji Muhyiddin beberapa hari kebelakangan dan yang akan datang ini? Jika Muhyiddin menganggap Dato' Zaid seorang yang kaya, ini bererti Muhyiddin seorang `miskin'. Mana lebih mulia, orang kaya yang jujur dan tidak berbohong daripada si miskin yang suka berbohong? SEndiri jawablah. / wfauzdin.blogspot.com

Di mana Palanivel?

30 Rabiulakhir 1431H.


Kegagalan Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel untuk hadir di majlis pengumuman calon BN P Kamalanathan mencetuskan persoalan sama ada beliau kecewa kerana tidak terpilih mewakili BN.

Ketika Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kamalanathan sebagai calon BN Hulu Selangor, tidak kelihatan langsung kelibat Palanivel yang sebelum ini disebut-sebut akan dipilih.

Seorang lagi pemimpin MIC yang turut dispekulasikan V Mugilan bagaimanapun hadir dan bersalaman dengan Kamalanathan.

Ditanya berhubung perkara itu, Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN mengakui bahawa Palanivel mungkin “sedikit kecewa”

“Mungkin beliau ada tugas lain atau sedikit kecewa. Kalau kita sendiri pun, mungkin ada perasaan sebegitu,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan pilihan BN di hadapan kira-kira 1,000 penyokong di Bukit Beruntung.

Muhyiddin juga berkata, beliau mahu Palanivel terus membantu bagi memastikan kemenangan BN di kawasan parlimen tersebut. Malaysiakini/-

Kamalanathan calon BN di Hulu Selangor.

P. Kamalanathan disahkan sebagai calon BN di Hulu Selangor seperti yang diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Muhyiddin Yassin sebentar tadi di Bukit Sentosa di sini.