05 September 2010

Usah terpengaruh Aidilfitri Khamis ini

25 Ramadhan 1431H.

Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan khabar angin mengatakan Aidilfitri akan disambut pada hari Khamis, sebaliknya menunggu sehingga pengumuman dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, lapor Berita Harian Online.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata ia sekadar khabar angin dan tidak semestinya betul.

“Saya mendengar khabar angin itu sejak minggu lalu. Orang ramai tidak perlu keliru sebaliknya menunggu pengumuman pada malam 8 September ini,” katanya ketika dihubungi tetapi enggan memberi komen lanjut sebaliknya meminta merujuk ke laman web Jakim.

Laman web Jakim menyatakan tarikh Aidilfitri pada tahun ini ialah 10 September 2010 iaitu pada hari Jumaat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, menganggap khabar angin itu diada-adakan oleh pihak yang enggan menyambut Aidilfitri pada hari Jumaat kerana perlu melakukan dua solat dan mendengar dua khutbah.

Katanya, pemerintah mempunyai kuasa membuat pengumuman mengenai tarikh sambutan Aidilfitri dan orang ramai tidak perlu keliru dengan khabar angin itu.

“Bagi saya, khabar angin ini disebarkan oleh orang yang keberatan melakukan dua solat iaitu solat sunat Aidilfitri dan solat Jumaat. Jarak waktu kedua-dua solat ini membuatkan mereka berasa seolah-olah tidak ada masa untuk berhari raya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga menyatakan Malaysia tidak perlu mengikut ketetapan Arab Saudi kerana negara mempunyai kaedah tersendiri menentukan tarikh hari raya iaitu rukyah dan hisab yang sudah diakui ulama.

Katanya, tidak mustahil anak bulan akan kelihatan pada petang 29 Ramadan tetapi keadaan cuaca di Malaysia yang selalu berawan menyebabkan ia sukar dilihat.

“Keadaan itu menyebabkan kita kembali kepada kaedah pengiraan ahli falak,” katanya.

Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr Kassim Bahali, berkata khabar angin seumpama itu selalu muncul pada tahun Malaysia berpuasa genap 30 hari.

“Tahun ini kita berpuasa genap 30 hari yang bermakna Aidilfitri akan disambut pada hari Jumaat, 10 September 2010. Selalunya itu yang terjadi. Bila puasa genap 30 hari, akan muncul khabar angin menyatakan puasa cuma 29 hari. Saya tak percaya dengan khabar angin itu dan meminta orang ramai tidak menghiraukannya.

“Saya bertegas dengan pengiraan yang dibuat kita akan menyambut hari raya pada hari Jumaat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kassim yang turut menjadi sasaran pertanyaan orang ramai mengenai perkara itu, berkata beliau akan muncul dalam satu program dengan radio Melaka untuk bercakap mengenai khabar angin berkenaan dan dirakamkan dalam bentuk video yang boleh ditonton menerusi laman web www.khawarizmiobs.com selewat-lewatnya petang semalam atau pagi ini.

04 September 2010

Kes Sivakumar cabar keputusan SPR - 23 Nov

25 Ramadhan 1431H.

Mahkamah Tinggi menetapkan 23 Nov ini untuk mendengar permohonan speaker dewan undangan negeri (DUN) Perak yang disingkirkan, V Sivakumar dan enam lagi untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di negeri itu.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Aziah Ali.

Penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Sivakumar dan enam yang lain dan Peguam Kanan Persekutuan Munahyza Mustafa yang mewakili SPR dan tiga responden lain.

Pada 22 Oktober tahun lalu, tujuh pemohon diberi kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mengenepikan keputusan SPR yang tidak mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang berikutan wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi ADUN bebas.

Mereka adalah Sivakumar, Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan A Sivanesan serta tiga pengundi iaitu Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang).

Dalam permohonan semakan kehakiman itu mereka menamakan SPR dan tiga wakil rakyat; Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) selaku responden.

Mereka mahu mahkamah mengeluarkan surat perintah memaksa SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong berikutan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat itu dan satu perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiga mereka bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas-tugas sebagai ADUN.

Mereka juga turut memohon writ bersifat "quo warranto" dikeluarkan kepada ketiga-tiga ADUN itu dengan memerintahkan kesemua mereka memberikan tunjuk sebab bagaimana kesemua mereka masih ADUN kawasan masing-masing dan bertindak menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai wakil rakyat.

Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi DUN atas tiket Parti Keadilan Rakyat manakala Hee atas tiket DAP pada pilihan raya umum 2008.

Mereka kemudiannya meninggalkan parti masing-masing dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional sehingga mendorong kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Manipulasi isu agama dedah kejahilan Umno

25 Ramadhan 1431H.

BESUT, 3 Sept: Meski pun Barisan Nasional (BN), khususnya Umno begitu beriya-iya menjatuhkan imej dan kredibiliti PAS menerusi manipulasi isu-isu berkaitan agama dan sentimen Melayu kebelakangan ini, kegelojohannya berbuat demikian sebaliknya lebih mendedahkan kejahilan parti itu terhadap ilmu Islam sebenarnya.

Di masa sama, kebijaksanaan dan keikhlasan PAS menerangkan kedudukan sesuatu isu berlandaskan ilmu Islam yang sebenar akhirnya berjaya menambat hati rakyat negara ini menjadikan parti itu sebagai alternatif kepada Umno/BN.

“Rakyat seluruh negara menunggu dengan penuh harapan agar PAS menerajui dan mendidik mereka dengan ilmu Islam, yang sentiasa membawa sinar kebenaran yang tak boleh dipertikaikan,” tegas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Beliau menyatakan demikian di dalam ceramahnya di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah, dekat sini malam tadi.

Turut berucap di majlis ceramah itu ialah Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.

Menurutnya, para pemimpin PAS telah menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan yang amat mengagumkan masyarakat, terutama kalangan bukan Islam, dalam menangani beberapa isu berkaitan Islam dan Melayu kebelakangan ini.

“Kita tidak mudah melatah, bukan macam para pemimpin Umno yang bagaikan hilang akal, dibantu surat-suratkhabar yang dikuasai mereka memainkan isu-isu agama secara ekstrem dan mengapikan isu perkauman yang sempit secara tidak bertanggungjawab,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian merujuk manipulasi yang terlampau oleh para pemimpin Umno dan media kroninya dalam isu-isu terkini berkaitan agama.

Paling baru ialah isu seorang khatib mendoakan kesejahteraan untuk Ketua Menteri Pulau Pinang dan isu dua wakil rakyat bukan Islam memasuki surau dan masjid di Selangor.

Beliau mempersoalkan apa rasionalnya Umno terlalu memainkan isu berkenaan, sedangkan ia bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Beliau membawakan contoh dan bukti bahawa perkara sama telah dilakukan oleh para pemimpin bukan Islam dari komponen BN sendiri.

“Sebaik saja berita ini tersiar, pagi-pagi esoknya seorang bekas wakil rakyat BN di Johor telefon saya. Dia kata, ‘YB, this is too much (ini sudah melampau). Saya dulu pun masuk masjid, buat ucapan dalam masjid di kawasan saya. Umno tak kisah pun,” Salahuddin menceritakan luahan kecewa bekas wakil rakyat BN itu.

Beliau merujuk isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki Surau al-Huda di Kajang, yang dijadikan bahan utama media arus perdana baru-baru ini. Isu itu dimanipulasi sepenuhnya oleh para pemimpin BN dan media kroninya, bukan sahaja di atas dakwaan penghinaan terhadap Islam, malah turut dijadikan bahan menyerang pendirian PAS berhubung isu agama.

Salehuddin turut menyebut pendedahan media siber mengenai tindakan seorang wakil rakyat bukan Islam di Parlimen Pontian yang juga memasuki masjid beberapa hari selepas itu.

“Adun Pulai Sebatang, seorang pemimpin MCA, masuk ke masjid rasmikan program tadarus dan khatam al-Quran. Kenapa Umno tak kecoh?” soalnya.

Beliau turut menarik perhatian hadirin kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mac lalu yang menetapkan bahawa orang bukan Islam dibolehkan memasuki masjid dan surau, termasuk ruang solat.

“Sebab itu rakyat yang rasional jadi keliru (dengan reaksi terlampau para pemimpin Umno). Rakyat tertanya-tanya kenapa Umno seolah-olah orang hilang akal dalam isu ini, kenapa tak rujuk Majlis Fatwa?” soalnya lagi.

Baginya, tabiat buruk Umno itu menyebabkan parti itu semakin ditolak rakyat. PAS pula beliau yakin sedang bergerak dengan serius untuk mengambil tempat Umno dalam memperjuangkan nasib rakyat, terutama bangsa Melayu dan agama Islam.

Hadir sama Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Datuk Husain Awang dan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Harakahdaily/-

Wanita di Bawah Naungan Islam : Untuk Siapa Perhiasaan Tersembunyi Itu Boleh Dibuka?

25 Ramadhan 1413H.
oleh : Said Abdul Aziz al-Jandul

Setelah kita ketahui bahwa Al-Qur’an memberikan keringanan kepada perempuan muslimah untuk membuka wajah dan kedua tangannya saja terhadap laki-laki asing (bukan mahram), Al-Qur’an melarang perempuan muslimah membuka perhiasan yang tersembunyi (di hadapan laki-laki asing) seperti dada, leher, kedua kaki, kedua lengan tangan. Dan Al-Qur’an memberikan pengecualian kepada sepuluh kelompok manusia, berikut ini akan kami sebutkan sesuai dengan urutan Al-Qur’an, yaitu:

*Suami mereka sendiri. Suami boleh melihat apa saja yang ia kehendaki dari istrinya, demikian pula istri boleh melihat apa saja yang ia suka dari suaminya. Hadits mengatakan, “Jagalah auratmu kecuali dari istrimu.”

*Ayah kandung mereka sendiri, termasuk dalam kategori ayah adalah datuk baik dari pihak ayah atau pun dari pihak ibu.

*Bapak mertua (ayah suami).

*Anak mereka, termasuk dalam kategori anak adalah anak cucu atau keturunan laki-laki dan perempuan.

*Anak suami (anak tiri), kerana ketika perempuan menikah dengan sang ayah, maka ia berobah status menjadi ibu mereka.

*Saudara-saudara lelaki mereka, baik saudara seibu dan sebapak, atau sebapak saja, atau seibu saja.

*Anak laki-laki dari saudara laki-laki (keponakan), kerana ayah si anak dengan bapa saudara si anak itu terdapat hubungan mahram abadi.

*Anak laki-laki dari saudara perempuan, kerana ayah si anak dengan emak saudara si anak itu terdapat hubungan mahram abadi.

*Sesama kaum perempuan. Maksudnya adalah perempuan-perempuan yang mempunyai hubungan dengannya, baik nasab ataupun agama.

*Hamba sahaya laki-laki ataupun perempuan yang dimilikinya.

*Laki-laki atau pembatu yang tidak mempunyai nafsu syahwat terhadap perempuan.

*Anak-anak kecil, yaitu mereka yang tidak mengerti aurat perempuan. Atau dalam ungkapan lain, anak-anak yang belum mempunyai kecenderungan seks (syahwat) kepada perempuan.

DOSA-DOSA YANG DIANGGAP BIASA : MEWARNA RAMBUT DENGAN WARNA HITAM

25 Ramadhan 1431H.
oleh : Syaikh Muhammad bin Shalih al-Munajjid

52. MEWARNA RAMBUT DENGAN WARNA HITAM

Hukum mewarna rambut dengan warna hitam adalah haram. Inilah pendapat yang kuat berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,

يَكُوْنُ قَوْمٌ يَخْضَبُوْنَ فِيْ آخِرِ الزَّمَانِ بِالسَّوَادِ كَحَوَاصِلِ الْحَمَامِ لاَ يَرِيْحُوْنَ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ.

“Kelak pada akhir zaman akan ada kaum yang mewarna (rambutnya) dengan (bahan) hitam seperti tembolok burung merpati, mereka tidak akan mencium wanginya Surga.”( Hadits riwayat Abu Dawud,4/419;Shahihul Jami’,8153 (Hadits ini juga diriwayatkan oleh An Nasa’i dengan sanad shahih, Ibnu Baz).)

Perbuatan ini terutama banyak dilakukan orang-orang yang sudah tumbuh uban. Mereka mewarna rambut yang sudah putih itu dengan bahan penghitam rambut, sehingga orang tidak tahu kalau dia telah ubanan. Itu berarti berpenampilan dengan sesuatu yang palsu. Dengan demikian, ia telah menipu segenap hamba Allah.

Tidak diragukan lagi, perbuatan tersebut mengakibatkan banyak kesan yang buruk. Misalnya dalam tingkah laku, bahkan mungkin ia akan merasa sombong dan bangga diri kerana merasa lebih muda dari usia yang sebenarnya.

Berzeda halnya dengan mewarna rambut dengan warna selain hitam. Dalam suatu riwayat disebutkan, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mewarna ubannya dengan daun pacar (inai) atau semacamnya dengan warna kekuning-kuningan atau kemerah-merahan atau agak dekat ke warna coklat.

Pada hari penaklukan kota Makkah, Abu Quhafah dibawa menghadap kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang kepala dan jenggotnya semuanya telah memutih, lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

غَيِّرُوا هَذَا بِشَيْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ.

“Ubahlah ini (Yang benar; uban ini , Ibnu Baz.) dengan sesuatu dan hindarilah warna hitam.”( Hadits riwayat Muslim, 3/1663.)

Hukum untuk wanita juga sama. Mereka tidak boleh mewarna rambutnya yang telah memutih dengan bahan hitam.

MDBG Lelong Lembu


25 Ramadhan 1431H.
V. Sivakumar.

Bayaran Menuntut Balik Haiwan Tidak Munasabah

Majlis Daerah telah menangkap 2 ekor lembu dan ekor kerbau pada 28 Ogos 2010. Haiwan-haiwan ini ditangkap kerana kesalahan peruntukan undang-undang yang berkaitan Sek 3(10) Undang-undang Kecil Haiwan Merayau MDKB 1984. Pemilik kerbau tidak datang untuk menuntut haiwan peliharaannya.

Dua ekor lembu ditangkap pada jam 3.30 pagi di kawasan lebuh raya dekat Batu Gajah. Butir-butir kesalahan ialah membiarkan haiwan peliharaan tanpa kawalan di kawasan lebuh raya. Untuk kesalahan tersebut, kompaun sebanyak RM 250 telah dikenakan oleh Majlis Daerah Batu Gajah.

Tambahan pula, pihak Majlis Daerah Batu Gajah mengenakan bayaran menuntut balik haiwan yang disita berdasarkan Undang-undang Kecil 4 kepada Undang-undang Kecil Haiwan Merayau (MDKB) 1984.

Dalam kes tangkapan ini, bayaran yang dikenakan untuk mendapatkan balik haiwan ialah RM2000 seekor. Oleh itu, RM 4000 dikenakan terhadap seekor lembu jantan dan seekor lembu betina yang disita oleh Majlis Daerah Batu Gajah pada 28 Ogos 2010.
Oleh yang demikian, pemilik lembu-lembu itu dikehendaki membayar RM 250 kompaun dan RM 4000 untuk bayaran menuntut balik haiwan yang disita. Dengan itu, jumlah besar yang patut dibayar untuk mendapatkan semula lembu-lembu itu ialah RM4250.

Jumlah itu adalah terlalu besar untuk dibayar oleh pemilik lembu tersebut. Dalam kata lain, undang-undang tersebut tidak memberi peluang kepada pemilik lembu untuk mendapatkan lembu peliharaannya. Harga pasaran lembu jantan yang ditangkap ialah RM 800 manakala harga pasaran lembu betina yang ditangkap pula lebih kurang RM650 sahaja. Nilai sebenar kedua-dua lembu yang ditangkap itu ialah lebih kurang RM1450 sahaja. Tetapi jumlah yang perlu dibayar untuk mendapatkan kembali lembu-lembu itu jauh lebih besar daripada nilai sebenar. Pemilik terpaksa menbayar lebihan sebanyak RM2800. Dari segi logiknya, tidak munasabah untuk pemilik tersebut untuk menuntut lembu-lembu itu.

Jika lembu-lembu tersebut tidak dituntut oleh pemilik dalam tempoh yang diberikan, maka ia akan dilelong kepada orang awam. Dalam kes ini, lelongan awam telah dibuat oleh Majlis Daerah Batu Gajah pada 3 September 2010 di bangunan lama MBKB. Lelongan dimulakan dengan harga RM1500 seekor, tetapi tidak ada mana-mana pihak berminat untuk membeli lembu-lembu tersebut dengan harga yang begitu tinggi. Akhirnya Majlis Daerah Batu Gajah tidak berjaya menjual lembu-lembu yang ditangkap olehnya dalam lelongan awam.

Menurut V.Sivakumar, ADUN kawasan Tronoh, ‘Sudah tentu orang tidak akan membeli sesuatu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran dalam lelongan awam kecuali untuk barang-barang antik. Pihak Majlis Daerah Batu Gajah harus sedar tentang perkara ini dan meminda Undang-undang Kecil Haiwan Merayau (MDKB) 1984 supaya ia boleh diguna pakai dan relevan’

Perkara ini membuktikan kecacatan dalam Undang-undang kecil tersebut. Oleh itu, Ahli-ahli Majlis Batu Gajah seharusnya membuat pemindaan undang-undang dengan segera. Aduan juga diterima bahawa MBI hanya mengenakan kompaun sebanyak RM250 sahaja, begitu juga dengan beberapa Majlis Daerah yang lain.

Menurut V.Sivakumar lagi, tindakan harus diambil terhadap mereka yang bersalah, tetapi hukumannya mesti logik dan relevan. Sebagai contoh :-

1) Tangkapan pertama – kompaun RM 250
2) Tangkapan kedua – kompaun + bayaran menuntut balik RM 500
3) Tangkapan ketiga – kompaun + bayaran menuntut balik RM750
4) Tangkapan keempat – terus dilelong

V.Sivakumar juga mengakui bahawa masalah lembu dan kerbau adalah amat ketara di kawasannya. Beliau menegaskan supaya satu sistem yang lebih ketara dan berkesan dilaksanakan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah dalam membendung masalah ini. Pihak kerajaan negeri juga perlu prihatin dengan penternak-penternak lembu dan kerbau ini. Lebih banyak kemudahan dan padang ragut disediakan untuk mengatasi masalah ini. Tempatkan penternakan lembu dan kerbau dilokasi yang sesuai supaya masalah haiwan berkeliaran tanpa kawalan dapat diatasi. Ini akan menyelesaikan masalah orang awam secara umum dan masalah penternak secara khusus.

PENGINTIP - TIADA MAAF BAGI MU

25 Ramadhan 1431H.
Oleh: WFAUZDIN NS

TIADA maaf bagi mu. Sepatutnya itulah jawapan kepada `sang pengintip' di Pejabat MB Selangor. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh SU Politik MB Selangor bahawa Kerajaan Negeri telah mengenal pasti siapa `Sang Pengintip' upahan tersebut dan siasatan dalaman masih diteruskan.

Jika punyai bukti kukuh, Sang Pengintip durjana tersebut wajib dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengira siapa beliau. Tidak perlu lagi MB Selangor menunjukkan sifat belas ihsan yang melampau terhadap pengkhianat kerajaan itu.

Kita juga menanti pendedahan oleh Pejabat MB Selangor kerana kita ingin tahu siapakah manusia yang kepingin sangat untuk menjadi seperti ejen CIA atau SB itu.

Mengapa di zaman Anak toyo dahulu tidak terdengar cerita begini? Ini adalah kerana puak-puak mereka tiada lagi modal untuk menjatuhkan Kerajaan PR Selangor. Serangan mereka melalui politik tidak memberi kesan, begitu juga serangan propaganda melalui media di bakul sampahkan oleh rakyat. Akhirnya mereka meniru cara pengganas yang tidak beretika dan beradab.

Seandainya kes ini dibawa ke pengadilan, kita akan menanti apakah tindakan yang dikenakan kepada pengkhianat tersebut. Adakah ada tangan-tangan ghaib yang akan menyelamatkan beliau?/wfauzdin.blogspot.com

Fitnah PAS: Lagi laporan polis terhadap Zam

24 Ramadhan 1431 H

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Dewan Pemuda Selangor dan Perak membuat laporan polis hari ini terhadap Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) berhubung kenyataannya yang mengaitkan PAS dengan ekstrem.

Ustaz Hasbullah mengetuai Pemuda PAS Selangor membuat laporan berkenaan di Ibu pejabat Polis Daerah Gombak, Bukit Idaman pada jam 10.00 pagi.

Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Salman Saleh pula dijangka akan membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh pada jam 3.00 petang.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad telah membuat laporan berhubung kenyataan bekas Menteri Penerangan itu di Balai Polis Chow Kit, Lorong Haji Taib, di sini.

Zam mendakwa PAS meminta Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ‘merampas’ harta-harta orang Cina semasa Tragedi 13 Mei 1969, manakala ketika Konfrantasi Malaysia-Indonesia, PAS menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia.

Beliau membuat kenyataan tersebut dalam temuramah bertajuk "Zam Dedah Hasutan Jahat Pas" bersama umno-online dan kemudiannya disiar akhbar Utusan Malaysia pada 30 Ogos lalu dengan tajuk 'PAS parti ekstrem'.

Idris berkata, PAS menganggap tuduhan yang dibuat oleh Zainuddin itu sangat serius dan yakin ianya bertujuan untuk menghilangkan kepercayaan orang bukan Melayu kepada parti itu.

"Tujuan dia tidak lain tidak bukan supaya nak menghilangkan keyakinan orang bukan Melayu yang sekarang ini memberikan sokongan dan kepercayaan kepada PAS dan juga Pakatan Rakyat,” katanya.

Harakahdaily/-

Umno yang sempit fikiran dan 25 tahun Memali

24 Ramadhan 1431 H
Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Memang nampak tersepit, kelam-kabut dan gelabah yang amat sangat. Hal-hal yang tidak sepatutnya menimbulkan polemik pun dieksploit seolah-olah satu krisis besar sedang berlaku. Akhirnya, yang terdedah adalah kejahilan dan kejakunan sendiri. Lebih buruk lagi, ia bagaikan senjata makan tuan buat parti yang kini dirasuk krisis keyakinan.

Iulah yang dihadapi Umno untuk cuba juga mempamerkan imej palsunya sebagai pelindung Melayu sebagai jalan terakhir mempertahankan sisa-sisa kuasa.Segala yang dirancang serba tidak menjadi. Sekali mahu berlagak sebagai juara agama, tetapi dalam masa sama memberikan tafsiran "yang bukan-bukan" tentang Islam.

Malah, pemimpin Umno seperti Hishamuddin Hussein juga mahu "berfatwa" sambil merendah-rendahkan pandangan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ulama yang disanjung kerana penghayatan ilmu dan kesederhanaan hidupnya.

Hasilnya slogan 1Malaysia hilang entah ke mana (Umno sendiri mengkhianati slogan tajaan presidennya), dan masyarakat bukan Islam pula semakin menjauhkan diri, manakala orang Melayu yang tidak lagi mudah disogok dengan tafsiran songsang Utusan Malaysia pun kian mengerti.

Ya, sampai bila orang Melayu boleh diperbodoh-bodohkan dengan pembohongan dan taktik usang?

"Umno tidak ubah seperti beruk yang menelan mercun sehingga mulutnya terpaksa dijahit kerana bahan itu meletup. Bila tuan beruk membakar mercun, dia baling ke atas, maka beruk ingatkan benda apa, lalu melompat dan terus memasukan ke dalam mulutnya.

Apa lagi, pecah mulut binatang tersebut," ujar AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu ketika berucap pada program Ihya Ramadhan Perdana di Seberang Jaya, baru-baru ini.

Bermula fitnah doa khutbah Jumaat mohon diberikan hidayah kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, seterusnya memperolok-olokkan istilah "tazkirah" merujuk kes Ahli Parlimen Serdang DAP, Teo Nie Ching di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dan Ahli Parlimen Selayang KeADILan, William Leong di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru.

Wah, hebat betul pemimpin Umno bercakap tentang isu seperti hadas besar dan menutup aurat kepada bukan Islam, sedangkan untuk diri dan kelompok mereka, bagaimana pula?

Saya masih memegang pandangan awal seorang rakan: "Isu ini hanya menjauhkan lagi orang bukan Islam dengan Umno, sebaliknya mendekatkan PAS dengan mereka, terutama dalam konteks dakwah. Kini terbukti siapa yang sempit fikiran dan jumud."

"Masyarakat kini didorong untuk lebih berfikir antara kebenaran dan kepalsuan. Selagi rakyat bersedia untuk merenung dan menganalisis, ia adalah perkembangan yang baik untuk negara ini," tambahnya.

(Saya akan menulis tentang pertemuan dengan Nie Ching dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam tulisan berikutnya nanti).

II.

November depan, genap 25 tahun Peristiwa Memali terakam kukuh dalam sejarah negara. Mungkin tiada perayaan jubli perak meraikannya namun ia tetap diingati, dari perspektif yang mungkin berbeda-beda.

Ketika darah Ustaz Ibrahim Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, tumpah ke bumi bersama 13 orang anak muridnya, saya berada di tahun akhir Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM, saya diminta rakan-rakan untuk meninjau lebih dekat tragedi yang ditohmahkan pemimpin kerajaan BN sebagai berpunca daripada "ajaran sesat" dan "melindungi penjenayah".

Ustaz Ibrahim yang mahu ditahan melalui ISA sama sekali tidak mengalah. Beliau menentang akta zalim itu bukan dengan memorandum atau demonstrasi, tetapi mempertaruhkan nyawanya.

Dan ini merupakan satu rekod "termahal" dalam usaha menyanggah ISA, yang kini dikenali sebagai kempen "mansuh bukan pinda".

Nama Ustaz Ibrahim tidak asing bagi saya. Sebagai anak Kedah, saya biasa mendengar cerita tentang ketegasan dan kelantangannya.

Apabila mendengar daleh Menteri Dalam Negeri, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam tentang rasional "operasi pembunuhan" itu, siang-siang lagi saya menyifatkannya satu pembohongan.

Mana mungkin seorang ulama muda yang ikhlas menabur bakti kepada orang kampung dan menolak kesenangan berkhidmat dengan kerajaan terbabit dengan jenayah yang tidak pernah pun dibuktikan.

Sebaik dirasakan suasana agak reda, saya segera pulang ke kampung di Kubang Pasu, mencari teman untuk Mukim Siong, Baling.

Kebetulan sepupu saya pernah belajar bersama adik Ibrahim Libya, Ustaz Ismail di Kelantan.

Dalam perjalanan, kami menempuh banyak sekatan jalan raya. Polis berada di mana-mana. Suasana agak menggerunkan, apatah lagi itulah kali pertama saya melalui jalan pintas ke Baling.

Pelbagai soalan terpaksa dijawab (dan saya terpaksa memberi alasan palsu( sebelum kami dibenarkan menghampiri lokasi kejadian.

Memali ketika itu bagai dilanggar garuda. Sunyi sepi. Rumah-rumah ditutup rapat. Hatta tiada kelihatan anak-anak bermain di halaman. Kebanyakan penghuninya ditahan.

Kesan-kesan peluru jelas kelihatan di rumah Ustaz Ibrahim. Kami juga ditunjukkan bekas darah. Saya mengambil masa agak lama memerhatikan suasana sekitar rumah bersejarah itu.

Di satu sudut di belakang rumah Assyahid, saya terpaku diam, cuba membayangkan tragedi berdarah itu. Tanpa sedar air mata mengalir. Sungguh pilu. Menusuk jauh ke dalam kalbu.

Mulanya saya menjangkakan rumah yang diserang ketumbukan polis dengan bantuan kereta perisai dan helikopter itu jauh di pinggir hutan, rupanya betul-betul di tepi jalan utama. Jauh sekali daripada sangkaan bahawa Baling masih dikepung komunis.

Dua tahun kemudian, 1987, semasa bertugas di Harakah, sekali lagi saya berkunjung ke sana, bersama Aris Awang, pemberita sambilan Harakah ketika itu. Aris pernah dilantik Setiausaha Perhubungan PAS Kedah beberapa tahun lalu.

Saya diminta menyiapkan satu makalah khas tentang Memali, yang kemudiannya diberi tajuk Percikan Darah Syuhada. Ibrahim Libya tergolong bersama rentetan nama para syuhada

Bersama Aris saya bermalam di sana, dan sempat beramah mesra dengan warga Memali, antara lain dengan "penjenayah yang cukup dikehendaki", seperti didakwa Musa Hitam. Peliknya beliau tidak pula ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Sejurus balik ke Kuala Lumpur dan berjaya menyiapkan makalah berkenaan, satu tangkapan borong besar-besaran di bawah ISA dilakukan pada penghujung Oktober 1987, Operasi Lalang.

Mulanya agak keberatan juga Harakah mahu mengedarkannya bimbang ia dijadikan alasan untuk menjadikan senarai tangkapan lebih panjang. Selepas mengadakan perbincangan, satu halaman terpaksa digunting.

Memali kembali dekat apabila saya diperkenalkan dengan Ustaz Ismail, adik Assyahid bagi merawat "penyakit misteri" saya pada tahun 2001. Beliau mudah diajak berbual. Antara topiknya adalah peristiwa berdarah itu juga. Selain "berubat", Ustaz Ismail merupakan teman bercerita.

Kami kerap berbicara soal Memali, suka dan duka, tetapi lebih banyak kisah sedih yang terungkap. Beliau yang meninggal dunia secara tiba-tiba pada Februari 2009, selalu juga menyebut nama anak sulung Ibrahim Libya, Mohd Islah, yang kebetulan tinggal di sekitar Sungai Buloh, tidak begitu jauh dengan rumahnya di Kuang.

Sehinggalah pada minggu lepas, ketika bekas tahanan ISA, Cikgu Zainon Ismail (CN Al-Afghani - saya pernah menerbitkan beberapa bukunya mengenai pengalaman beliau di Afghanistan) menziarahi saya, juga untuk menerima sumbangan tabung Dewan Muslimat PAS Pusat dengan kerjasama Harakah, mewakili keluarga yang memerlukan di Memali, nama waris Assyahid Ibrahim Libya muncul kembali.

Cikgu Non yang juga pernah bertugas dengan Harakah, memberitahu, Islah kini menjadi mudir di sebuah tahfiz dekat Kubu Gajah, Sg Buloh.

Pagi itu, 30 Ogos, saya cukup gembira dapat bertemu wajah anak sulung Assyahid bersama Saleha Husin.

Lot 1855, Jalan Gajah 24 itu cukup nyaman dan tenang. Sesuai sekali untuk pelajar tahfiz. Kawasannya pula luas, 2 ekar. Islah ceria bercerita tentang impian membesarkan lagi Maahad Tahfiz At-Taqwa yang diasaskan seorang usahawan.

Saya lebih teruja apabila dimaklumkan cawangannya akan dibuka di Memali sendiri. Bagi saya, waris Ibrahim Libya perlu meneruskan tradisi di kampung bersejarah itu.

Sekurang-kurangnya Memali akan dikenali sebagai pusat keilmuan yang dihormati, dan saya kira itu juga satu impian Assyahid.

Islah ketika bapanya gugur syahid berumur 9 tahun, belajar di Dehrang, Kedah, sebuah pusat pengajian Islam di bawah Ustaz Nikmat Yusof. Detik-detik getir 25 tahun lalu masih kejap dalam ingatannya, terutama bagaimana beliau "dilarikan" ke Kelantan.

Harapan saya mahu membaca satu catatan daripada Islah sendiri tentang kembara hidup bersama empat lagi adik-adiknya, Mohd Ihsan, Mohd Irsyad Zamani, Niswah Hasina dan Nurul Syuhada.

Sumbangan untuk Maahad Tahfiz At-Taqwa boleh disalurkan ke dalam akaun Maybank 562085515936 atas nama Ehsani Enterprise.

III.

Secara peribadi saya bukan sahaja membantah keras sikap tidak peduli KDN yang belum memperbaharui permit Suara Keadilan (SK), malah tidak faham mengapa tiada usaha sistematik untuk berkempen menuntut hak menerbitkan organ parti berkenaan.

Meskipun permit Harakah hanya tergendala untuk satu keluaran dan kemudiannya disambung semula, nasib malang SK tidak boleh dipandang mudah.

Masakan mahu dibiarkan sahaja pemerintah boleh melakukan apa jua yang terlintas bagi menyekat kemaraan pengaruh Pakatan Rakyat tanpa menghadapi sebarang tentangan.

Sudahlah syarat penerbitan lidah rasmi parti, termasuk Harakah, begitu ketat dan "tidak masuk akal", hayatnya pula boleh dicantas bila-bila masa, tanpa memberikan apa jua sebab dan ruang untuk merujuknya ke mahkamah tertutup sama sekali.

Pada 26 Ogos lalu, ditemani Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hassan, Wartawan Kanan, Wan Nordin Wan Yaacob dan Jurugambar, Wan Zahari Wan Salleh, saya mengunjungi rakan-rakan SK di Seksyen 13, Shah Alam.

Selain bertanya khabar atas tekanan dahsyat pemerintah, saya berhasrat membincangkan langkah-langkah perlu untuk mencetuskan isu berkenaan agar "lebih didengar lagi" termasuk oleh pemimpin Pakatan sendiri.

Editor SK, Dzulkarnain Taib dan wartawan Mohd Najib Ibrahim menyambut kami. Saya perhatikan operasi penerbitan mereka masih berjalan seperti biasa, dengan judul yang bertukar-tukar, tetapi masih mengekalkan "Keadilan", seperti Sinar Keadilan, Obor Keadilan dan terbaru Metro Keadilan.

Bagaimanapun, pengalaman saya semasa mengendalikan penerbitan tidak berkala selepas Detik dan Wasilah diharamkan, cukup perit terutama dari segi rangkaian pengedaran dan pengendalian perniagaan.

Pejabat SK kelihatan tidak serancak Harakah tetapi petugasnya tetap tekun bekerja. Terbayang nasib Harakah semasa digantung tiga bulan di hari-hari akhir era Abdullah Ahmad Badawi. Mujur, penggantungan itu ditarik balik Najib Razak apabila mula bertakhta di Seri Perdana.

Bagi saya, usah mengharapkan semata-mata ehsan menteri. Yang penting, tuntutan mengembalikan permit penerbitan harus digembleng secara bersama, termasuk oleh pimpinan PAS dan DAP.

Dalam pada itu, di peringkat petugas akhbar pun harus ada majlis perbincangan bersama para editor. Saya akui sehingga kini agak kurang usaha penyelarasan sesama kami. Keperitan selalunya ditanggung sendiri.

Dan perkara ini tidak boleh terbiar begitu saja. Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) harus merangkumi semua sektor dalam media alternatif. Sebagai penggerak KAMI, saya rasa masih banyak yang dapat dilakukan untuk membebaskan media daripada pelbagai kongkongan.

Dalam pertemuan itu juga saya dan Dzulkarnain saling mengemukakan idea untuk menyemarakkan kempen membebaskan cengkaman ke atas media, antaranya menganjurkan perhimpunan bantahan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) bersama pertubuhan yang berminat,

selain mencari sokongan individu berpengaruh (seperti usaha KAMI menemui Hamdan Adnan, bekas Pesuruhjaya Suhakam) terutama dalam industri media bagi memastikan kempen dapat dijayakan.

Harakahdaily/-

Dua buku terbaru Mujahid dilancar

24 Ramadhan 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Dua buah buku terbaru 'Kita Kan Orang Malaysia' dan 'Menuju PAS Baru' karya Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof dilancar dalam usaha mendekatkan PAS kepada masyarakat negara ini.

Majlis pelancaran kedua-dua buku tersebut disempurnakan Professor Dr. Abdul Aziz Bari di satu majlis berbuka puasa di sebuah restoran di sini semalam.

Menurut Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, buku 'Menuju PAS Baru - Krisis, Peluang dan Dinamisme', adalah satu analisis berkaitan konflik dalam parti itu sehingga PAS berada di tahap hari ini.

Ianya juga adalah Tesis PhD beliau sendiri berhubung bagaimana PAS bertapak dan berkembang bermula dengan hanya sebuah pertubuhan Islam kecil.

Buku ini juga memuatkan pandangan beliau berhubung PAS pada masa hadapan dan bagaimana parti itu harus melalui lekuk ketiga dalam politik Malaysia.

"Buku ini untuk orang awam baca untuk mereka tahu bagaimana PAS dibina.

"Saya tahu idea saya ini tak popular dalam PAS, setiap perubahan perlu tidak popular," katanya.

Satu lagi bukunya 'Kita Kan Orang Malaysia' pula berkisarkan kisah atau catatan di sebalik masalah perpaduan antara kaum di Malaysia.

Mujahid yang juga anak bekas Mursyidul Am PAS yang pertama, Tuan Haji Yusof Rawa turut mengetengahkan pengalaman peribadi beliau sejak kecil dalam usaha untuk menyatukan tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Ianya bermula terlaksana dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS ketika beliau memeganag Pengerusi Lajnah Perpaduan PAS dan kemuncaknya adalah Dewan Himpunan Penyokong PAS yang membawa kepada orang bukan Islam menjadi ahli PAS.

Uniknya buku ini, ianya dipersembahkan dalam bentuk bercerita ala novel, sesuai dibaca setiap lapisan masyarakat.

"Dalam buku ini juga saya cuba kupas kita ini Melayu dahulu atau Islam dahulu," katanya.

Harakahdaily/-

Rakyat lebih percaya media baru, fikirlah Najib

24 Ramadhan 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 3 Sept: PAS menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul supaya semua media mencontohi media perdana yang dikatakannya melaporkan dengan fakta, berbeza dengan media baru.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad sangsi dengan kenyataan Najib mengenai kenyataannya dengan mendakwa media perdana pada hari berada di dalam landasan yang betul, manakala yang salah ialah media baru seperti blog, twitter, facebook dan sebagainya.

“PAS yakin inilah keresahan yang melanda di kalangan pemimpin kerajaan pada hari ini yang cuba hendak meletakkan media baru di kandang orang salah supaya rakyat sangsi terhadap pemberitaan media baru.

“Datuk Najib harus fikir kenapa rakyat lebih percaya media baru daripada media perdana. Sebabnya rakyat pada hari ini sudah tahu membezakan antara kaca dan permata,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, sebaik sahaja satu laporan yang dibuat oleh media perdana, maka selang beberapa minit sahaja laporan itu diperbetulkan kembali dengan fakta dan gambar.

Contoh yang terbaru, ujarnya sikap yang ditunjukkan oleh media ayam daging Umno ketika melaporkan apa yang berlaku di Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

“Media ini melaporkan Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang sedang memberi ‘tazkirah’ dan memberi bantuan kepada ahli PAS,” katanya.

Apa yang berlaku, jelasnya ialah Teo sedang memberi taklimat mengenai skim pendidikan Kerajaan Selangor dan beliau memberi bantuan kepada surau sebanyak RM1,000.

Ini, tambahnya hanya satu contoh fitnah yang jahat untuk memburukkan PAS dan Teo daripada DAP.

“Apakah ini yang Datuk Najib suruh media baru tiru cara laporan media perdana yang penuh dengan fitnah?” soalnya.

Menurutnya, sikap yang ditunjukkan oleh media perdana, mereka tidak memperdulikan soal saman malu dan balasan Allah SWT, yang penting ialah dapat memuaskan golongan yang menzalimi dan menipu rakyat.

Tambahnya, tujuan laporan yang berupa fitnah mereka buat supaya persepsi rakyat terhadap PAS jahat.

Ini, kerana katanya mereka tahu proses undang-undang memakan masa yang lama, setelah fikiran rakyat telah dirosakkan begitu lama.

“PAS bukan meminta media ini memuji PAS dan Pakatan Rakyat dalam pemberitaan mereka. Kalau pun tidak mahu melaporkan apa yang PAS buat, jangan pula sanggup melaporkan berita fitnah terhadap PAS,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Krisis ciptaan lawan kukuhkan Pakatan Rakyat

24 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohamed Zainal Abidin Hussin

Riuh rendah 1 Malysia. PAS kini gadai maruah. Peristiwa Ahli Parlimen Sedang, Teo Nie Ching hadir di sebuah surau dalam kawasannya telah dijadikan isu besar.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin, wakil rakyat yang berpaling tadah dari rakyat memperli sikap umat Islam, menulis dalam blognya bahawa mereka "tanpa segan (dan) malu menghulur tangan menagih angpau dan bantuan dari tangan kafir harbi ini."

Sebelum isu ini, tindakan seorang khatib di Pulau Pinang, Ustaz Zakaria Ahmad mendoakan ketua menteri, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat telah dieksploitasi bagi mengapi-apikan kebencian orang Melayu kepada pemimpin pembangkang bukan Melayu itu.

Soal hukum hudud yang tiba-tiba muncul dalam seminar sambutan hari hududullah di Kota Bharu pula dirasakan peluang terbaik media perkauman pro pemerintah untuk melaga-lagakan orang-orang PAS dan DAP.

Dengan penuh gembira, pemimpin-pemimpin perkauman dalam Barisan Nasional memperalat isu-isu ini bagi memecahbelahkan pakatan pembangkang yang kini bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Mereka penuh yakin semua ini akan menimbulkan persepsi buruk orang ramai terhadap PR yang kini mentadbir Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan itu.

Sasaran mereka yang lebih penting ialah untuk menimbulkan perbalahan di kalangan parti-parti dalam PR khususnya antara PAS dan DAP.

Dengan berseru-seru supaya orang Melayu perlu bersatu mepertahankan maruah Islam dan kepentingan orang Melayu, mereka dengan rakus menggambarkan para pemimpin DAP kurang ajar, anti Islam dan berperlakuan menghina Islam dan umatnya.

Perkembangan rakyat dalam menghadapi situasi ini bagaimanapun jauh berbeza dengan apa yang mereka jangkakan.

Dalam isu mendoakan orang bukan Islam dalam khutbah Jumaat, bukan sekadar para pemimpin PAS yang mempertahankan kaharusannya, malah ulamak-ulamak berkecuali turut tidak membantah. Malah ulamak yang selalu diperalat untuk mempetahankan Umno seperti Mufti Perak turut terdiam.

Apa yang berlaku ialah sambutan rakyat yang semakin menonjol kepada Lim Guan Eng. Beliau kini semakin sibuk berbuka puasa hampir setiap hari dengan masyarakat Islam. Bukan sekadar di Pulau Pinang, malah di pelbagai lokasi di luar Pulau Pinang.

Dengan menggemparkan kes Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang dikatakan mencemar dan menghina kesucian tempat ibadat Islam, perbahasan hangat berlaku dalam semua saluran media.

Akhirnya terserlah kejahilan mereka yang cuba menimbulkan kontroversi ini apabila pelbagai sumber seperti keputusan majlis fatwa dan amalan masjid seluruh dunia yang mesra dengan kedatangan pengunjung bukan Islam didedahkan.

Isu-isu ini telah menjadikan pertentangan berkenaan hukum hudud seakan-akan tenggelam.

Bagaimanapun sebenarnya kontroversi hubungan muslim non muslim ini membawa satu penyelesaian baru. Islam kini semakin difahami bukan musuh orang bukan Islam. Islam bukan datang untuk melihat mereka yang bukan Islam sebagai habuan mereka tetapi sebagai sahabat yang berpotensi untuk bersama mencari kebaikan.

Jika realiti ini diterima, soal menolak hukum hakam Islam tidak berbangkit sama sekali. Apa yang perlu diperlihatkan Ialah semua yang diperkenalkan oleh Islam, termasuk hudud adalah bermotif untuk menyelamatkan semua manusia, bukan menyusahkan atau memusuhi mereka.

Implikasi kepada semua rentetan peristiwa ini ialah keyakinan yang semakin mantap terhadap gabungan baru rakyat Malaysia dalam Pakatan Rakyat. Penyokong PAS dan DAP kini semakin faham apakah bentuk persahabatan mereka.

Mereka tidak perlu ditakut-takutkan dengan mitos lama perkauman sempit yang menanam perasaan benci membenci antara satu sama lain. Selagi mana kita berbuat sesuatu untuk kebaikan, kita boleh bersatu walaupun berlainan bangsa dan agama.

Kepada mereka yang mengapikan-apikan permusuhan, kebencian dan hina menghina semata-semata kerana berlainan bangsa dan agama adalah ditolak. Walaupun yang melakukan demikian dari kalangan saudara mara kita sendiri.

Dengan asas ini kita semakin yakin Malaysia baru akan dibentuk dengan lebih teguh. Semua ini sedang menjadi kerisauan kepada para pemimpin perkauman yang selama ini hidup atas dasar pecah dan perintah serta terus menerus menggunakan sentimen kebencian tanpa asas kebenaran.

Harakahdaily/-

Nie Ching bakal buka butik selendang?

24 Ramadhan 1431 H

SERDANG, 2 Sept: Anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching bakal membuka butik selendang selepas ini kerana sejak berita beliau memasuki surau tanpa memakai tudung disiarkan oleh Utusan Malaysia, hari-hari beliau menerima hadiah selendang.

"Terima kasih kepada Utusan, saya dah terima empat selendang dari pihak yang berbeza...tak lama lagi saya boleh buka butik selendang," tulis Nie Ching dalam twitternya hari ini.

Nie Ching menjadi popular sejak kebelakangan ini apabila pelbagai cerita negatif disiarkan oleh media pro Umno terhadap beliau sejak beliau memberikan ucapan ringkas di Surau Nurul Huda, Serdang.

Utusan telah melaporkan (gambar), Nie Ching telah memberikan tazkirah Ramadhan di surau itu.

Ekoran itu, dalam satu kenyataannya, Nie Ching berkata kehadirannya menghulur bantuan ke surau tersebut dan memberikan ucapan ringkas adalah ikhlas dan bukan berkepentingan politik.

"Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik.

"Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan," katanya.

Namun begitu, pelbagai pihak lain mempertahankan tindakan Nie Ching masuk ke surau itu dan menyifatkan tindakan itu tidak salah dari sisi Islam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz, bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainol Abidin dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Mohd Nor Manuty menyokong tindakan Nie Ching.

Nie Ching juga bertemu sendiri dengan Nik Aziz bagi bertanya pandangan beliau terhadap masalah yang dihadapinya itu.

(Gambar: Nie Ching (tengah) dalam satu sidang medianya)

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” kata Nik Aziz dalam satu kenyataan kepada media.

Harakahdaily/-

Saleh Man teruskan khidmat untuk rakyat

24 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 2 Sept: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man menyambung semula tugasnya berkhidmat kepada rakyat setelah sebulan berehat kerana mengalami sakit di bahagian usus.

Beliau yang dimasukan ke Hospital Bukit Mertajam awal bulan lepas dan terbaru dimasukkan semula ke wad di Hospital Seberang Jaya untuk rawatan susulan kini kelihatan lebih sihat dan cergas terutamanya mengatur program bantuan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk di Dun yang diwakilinya.

Terbaru beliau menyerahkan bantuan hasil kutipan beberapa individu kepada 30 keluarga miskin di Kampung Pengkalan Tambang.

Bantuan berupa beras dan bekalan makanan seharian itu turut dibahagikan kepada beberapa kampung sekitar iaitu Kampung Kota, Kampung Bukit Jelutong, Sungai Sintuk dan Tanjung Putus.

Selain beliau turut hadir dalam program ringkas itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pengkalan Tambang, Shabudin Darus dan aktivis masyarakat, Mohd Rodzi Saad.

Semasa ucapanya, Saleh menegaskan, kerajaan negeri begitu prihatin membantu masyarakat yang daif dan memerlukan simpati.

Oleh itu, untuk menjamin pemberian sama rata yang diberikan itu rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India wajar bersatu padu dan menjauhkan persengketaan yang dibangkitkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

"Kehidupan di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat lebih sempurna berbanding semasa di era pemerintahan Barisan Nasional (BN) kerana ada antara golongan yang susah tidak memperolehi bantuan sebaliknya orang tertentu yang kadang-kadang memiliki kesempurnaan diberikan," katanya.

Harakahdaily/-

Duit raya, hamper pelajar dan guru Pasti Ipoh Timur

24 Ramadhan 1431 H
Oleh: Pemuda PAS Perak

IPOH, 2 Sept: Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur hari ini tidak ketinggalan menyampaikan duit Raya dan juga hamper kepada semua pelajar dan guru PASTI yang cukup gembira.

Ketua Pemuda PAS Ipoh Timur Salman Saleh bersama kepimpinan Ahli Jawatankuasa Kerjanya telah bergerak kesemua PASTI di dalam Ipoh Timur bagi tujuan tersebut.

Pemuda PAS Ipoh Timur yang mempunyai PASTI sebanyak 4 iaitu PASTI Ibnu Safar di Taman Shatin, PASTI Al-Ehsan di Taman SPPK, PASTI Raudatul Ilmi di Kg Temiang dan PASTIBestari di Taman Cempaka.

Terdapat seramai 69 pelajar dan seramai 5 guru di PASTI seluruh Ipoh Timur yang memberikan perkembangan positif terhadap pendidikan mereka selama ini.

Sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Salman amat bermakna kepada seluruh pelajar dan guru PASTI bersempena samburan Hari Raya pada minggu depan.

Harakahdaily/-